NEWFOUNDLAND (Canada): Ucapan takziah dan penghormatan mula melimpah sejak Khamis buat lima penumpang kapal selam pelancong Titan yang maut setelah kapal selam itu meletup di dasar laut berhampiran bangkai kapal karam terkenal Titanic.
Lima yang maut itu adalah seorang hartawan dan pengembara warga Britain, Encik Hamish Harding, 58 tahun; peniaga terkemuka kelahiran Pakistan, Shahzada Dawood, 48 tahun, dan anak lelakinya berusia 19 tahun, Suleman (kedua-duanya juga warga Britain); ahli kaji lautan yang juga pakar kapal Titanic warga Perancis, Encik Paul-Henri Nargeolet, 77 tahun, yang telah melawat bangkai kapal Titanic itu berbelas kali; dan Encik Stockton Rush, warga Amerika yang juga pengasas dan ketua eksekutif syarikat OceanGate, yang mengemudi kapal selam pelancong itu.
Pemerintah Pakistan dan kerajaan Britain mengucapkan “takziah mendalam” kepada anggota keluarga yang terkorban itu.
Di Islamabad pada Jumaat, pemerintah Pakistan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dua beranak kelahiran Pakistan yang sudah menjadi warga Britain itu.
“Ucapan takziah kami yang amat mendalam kepada keluarga (Encik) Dawood dan juga keluarga mangsa yang lain, atas bencana yang menimpa mereka di lautan Atlantik Utara,” kata Kementerian Luar Pakistan.
“Kami amat menghargai usaha berbilang negara selama beberapa hari lalu menjalankan usaha mencari kapal (selam pelancong) itu.”
Setiausaha Luar Britain, Encik James Cleverly, berkata melalui laman Twitter: “Ini adalah berita yang amat tragik, mereka dalam kapal selam (pelancong) Titan itu, termasuk tiga warga Britain tidak ditemui dalam operasi mencari mereka.
“Kerajaan Britain memberi sokongan padu kepada keluarga yang terjejas dan menzahirkan ucapan takziah sedalam-dalamnya.”
Keluarga Encik Harding menyampaikan penghormatan kepada “pengembara penuh bersemangat” itu. Mendiang, 58 tahun, adalah hartawan penerbangan yang telah tiga kali tercatat dalam Rekod Dunia Guinness.
Satu kenyataan daripada keluarganya dan syarikat Action Aviation menyatakan, mereka “bersatu dalam melalui detik kesedihan ini bersama anggota keluarga lain yang telah kehilangan orang-orang yang mereka cintai dalam kapal selam Titan itu”.
“Apa yang telah beliau capai sepanjang hidupnya adalah sesuatu yang membanggakan dan jika kita boleh berasa sedikit lega daripada tragedi ini ialah kita kehilangannya semasa beliau melakukan sesuatu yang disenanginya,” ujar kenyataan itu.
Keluarga Allahyarham Shahzana turut melahirkan rasa sedih yang mendalam.
Mereka juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penumpang lain yang maut dalam nahas itu, menurut kenyataan daripada Yayasan Dawood, yang ditandatangani oleh Encik Hussain dan Cik Kulsum Dawood, dua orang tua Allahyarham Shahzada. – Agensi Berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg