LIVERPOOL: Empat individu dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal di hospital selepas sebuah kenderaan merempuh sekumpulan penyokong Liverpool semasa perarakan sambutan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) di pusat bandar pada 26 Mei.
Datuk Bandar Metro Liverpool, Encik Steve Rotheram, berkata beliau berharap kesemua mangsa yang parah berupaya melalui saat genting itu.
Kejadian berlaku di Water Street, tempat penyokong berkumpul untuk meraikan kejayaan kelab dalam saingan EPL.
Pihak polis percaya kemalangan yang berlaku di tengah kota Liverpool itu adalah terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan serangan pengganas, namun tidak menyatakan punca sebenar bagaimana pemandu itu boleh memasuki kawasan perarakan berkenaan.
Beberapa rakaman video tular menunjukkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna kelabu memandu laju ke arah orang ramai di jalan yang sepatutnya ditutup kepada lalu lintas.
Sekurang-kurangnya empat mangsa kelihatan diseret di bawah kenderaan tersebut, manakala yang lain tercampak akibat rempuhan.
Saksi menyatakan orang ramai bertindak memecahkan cermin kenderaan tersebut selepas ia berhenti, sebelum pihak polis campur tangan untuk melindungi pemandu.
Menurut kenyataan rasmi, seramai 27 mangsa dihantar ke hospital termasuk beberapa kanak-kanak, manakala 20 lagi menerima rawatan di tempat kejadian.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer berkata: “Suasana gembira bertukar menjadi detik mengerikan. Doa dan harapan kami bersama mangsa dan keluarga mereka.”
Dalam pada itu, Encik Rotheram memberitahu BBC: “Masih terdapat empat orang yang sangat tenat di hospital.
“Sudah tentu kami mengharapkan mereka dapat melalui saat genting itu.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg