Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan kejuaraan Liverpool bertukar tragedi, 47 cedera dalam rempuhan kereta

Polis tahan suspek, tiada unsur keganasan dikesan
May 27, 2025 | 10:31 AM
rempuhan kereta, EPL, liverpool
Lokasi di mana sebuah kereta merempuh penyokong Liverpool semasa perarakan trofi di pusat bandar Liverpool, pada 26 Mei. - Foto EPA-EFE

LIVERPOOL: Sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong Liverpool semasa perarakan meraikan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) kelab itu pada 27 Mei, mencederakan 47 orang, termasuk dua yang parah.

Namun, pihak polis menegaskan bahawa mereka tidak mengesyaki insiden ini berkaitan dengan sebarang kegiatan keganasan.

Polis memaklumkan bahawa mereka telah menahan seorang lelaki kulit putih British berusia 53 tahun dari kawasan Liverpool, yang didakwa sebagai pemandu kenderaan tersebut yang melanggar sekumpulan besar penyokong yang sedang meraikan kejayaan pasukan itu di bandar di barat laut England.

Pihak ambulans berkata 27 orang telah dibawa ke hospital, termasuk empat kanak-kanak.

Seorang kanak-kanak dan seorang dewasa dilaporkan dalam keadaan serius.

Video di media sosial menunjukkan orang ramai tercampak ke udara apabila kereta itu merempuh para penonton.

Perkhidmatan ambulans Britain juga berkata mereka merawat 20 lagi orang yang mengalami kecederaan ringan.

Apabila kereta itu berhenti, para penyokong yang berang mula mengerumuni kenderaan berkenaan dan memecahkan cermin tingkapnya, tetapi anggota polis segera bertindak menghalang mereka daripada menyerang pemandu.

“Kami percaya ini adalah kejadian terpencil, dan kami tidak mencari sesiapa lagi berkaitan dengannya. Kejadian ini tidak diklasifikasikan sebagai berkaitan dengan keganasan,” kata Timbalan Ketua Polis Sementara, Cik Jenny Sims kepada para wartawan.

Ratusan ribu penyokong telah berkumpul pada cuti umum Spring Bank Holiday untuk menyaksikan pasukan Liverpool dan kakitangannya berarak melalui pusat bandar dengan menaiki bas dua tingkat yang membawa trofi Liga Perdana.

Kejadian ini “melemparkan bayangan gelap ke atas apa yang sepatutnya menjadi hari yang penuh kegembiraan,” ujar Ketua Majlis Bandaraya Liverpool, Encik Liam Robinson, menerusi media sosial.

Polis segera memberikan maklumat mengenai suspek yang telah ditahan.

Encik Dal Babu, mantan Ketua Superintenden di Polis Metropolitan London, memberitahu BBC bahawa langkah tersebut bertujuan meredakan spekulasi di media sosial bahawa kejadian itu mungkin berkait dengan serangan pengganas Islam.

Seorang wartawan AFP menyaksikan sekurang-kurangnya empat orang dibawa keluar menggunakan pengusung selepas saksi melaporkan orang ramai dilanggar oleh sebuah kenderaan berwarna gelap yang merempuh lautan manusia.

Belum dapat dipastikan mengapa kereta itu bertembung dengan pejalan kaki sekitar 6 petang.

Menurut saksi, bas yang membawa pasukan Liverpool telah berlalu di Jalan Water beberapa minit sebelum kereta itu merempuh orang ramai.

“Ia berlaku dengan sangat pantas,” kata Encik Harry Rashid, 48 tahun, dari Solihull berhampiran Birmingham, England tengah, yang hadir bersama isterinya dan dua anak perempuan kecil mereka.

“Pada awalnya kami hanya terdengar bunyi pop, pop, pop orang yang tercampak dari bonet kereta itu. Ia sangat mengerikan dan anda boleh dengar bunyi hentakan ketika dia melanggar orang-orang itu,” katanya kepada wartawan

Polis Merseyside menyeru orang ramai agar bertenang dan mengesahkan suspek adalah “seorang lelaki kulit putih Britain berusia 53 tahun dari kawasan Liverpool”, sambil meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai apa yang telah berlaku.

Seorang saksi, Encik Mike Maddra, berkata “kereta itu membelok ke kiri, menaiki kaki lima dan terus menghala ke arah kami dan bangunan”.

Katanya lagi, “kami sempat mengelak dan kereta itu semakin laju”.

Pihak berkuasa telah memasang sekatan dan ambulans serta jentera bomba berada di tempat kejadian, sementara mangsa yang cedera dirawat di jalan.

Perkhidmatan Ambulans North West berkata pasukan mereka “sedang menilai situasi” bersama perkhidmatan kecemasan lain.

Perdana Menteri Encik Keir Starmer menyifatkan insiden di Liverpool sebagai “mengerikan”.

“Saya turut bersimpati dan prihatin terhadap semua yang cedera atau terkesan,” tulisnya di X, sambil memaklumkan bahawa beliau sedang menerima laporan terkini mengenai siasatan tersebut.

Wartawan BBC, Encik Matt Cole, yang berada di perarakan bersama keluarganya berkata: “Kedengaran jeritan di hadapan kami dan tiba-tiba kereta berwarna biru gelap itu muncul merempuh orang ramai. Kereta itu langsung tidak berhenti. Saya sempat menarik anak perempuan saya dan melompat mengelak.”

Liverpool dilimpahi warna merah apabila ratusan ribu penyokong membanjiri jalan utama pada cuti umum kebangsaan, bagi meraikan kejuaraan EPL yang dimenangi skuad kendalian Arne Slot.

Pemain bintang Mohamed Salah dan Virgil van Dijk mengetuai sambutan itu bersama rakan sepasukan di atas dek bas terbuka.

Asap merah daripada bom asap memenuhi udara, sementara pemain mengambil masa hampir empat jam untuk melengkapkan laluan sepanjang 16 kilometer tersebut.

Liverpool FC melalui ciapan di X berkata mereka bekerjasama rapat dengan Polis Merseyside, sambil menambah: “Doa dan harapan kami bersama semua yang terkesan oleh insiden serius ini.”

Datuk Bandar Metro Liverpool, Encik Steve Rotheram, berkata ini adalah “hari yang sukar untuk wilayah bandar kami, tetapi kami tetap bersatu”.

Kelab Everton, seteru tempatan Liverpool, juga menyatakan keprihatinan mereka “bersama semua yang terkesan oleh kejadian serius ini di bandar kami”.

Kejuaraan Liga Perdana ke-20 Liverpool yang menyamai rekod itu telah disahkan hampir sebulan lalu apabila pasukan kendalian Slot menamatkan musim dengan baki empat perlawanan.

Namun begitu, trofi itu hanya diserahkan selepas perlawanan terakhir menentang Crystal Palace pada 25 Mei.

Sejarah bola sepak Liverpool juga pernah diselubungi tragedi.

Pada 1989, 97 penyokong Liverpool terkorban akibat rempuhan di Stadium Hillsborough di Sheffield.

Lebih 760 orang turut cedera dalam bencana sukan paling dahsyat dalam sejarah Britain, yang sehingga kini masih menghantui bandar pelabuhan ini.

Pada 1985, 39 penyokong – kebanyakannya warga Italy terkorban apabila tembok runtuh ketika tercetus kekacauan antara penyokong Liverpool dan Juventus di Stadium Heysel, Brussels. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg