Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salah pelengkap hari terakhir musim Liverpool

Penyerang Mohamed Salah jaringkan gol ke-29 di hari perlawanan terakhir menentang Crystal Palace
May 26, 2025 | 4:05 PM
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, menjaringkan 29 gol dalam musim Liga Perdana England (EPL) 2024/25.
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, menjaringkan 29 gol dalam musim Liga Perdana England (EPL) 2024/25. - Foto AFP

Siapa lagi kalau bukan Mohamed Salah.

Dengan berbaki hanya enam minit sebelum tamat perlawanan, penyerang Mesir itu menjaringkan gol penyamaan menentang Crystal Palace pada 25 Mei – memastikan perayaan penutup musim di Anfield tidak dicemari kekalahan.

Gol tersebut merupakan jaringan ke-29 Salah dalam saingan liga musim 2024/25, dan apabila digabungkan dengan 18 hantaran yang merintis jaringan atau assist, beliau kini setaraf dengan penyerang legenda England Alan Shearer dan Andy Cole sebagai pemain dengan jumlah penglibatan gol terbanyak dalam satu musim Liga Perdana England (EPL).

Ia juga memberi Salah Kasut Emas keempatnya, menyamai rekod penyerang legenda Arsenal, Thierry Henry.

Bekas penyerang Arsenal dan Manchester City, Ellen White, berkata kepada agensi berita BBC Radio 5 Live, bahawa Salah mempunyai musim yang luar biasa, bukan sahaja tajam di hadapan gol, malah kreatif.

“Beliau menunjukkan profesionalisme yang hebat walaupun berdepan banyak spekulasi tentang kontraknya – dan terus meningkat sepanjang musim.

“Kita bertuah dapat terus menyaksikannya beraksi di EPL untuk beberapa musim lagi,” kata White.

Gol Salah serta sumbangan besarnya dalam kejayaan Liverpool menyamai rekod 20 kejuaraan liga – sekali gus menandingi rekod kejuaraan Manchester United – menjadi antara detik bermakna yang diraikan pada hari bersejarah yang pasti terpahat dalam ingatan para penyokong.

Liverpool pernah memenangi EPL pada 2020, namun disebabkan ketika itu masih lagi dalam pandemik Covid-19 dan terdapat larangan berkumpul, kejuaraan diraikan tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Justeru, ini kali pertama sejak 1990 pemain dan penyokong Liverpool dapat meraikan dan menikmati detik menjulang trofi bersama.

Suasana perayaan bermula sebelum sepak mula di Liverpool, dengan jalan sekitar Anfield dipenuhi lautan merah penyokong The Reds.

Memandangkan Palace baru menjuarai Piala FA pada 17 Mei, penyokong mereka turut hadir dalam semangat berpesta.

Detik istimewa tercipta apabila selepas menerima penghormatan ‘guard of honour’ daripada pemain Palace, skuad tuan rumah pula membalas dengan memberikan penghormatan serupa sebagai tanda menghargai kejayaan Palace.

Ramai legenda Liverpool menghadiri perlawanan terakhir itu termasuk bekas pengurus, Jurgen Klopp, dan bekas kapten, Alan Hansen, yang kembali ke Anfield selepas pulih daripada masalah kesihatan serius untuk menyampaikan trofi pada akhir perlawanan.

Bekas kapten Liverpool, Alan Hansen (kanan), yang beraksi bersama pasukan itu daripada 1977 hingga 1991, hadir di hari perlawanan terakhir Liga Perdana England (EPL) di Anfield untuk menyerahkan trofi kejuaraan EPL kepada anak didik Arne Slot.
Bekas kapten Liverpool, Alan Hansen (kanan), yang beraksi bersama pasukan itu daripada 1977 hingga 1991, hadir di hari perlawanan terakhir Liga Perdana England (EPL) di Anfield untuk menyerahkan trofi kejuaraan EPL kepada anak didik Arne Slot. - Foto REUTERS

Walaupun Ismaila Sarr meletakkan Palace di hadapan, penyokong di Kop tidak berganjak dan terus menyanyikan lagu-lagu sorakan mereka.

Namun, gol Salah dan tiupan wisel penamat disambut dengan sorakan paling gemuruh yang pernah didengar untuk keputusan seri 1-1, memastikan Liverpool menamatkan musim ini tanpa sebarang kekecewaan.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata pemain dan penyokong benci pada kekalahan dan mereka menzahirkan perkara tersebut pada hari perlawanan.

“Sudah 35 tahun sejak penyokong dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan ini. Semua orang dapat melihat betapa bermaknanya buat mereka – dan itulah yang menjadikannya begitu istimewa.

“Anda bermain bola sepak bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah untuk penyokong. Dan penyokong kami memang luar biasa,” ujarnya.

Pengurus Liverpool, Arne Slot (kanan), meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) 2024/25 bersama pemain dan penyokong di Anfield pada 26 Mei.
Pengurus Liverpool, Arne Slot (kanan), meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) 2024/25 bersama pemain dan penyokong di Anfield pada 26 Mei. - Foto REUTERS

Tiada aura negatif dipamerkan pada hari itu, dengan penyokong turut menyambut Trent Alexander-Arnold dengan sorakan ketika beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua – aksi terakhirnya dalam jersi Liverpool.

Walau sebelum ini pernah menerima sorakan negatif daripada sebahagian penyokong susulan pengumumannya untuk meninggalkan kelab itu selepas dua dekad, beliau disambut penuh positif ketika perlawanan itu – dan sentuhan pertamanya disambut dengan tepukan gemuruh.

Sorakan semakin bergema apabila beliau menjulang trofi bersama rakan sepasukan, dan beliau kelihatan sukar menahan air mata ketika memeluk rakan sepasukannya buat kali terakhir di Anfield.

“Saya mahu bermain sekali lagi untuk kelab ini dan Arne Slot beri kepercayaan. Sambutan yang saya terima hari ini lebih bermakna daripada segalanya.

“Saya dah beraksi pada ratusan perlawanan untuk kelab ini tetapi saya tidak pernah rasa begitu disayangi seperti hari ini,” kata Alexander-Arnold kepada agensi berita Sky Sports.

Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold, menyifatkan ia merupakan satu keistimewaan besar beraksi untuk Liverpool dan beliau tidak pernah berhenti berfikir mengenai pasukan itu. Beliau akan berpindah ke Real Madrid pada musim depan.
Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold, menyifatkan ia merupakan satu keistimewaan besar beraksi untuk Liverpool dan beliau tidak pernah berhenti berfikir mengenai pasukan itu. Beliau akan berpindah ke Real Madrid pada musim depan. - Foto EPA-EFE

Beliau menyifatkan ia merupakan satu keistimewaan besar beraksi untuk Liverpool dan beliau tidak pernah berhenti berfikir mengenai pasukan itu.

“Dua puluh tahun memang sangat lama – dan saya hargai setiap saat, suka dan duka.

“Saya akan ingat hari ini sampai bila-bila. Ia hari paling istimewa dalam hidup saya,” tambahnya.

Persembahan terakhir Alexander-Arnold itu juga antara aksi terbaiknya – dengan keupayaan hantaran jauhnya membantu mengubah tempo perlawanan untuk memihak tuan rumah.

Slot menambah beliau tidak terkejut dengan sokongan yang diberikan kepada Alexander-Arnold dan berkata:

“Beliau juga beraksi dengan sangat menakjubkan. Beliau layak menerimanya. Saya gembira untuknya – semua orang boleh nampak betapa sukarnya untuk beliau tinggalkan kelab ini. Dan itu yang kami mahukan – buatkan pemain sukar untuk tinggalkan kelab ini.

“Tetapi, ia satu perpisahan yang sangat bermakna untuknya.”

Pada musim panas lalu, Liverpool mengejutkan ramai apabila tidak terlalu aktif ketika jendela perpindahan, dengan penyerang, Federico Chiesa, menjadi pembelian utama.

Namun, dengan pemergian Alexander-Arnold, mereka dijangka lebih sibuk musim panas ini bagi memastikan mereka kekal bersaing di hadapan.

Usaha itu sudah pun bermula dengan Liverpool dilaporkan sedang bergerak untuk mendapatkan dua pemain Bayer Leverkusen – Jeremie Frimpong dan Florian Wirtz.

Frimpong mampu bermain di sebarang posisi di bahagian kanan, manakala Wirtz ialah pemain tengah menyerang.

“Kami mahu pemain baru dan sebaiknya, lebih awal lebih baik.

“Kelab ini tidak bermula hari ini – banyak kerja sudah dilakukan di belakang tabir,” kata Slot.

Namun siapa sahaja yang bakal tiba, Slot berharap suasana sambutan pada hari terkahir itu akan terus menyuntik semangat pasukan untuk lebih banyak kejayaan.

“Moga selera untuk menang terus membara.

“Itulah yang kita harap dalam beberapa minggu akan datang. Ada beberapa pemain yang sudah tunjuk mereka mampu menang berulang kali. Mereka terus tampil cemerlang dari tahun ke tahun.

“Kami tahu ia akan kembali menjadi sukar – seperti musim ini, dan mungkin lebih sukar musim depan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg