WASHINGTON: Pesawat penerbangan American Airlines 5342, sebuah jet serantau yang berlepas dari Wichita, Kansas, sedang bergerak ke bawah dan hampir mendarat di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan di Washington pada malam 29 Januari, apabila ia bertukar hala ke atas pada saat-saat akhir.
Penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kelihatan tidak pasti, sama ada itu bermakna juruterbang telah dimaklumkan tentang sesuatu yang tidak kena semasa penurunan terakhir pesawat itu.
Tetapi perubahan mendadak dalam trajektori pesawat itu tidak mencukupi baginya untuk mengelak daripada bertembung dengan sebuah helikopter tentera yang terbang lebih tinggi daripada yang sepatutnya, hingga mengorbankan 67 orang kesemuanya.
Pada 1 Februari, tentera Amerika Syarikat mengeluarkan nama askar ketiga yang maut di atas helikopter Black Hawk dalam nahas tersebut.
Askar itu dikenal pasti sebagai Kapten Rebecca Lobach, dari Durham, Carolina Utara. Beliau adalah pegawai penerbangan tentera sejak 2019 dan ditugaskan ke Batalion Penerbangan ke-12 di Fort Belvoir, Virginia.
Pihak tentera pada mulanya enggan mendedahkan nama Kapten Lobach, satu keputusan luar biasa yang menurut agensi itu dibuat atas permintaan keluarganya.
Tetapi pada 1 Februari, pihak tentera berkata dalam satu kenyataan, keluarganya akhirnya bersetuju mendedahkan namanya kepada umum.
“Beliau bintang yang cerah dalam hidup kami,” kata keluarganya dalam satu kenyataan, sambil menyatakan Kapten Lobach bekerja sebagai pembela untuk mangsa serangan seksual dan merancang untuk menjadi doktor selepas perkhidmatan tenteranya.
“Tiada siapa yang mempunyai impian lebih besar atau bekerja lebih keras untuk mencapai matlamatnya,” tambah keluarganya.
Tentera Amerika sebelum ini mendedahkan nama dua lagi askar yang terbunuh dalam nahas 29 Januari itu sebagai Staf Sarjan Ryan Austin O’Hara, 28 tahun, dan Ketua Pegawai Waran 2 Andrew Loyd Eaves, 39 tahun.
Nama 60 penumpang dan empat anak kapal yang terkorban dalam jet itu belum diumumkan secara rasmi, walaupun ramai yang telah didedahkan melalui keluarga mereka dan media sosial.
Sebanyak 42 mayat telah ditemui setakat ini, kata jabatan bomba Washington DC pada 1 Februari.
Dalam satu taklimat pada 1 Februari, ahli lembaga NTSB memberikan maklumat baru dan lebih terperinci mengenai detik-detik yang membawa kepada nahas udara itu.
Jet serantau dan helikopter Black Hawk itu bertembung pada ketinggian antara 91 meter dengan 106 meter di atas Sungai Potomac, menurut penyiasat yang mendapatkan maklumat daripada perakam data penerbangan.
Itu bererti helikopter itu berada lebih daripada 30 meter di atas had ketinggian yang dibenarkan untuk laluannya berhampiran lapangan terbang itu. – Reuters, Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg