Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita, 26 tahun, sempat hantar mesej terakhir kepada suami sebelum tragedi

41 mayat ditemui sejauh ini dalam nahas pesawat-helikopter dekat Washington
Feb 1, 2025 | 7:51 PM
Cik Asra Hussain (kanan) adalah salah seorang daripada 60 penumpang yang terbunuh apabila pesawat penumpang yang dinaiki bertembung dengan helikopter tentera Amerika. Beliau sempat menghantar mesej terakhir kepada suaminya, Encik Hamaad Raza (kiri), sebelum nahas itu. Foto dirakam semasa hari perkahwinan mereka pada 2022. 
Cik Asra Hussain (kanan) adalah salah seorang daripada 60 penumpang yang terbunuh apabila pesawat penumpang yang dinaiki bertembung dengan helikopter tentera Amerika. Beliau sempat menghantar mesej terakhir kepada suaminya, Encik Hamaad Raza (kiri), sebelum nahas itu. Foto dirakam semasa hari perkahwinan mereka pada 2022.  - Foto FACEBOOK ASRA HUSSAIN

WASHINGTON: Seorang wanita muda yang menghantar mesej terakhir kepada suaminya sejurus sebelum terkorban dalam nahas pesawat di Washington DC, Amerika Syarikat, telah dikenal pasti.

Cik Asra Hussain menghantar mesej kepada suaminya, Encik Hamaad Raza, 25 tahun, yang berbunyi “Kami akan mendarat dalam 20 minit”, ketika pesawat American Eagle 5342 menghampiri Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan sejurus sebelum 8 malam pada 29 Januari lalu.

Malangnya, ia adalah teks terakhir yang Cik Asra, 26 tahun, sempat kirimkan, lapor agensi berita Reuters.

Cik Asra adalah salah seorang daripada 60 penumpang yang dipercayai terkorban apabila jet Bombardier CRJ700 itu, yang diterbangkan oleh anak syarikat serantau American Airlines, American Eagle, bertembung dengan sebuah helikopter Black Hawk tentera Amerika.

Empat anak kapal dalam pesawat itu juga meninggal dunia, bersama tiga anggota tentera di dalam helikopter.

Setakat ini, 41 mayat mangsa termasuk pemain luncur kelas dunia dan pemain luncur yang masih muda telah ditemui.

Dalam taklimat berita, Ketua Bomba dan EMS D.C., Encik John Donnelly, berkata semua mayat daripada nahas itu dijangka dapat ditemui semula.

Encik Hamaad Raza, yang sedang menunggu di lapangan terbang untuk ketibaan isterinya itu, tidak menerima sebarang mesej lain, kata bapanya, Hashim Raza, kepada Reuters.

“Asra adalah segala-galanya bagi kami,” kata Encik Hashim Raza, menahan sebak dengan suara bergetar, dalam temu bual telefon ketika beliau dalam perjalanan dari Missouri ke Washington untuk bertemu anaknya.

“Dan kini anak saya sudah duda pada usia 25 tahun. Apa yang saya katakan kepadanya? Mereka merancang untuk mempunyai anak, mereka sangat menantikannya,” tambah beliau.

Pasangan itu bertemu di Indiana University Bloomington, di mana Cik Asra belajar kewangan korporat dan merupakan pelajar cemerlang.

Cik Asra kemudian memperoleh ijazah sarjana dalam kesihatan awam daripada Universiti Columbia dan mendapat pekerjaan dengan kumpulan perunding di Washington, dengan matlamat utama untuk bekerja dengan pemerintah bagi meningkatkan kesihatan awam, kata bapa mertuanya.

“Apa yang dia mahu lakukan ialah membantu orang ramai, dan di sini, dia fikir adalah tempat untuk mencapai matlamatnya,” kata Encik Raza.

YEVGENIA SHISHKOVA DAN VADIM NAUMOV

Pasangan suami isteri, Cik Yevgenis Shishkova dan Encik Vadim Naumov, kelahiran Russia, memenangi kejohanan dunia secara berpasangan dalam acara luncur pada 1994 dan pernah menjadi jurulatih di Kelab Luncur Boston sejak 2017.

“Mereka adalah orang yang berbakat dan indah ,” kata Cik Ludmila Velikova di St. Petersburg, di mana beliau melatih kedua-dua pemain luncur itu semasa mereka masih kanak-kanak.

“Zhenya (Shishkova) berlatih bersama saya dari umur 11 tahun dan Vladik (Naumov) dari umur 14 tahun. Mereka seperti anak saya sendiri,” kata beliau.

SAM LILLEY DAN IAN EPSTEIN

Encik Sam Lilley, 28 tahun, adalah salah seorang daripada dua juruterbang dalam pesawat itu dan berkhidmat sebagai pegawai pertama, kata bapanya, Encik Timothy Lilley, dalam hantaran Facebook.

“Saya sangat bangga apabila Sam menjadi juruterbang,” tulis Encik Timothy Lilley, yang juga seorang juruterbang, yang berada di New York pada masa nahas itu.

“Sekarang ia sangat menyakitkan sehingga saya tidak boleh menangis.”

Encik Sam Lilley telah mengikat pertunangan dan merancang berkahwin pada akhir tahun ini (2025), kata bapanya.

“Ini sudah pasti hari paling buruk dalam hidup saya,” kata beliau kepada stesen televisyen FOX 5.

Encik Ian Epstein, seorang pramugara, adalah seorang yang ramah dan menyukai pekerjaannya, kata bekas isterinya, Cik Debi Epstein, kepada akhbar Charlotte Observer.

“Dia menjadikan pengalaman penerbangan menyeronokkan untuk penumpang di dalam pesawat supaya mereka tidak takut,” katanya.

Dalam taklimat berita pada 1 Februari, Encik Donnelly, berkata semua mayat daripada nahas itu dijangka dapat ditemui.

Beliau berkata 41 mayat telah ditemui daripada 67 orang di atas kedua-dua pesawat American Airlines dan helikopter Black Hawk itu.

Namun beliau menambah bahawa fiuslaj pesawat itu perlu dialihkan dari Sungai Potomac untuk mengakses mayat-mayat yang lain.

Keadaan cuaca di kawasan D.C., yang berkabus tidak menjejas usaha mencari setakat ini, katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg