Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vance: Gencatan senjata Gaza berjalan lebih baik daripada dijangka

Lawatan Naib Presiden AS ke Israel dijangka beri tekanan kepada Netanyahu agar mula rundingan jangka panjang tamat perang
Oct 22, 2025 | 2:22 PM
naib presiden j.d. Vance
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, bercakap semasa sidang media di Pusat Penyelaras Ketenteraan-Sivil (CMCC) yang diterajui Amerika Syarikat di lokasi yang tidak didedahkan di selatan Israel, pada 21 Oktober. - Foto EPA

KIRYAT GAT (Israel): Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, menegaskan bahawa beliau kekal optimis terhadap masa depan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, walaupun keganasan kembali tercetus di Gaza.

Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik diteruskan bagi memastikan perjanjian damai yang diumumkan Presiden Donald Trump terus berjalan mengikut perancangan.

Encik Vance, yang bercakap di pangkalan pasukan pemantau pelbagai negara berhampiran sempadan Gaza pada 21 Oktober, berkata beliau melihat kemajuan penting dalam pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata tersebut.

“Akan ada turun naik dalam proses ini,” kata Encik Vance sambil berdiri di sisi menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, dan utusan presiden Encik Steve Witkoff.

“Akan ada saat di mana keadaan kelihatan sukar. Tetapi melihat sejarah panjang konflik ini, saya fikir semua pihak patut berbangga dengan sejauh mana kita telah melangkah,” tambah beliau.

Kenyataan Encik Vance dibuat susulan insiden keganasan pada 19 Oktober yang hampir menggagalkan gencatan senjata berusia 12 hari itu.

Israel mendakwa dua askarnya terbunuh akibat serangan Hamas di selatan Gaza, yang mencetuskan serangan balas udara oleh tentera Israel sehingga mengorbankan puluhan rakyat Palestin.

Naib presiden itu menegaskan bahawa perjanjian tersebut, yang disifatkan oleh Encik Trump sebagai pencapaian bersejarah, memerlukan “pemantauan dan penyeliaan berterusan”

Beliau menambah bahawa gencatan senjata ini kini berada “dalam keadaan yang baik,” walaupun berdepan ujian serius selepas serangan hendap Hamas dan serangan udara Israel baru-baru ini.

Encik Vance mengakui masih ada kebimbangan bahawa keganasan boleh menjejas fasa kedua perjanjian, yang dijangka akan melibatkan pembentukan struktur pentadbiran baru serta usaha membina semula Gaza yang musnah akibat perang selama dua tahun.

“Saya benar-benar optimis gencatan ini akan bertahan,” katanya.

“Bolehkah saya katakan dengan 100 peratus pasti ia akan berjaya? Tidak. Tetapi anda tidak boleh mencapai sesuatu yang sukar dengan hanya memilih apa yang pasti berjaya.”

Lawatan Encik Vance ke Israel dijangka memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu agar memulakan rundingan jangka panjang untuk menamatkan perang dengan Hamas secara kekal.

Beliau memuji Israel kerana “amat membantu” dalam pelaksanaan fasa pertama pelan damai, namun menegaskan masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan langkah susulan berjalan lancar.

Encik Trump dilapor menghantar Encik Vance, Encik Witkoff dan Encik Kushner ke Israel bagi mengekalkan momentum dan menggerakkan rundingan fasa kedua pelan damai 20 perkara anjurannya.

Fasa pertama perjanjian itu telah membawa manfaat kepada kedua-dua pihak dengan Israel memperoleh jaminan keselamatan sementara Hamas membebaskan tebusan terakhirnya sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin.

Namun fasa kedua dijangka lebih rumit, memerlukan kedua-dua pihak melepaskan kawalan mereka terhadap wilayah Gaza.

Encik Vance memberi amaran bahawa Amerika tidak menetapkan tarikh akhir bagi Hamas melucutkan senjata, tetapi menegaskan akibatnya akan serius sekiranya kumpulan itu gagal mematuhi perjanjian.

“Jika Hamas enggan melucutkan senjata seperti yang dipersetujui, perkara yang sangat buruk akan berlaku,” katanya dengan tegas.

Encik Netanyahu, sebelum ini menegaskan bahawa sebarang pelanggaran perjanjian termasuk kegagalan Hamas melucutkan senjata akan memberi Israel alasan untuk kembali berperang.

Namun, Washington menunjukkan sikap lebih berhati-hati dan memberi ruang kepada proses damai untuk diteruskan.

Ketika lawatan rasmi ke Israel, Encik Vance turut melawat Pusat Penyelaras Ketenteraan-Sivil (CMCC), pusat operasi yang diterajui Amerika bagi menyelaras pasukan antarabangsa memantau gencatan senjata dan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pusat itu diketuai seorang jeneral tiga bintang Amerika dengan timbalan dari Britain, serta disertai tentera dari Amiriah Arab Bersatu, Mesir, Turkey dan Qatar.

“Pusat ini simbol komitmen antarabangsa terhadap keamanan Gaza,” kata Encik Vance.

“Kita semua berada di sini bukan untuk mengawal Gaza, tetapi untuk memastikan keamanan dikekalkan,” tambah beliau.

Namun, dalam kalangan pegawai Israel sendiri terdapat rasa ragu terhadap peranan pasukan antarabangsa itu.

Anggota Kabinet keselamatan Netanyahu, Encik Zev Elkin, berkata kepada radio Kan: “Saya tidak fikir pasukan ini akan datang untuk melucutkan senjata Hamas. Akhirnya, Hamas akan sedar bahawa satu-satunya pilihan mereka ialah menyerah diri atau berdepan kehancuran.”

Pemerintah Israel juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kelewatan Hamas dalam menyerahkan mayat tebusan yang terbunuh.

Hamas mendakwa pencarian di runtuhan bangunan masih dijalankan, dan pada pagi Isnin, 15 mayat masih belum ditemui.

Sementara itu, Presiden Trump menyatakan bahawa beberapa negara Timur Tengah bersedia menghantar pasukan tentera “dengan kekuatan besar” ke Gaza sekiranya Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata.

Dalam kenyataan di media sosial, Encik Trump menulis bahawa “banyak negara di rantau ini sudah bersetuju untuk bertindak jika Hamas tidak mematuhi perjanjian,” namun menambah, “masih ada harapan bahawa Hamas akan melakukan perkara yang betul.”

Utusan khas Presiden, Encik Jared Kushner, pula meremehkan kebimbangan terhadap insiden keganasan terbaru.

“Banyak pihak terlalu panik tentang beberapa pelanggaran kecil,” katanya kepada wartawan.

“Kita perlu melihat gambaran besar, proses ini tidak akan lancar, tetapi arah tuju kita betul,” tambah beliau.

Encik Trump juga menegaskan bahawa beliau tidak akan menghantar askar Amerika ke Gaza, dan menolak dakwaan bahawa Washington kini mengawal keputusan ketenteraan Israel.

Namun, beberapa penganalisis Israel berpendapat bahawa keputusan penting mengenai tindakan tentera kini semakin banyak dipengaruhi oleh Rumah Putih.

Ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, yang kini berada di Kahirah, menegaskan kumpulannya “komited sepenuhnya” terhadap pelaksanaan perjanjian damai itu.

“Apa yang kami dengar daripada pihak perantara dan Presiden Amerika memberi jaminan bahawa perang di Gaza sudah berakhir,” katanya kepada saluran Al-Qahera News TV.

Beliau turut menyatakan Hamas sedang berusaha memulangkan semua mayat tebusan yang masih tertimbus di bawah runtuhan, namun menghadapi kesukaran berikutan kekurangan peralatan penyelamat.

Israel pada malam 21 Oktober mengesahkan penyerahan satu lagi mayat tebusan kepada Palang Merah – dikenal pasti sebagai Tal Haimi, 41 tahun, yang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di Kibbutz Nir Yitzhak.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan turut menyeru dunia Islam supaya bersatu mempertahankan gencatan senjata di Gaza.

Dalam pertemuan rasmi dengan Amir Kuwait, Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber, Encik Erdogan menekankan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan menuju keamanan berkekalan.

“Gencatan senjata ini adalah hasil perjuangan yang sukar dicapai, dan dunia Islam mesti mempertahankannya,” katanya.

Kenyataan Encik Erdogan itu menambah tekanan kepada Hamas agar mematuhi perjanjian.

Beberapa pegawai antarabangsa yang terlibat dengan CMCC percaya Hamas boleh dipujuk untuk melucutkan senjata jika mereka diberi ruang dalam pentadbiran Gaza pascaperang serta pengunduran penuh tentera Israel.

Dengan pelbagai cabaran yang masih menghalang, Encik Vance menegaskan komitmen Amerika untuk memastikan proses damai tidak terganggu.

“Kita tidak akan berundur. Perdamaian ini sukar dicapai, tetapi ia berbaloi untuk diperjuangkan,” katanya sebelum meninggalkan pusat operasi di selatan Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg