Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah Putih usaha selamatkan pelan damai Gaza di tengah ketegangan baru

Oct 21, 2025 | 4:37 PM
Rumah Putih, Israel, pelan damai Gaza
Jentera berat beroperasi di lokasi pencarian mayat tebusan yang terbunuh selepas diculik oleh Hamas dalam serangan pada 7 Oktober 2023, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berkuat kuasa, di Khan Younis, selatan Jaluran Gaza. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Rumah Putih kini berusaha keras memastikan pelan damai Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat dapat dikekalkan di tengah-tengah kebimbangan bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mungkin membatalkan perjanjian yang diusahakan Presiden Donald Trump.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, tiba di Israel bagi mengadakan rundingan bersama-sama dengan Encik Steve Witkoff, utusan khas Timur Tengah, dan Encik Jared Kushner, menantu Encik Trump, yang memainkan peranan penting dalam memeterai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Dalam pada itu, Encik Trump memberi amaran keras bahawa beliau akan membenarkan Israel “memusnahkan” Hamas sekiranya kumpulan itu melanggar perjanjian damai.

“Kami telah mencapai perjanjian dengan Hamas, mereka perlu berkelakuan baik. Tetapi jika mereka tidak, kami akan hapuskan mereka sepenuhnya,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

“Mereka tahu apa akibatnya,” tambahnya.

Amaran itu disampaikan selepas insiden keganasan baru meletus di Gaza pada 19 Oktober lalu, yang menimbulkan persoalan tentang ketahanan gencatan senjata berusia 10 hari itu.

Tentera Israel melaporkan dua askar terbunuh dan seorang cedera selepas diserang peluru berpandu antikereta kebal oleh kumpulan Hamas.

Menurut beberapa pegawai kanan Amerika, terdapat kebimbangan dalaman bahawa Encik Netanyahu mungkin berundur daripada pelan damai yang dirancang dengan teliti itu.

Kehadiran Encik Vance, Encik Witkoff dan Encik Kushner dilihat sebagai usaha menahan Israel daripada melancarkan serangan penuh terhadap Gaza.

Encik Trump dan pentadbirannya masih percaya bahawa kepimpinan Hamas bersedia untuk berunding secara jujur dan serangan terhadap tentera Israel dilakukan oleh kumpulan kecil yang bertindak di luar kawalan.

Seorang pegawai Rumah Putih memaklumkan bahawa Encik Trump menganggap kekacauan yang berlaku di Gaza sebagai “pemberontakan dalaman” dalam Hamas dan bukannya pelanggaran rasmi perjanjian.

“Ada segelintir kumpulan Hamas yang bertindak melulu,” ujar Encik Trump, “tetapi jika kekerasan berterusan, Israel akan mendapat lampu hijau untuk menghapuskan mereka”.

Namun, sejak perjanjian dimeterai, Hamas dilaporkan melancarkan tindakan keras terhadap kumpulan lawannya di Gaza sesuatu yang pada awalnya dipuji Encik Trump sebagai usaha “membersihkan kumpulan samseng”, tetapi kini menimbulkan persoalan tentang niat sebenar Hamas. “Jika Hamas tidak menunaikan janji untuk melucutkan senjata, maka Israel akan menerima sokongan penuh Amerika untuk menghapuskan mereka,” tegas Encik Trump.

Ahli akademik Timur Tengah, Encik Khaled Elgindy, menyifatkan saat ini sebagai penentu kepada masa depan gencatan senjata. “Inilah detik yang akan menentukan sama ada gencatan ini dapat bertahan dan apa maknanya bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut Rumah Putih, beberapa kerajaan Arab yang turut menaja pelan damai itu kini bermesyuarat di Kahirah bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian tersebut.

Encik Trump menjelaskan bahawa tanggungjawab kini “berada di tangan pihak lain” sambil menegaskan bahawa 59 negara telah menandatangani sokongan terhadap pelan tersebut.

Encik Witkoff dan Encik Kushner mengakui bahawa situasi “amat rapuh” dan memerlukan langkah berhati-hati untuk mengekalkan perjanjian daripada runtuh.

Antara fokus utama mereka ialah memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza dan mengurus baki pemulangan mayat tebusan Israel.

Salah satu cabaran utama kini ialah pelaksanaan melucutkan senjata Hamas, yang menjadi syarat utama dalam perjanjian. Walaupun proses itu belum mempunyai jadual tetap, Mesir dijangka mengetuai pasukan penstabil antarabangsa bagi memastikan keselamatan di Gaza selepas pengunduran tentera Israel.

Selain itu, pasukan Amerika juga sedang bekerjasama dengan pemaju untuk membangunkan semula kawasan Gaza yang telah musnah, termasuk cadangan zon tarif sifar bagi menggalakkan pelaburan dan pembinaan semula.

Walaupun kedua-dua pihak menegaskan komitmen terhadap gencatan senjata, keganasan masih tercetus.

Serangan balas Israel di Rafah mengorbankan 45 rakyat Palestin, sementara Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban sejak perjanjian bermula telah mencecah sekitar 80 nyawa.

Dalam ucapan kepada Parlimen Israel, Encik Netanyahu memberi bayangan bahawa rundingan dengan Encik Vance akan tertumpu kepada masa depan Gaza dan rancangan pascaperang yang disusun Amerika, termasuk cadangan menubuhkan pentadbiran Palestin baru dan pasukan keselamatan antarabangsa.

Namun, banyak aspek daripada pelan itu masih belum dilaksanakan termasuk pemulangan 15 mayat tebusan Israel yang masih berada di Gaza.

Israel menuduh Hamas melanggar syarat perjanjian manakala Hamas mendakwa kemusnahan besar akibat perang selama dua tahun menyukarkan operasi mencari mayat.

Amerika turut bekerjasama dengan Turkey untuk membawa masuk pasukan pakar mencari mayat, memandangkan pengalaman negara itu dalam operasi bencana seperti gempa bumi.

Kunjungan Encik Vance ke Israel membawa mesej tegas bahawa Washington tidak mahu pelan damai ini gagal. Namun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa gencatan senjata yang rapuh ini boleh runtuh bila-bila masa dibayangi keengganan Hamas melucutkan senjata dan tekanan politik dalaman terhadap Encik Netanyahu.

Encik Trump sendiri menggambarkan situasi itu sebagai “ujian paling besar” terhadap diplomasi Amerika di Timur Tengah. “Kami mahu keamanan, tetapi jika mereka mengkhianati perjanjian, kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg