KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada 19 Ogos selepas mesyuarat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Eropah bahawa jaminan keselamatan untuk Kyiv mungkin akan diselesaikan dalam tempoh 10 hari.
“Jaminan keselamatan mungkin akan ‘didedahkan’ oleh rakan kongsi kami dan lebih banyak lagi butiran akan muncul.
“Semua ini akan dibentangkan secara formal di atas kertas dalam tempoh minggu depan hingga 10 hari,” kata Encik Zelensky, pada taklimat akhbar selepas mesyuarat di Rumah Putih itu.
Encik Trump memberitahu Encik Zelensky pada 18 Ogos bahawa Amerika akan membantu menjamin keselamatan Ukraine dalam sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Russia.
Namun, bantuan yang bakal diberikan itu tidak jelas.
“Adalah penting Amerika memberi isyarat jelas bahawa ia akan menjadi antara negara yang membantu untuk menyelaraskan dan juga akan menjadi peserta dalam jaminan keselamatan untuk Ukraine.
“Saya percaya ini adalah satu langkah besar ke hadapan,” tambah Encik Zelensky.
Walaupun perjanjian damai kelihatan jauh daripada menjadi kenyataan selepas mesyuarat di Washington, Encik Zelensky menyifatkan pertemuannya pada 18 Ogos dengan Encik Trump sebagai yang “terbaik” bagi beliau setakat ini.
Menurutnya, Ukraine bersedia bertemu Russia dalam “sebarang format”, dan isu wilayah akan dibincangkan pada peringkat dua hala dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.
Namun, tiada tarikh ditetapkan untuk kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Moscow.
“Persoalan wilayah adalah sesuatu yang akan saya dan Encik Putin rungkaikan,” kata Encik Zelensky.
Beliau menambah bahawa sebahagian daripada jaminan keselamatan untuk Ukraine adalah pakej senjata Amerika, “termasuk pesawat, dan sistem pertahanan udara”.
“Memang ada pakej dengan cadangan kami bernilai AS$90 bilion ($115 bilion).
“Dan kami mempunyai perjanjian dengan Presiden Amerika bahawa apabila eksport kami dibuka, mereka akan membeli dron Ukraine. Ini penting bagi kami,” tambah Encik Zelensky.
Beliau sebelum ini dipetik sebagai memberi amaran tegas: “Rakyat Ukraine tidak akan menyerahkan tanah mereka kepada penjajah.
“Sebarang keputusan yang dibuat tanpa Ukraine adalah keputusan menentang keamanan
“Ia tidak akan membawa apa-apa. Ini adalah keputusan yang muktamad.”
Kerisauan utama Kyiv sejak enam bulan lalu adalah kemungkinan Encik Trump membayangkan perjanjian damai yang dirunding secara langsung antara beliau dengan Encik Putin – sama seperti persidangan Yalta 1945 apabila kuasa besar dunia membahagikan Eropah pasca-Perang Dunia Kedua. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg