Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaib Presiden Indonesia berdepan desakan letak jawatan susulan kelayakan akademik
Naib Presiden Indonesia berdepan desakan letak jawatan susulan kelayakan akademik
JAKARTA: Kedudukan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, kini menjadi tanda tanya selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai kelayakan akademiknya mencetuskan desakan supaya beliau disiasat dan kemungkinan dipecat daripada jawatan.
Keputusan mahkamah pada 6 Oktober itu mendapati tiada bukti meyakinkan bahawa Encik Gibran memiliki diploma yang setaraf dengan kelulusan sekolah menengah atas (SMA), seperti yang diwajibkan bagi calon presiden dan naib presiden dalam pilihan raya 2024.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membatalkan pelantikan Encik Gibran sebagai naib presiden, sebaliknya menyerahkan penilaian lanjut mengenai kesahihan kelayakan akademiknya kepada institusi yang mempunyai bidang kuasa mengikut Perlembagaan Indonesia.
Keputusan tersebut mencetuskan perbahasan politik di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), dengan beberapa ahli politik menggesa siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada Encik Gibran benar-benar memenuhi syarat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden dua tahun lalu.
Encik Gibran, anak sulung bekas Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo atau Jokowi, dipilih sebagai naib presiden selepas bergandingan dengan Presiden Prabowo Subianto dalam pilihan raya 2024.
Kenaikan beliau ke jawatan kedua tertinggi negara itu sebelum ini turut mencetuskan kontroversi berhubung kelayakan pencalonannya dan pengaruh politik bapanya.
Desakan terbaru muncul selepas sepucuk surat yang menggesa DPR memulakan proses pemecatan Gibran tersebar luas pada 7 Oktober.
Surat tersebut didakwa dikemukakan anggota DPR daripada Parti Nasdem, Encik Tonny Tesar, dan meminta Parlimen menyiasat kelayakan akademik naib presiden itu.
Bagaimanapun, pemimpin kanan Nasdem, Encik Ahmad Sahroni, menafikan kesahihan surat tersebut dan menyifatkannya sebagai berita palsu.
Timbalan Pengerusi Nasdem, Encik Saan Mustofa, pula berkata partinya belum menetapkan pendirian rasmi kerana masih meneliti keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Sementara itu, beberapa pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang pernah dianggotai Encik Gibran, menggesa DPR mengambil tindakan tegas.
Ahli politik PDI-P, Encik Komarudin Watubun, berkata Gibran mempunyai dua pilihan sekiranya persoalan mengenai kelayakannya tidak dapat diselesaikan.
“Hanya ada dua pilihan. Pertama, lebih baik Gibran meletakkan jawatan. Jika tidak, DPR perlu mengambil tindakan tegas susulan keputusan mahkamah yang boleh membawa kepada pemecatan,” katanya pada 8 Oktober.
Bagaimanapun, PDI-P sendiri belum mengumumkan pendirian rasmi mengenai kemungkinan memulakan proses pemecatan itu.
Anggota DPR daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Eko Widodo, pula mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dokumen pendidikan Gibran.
Menurutnya, sekiranya siasatan membuktikan diploma yang diperlukan tidak wujud, DPR boleh membawa perkara itu melalui proses perundangan sebelum mengemukakan cadangan pemecatan kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).
Di bawah Perlembagaan Indonesia, presiden atau naib presiden boleh dipecat sekiranya terbukti melakukan pelanggaran undang-undang serius atau tidak lagi memenuhi syarat memegang jawatan.
Namun, proses itu memerlukan tindakan DPR, penelitian Mahkamah Perlembagaan dan keputusan MPR.
Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan polis turut dibuat terhadap Encik Gibran dan Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah Indonesia pada 7 Oktober berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan akademik yang digunakan ketika beliau bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2024.
Wakil pasukan peguam yang membuat laporan, Encik Ahmad Khozinudin, berkata pihaknya mempersoalkan sijil yang dikeluarkan kementerian pendidikan pada Ogos 2019.
Sijil itu didakwa digunakan sebagai asas pengiktirafan kelulusan pendidikan luar negara Gibran supaya setaraf dengan syarat minimum pencalonan naib presiden.
Menurutnya, keputusan terbaru Mahkamah Perlembagaan turut dikemukakan kepada polis sebagai bukti tambahan bagi menyokong laporan tersebut.
Bagaimanapun, dakwaan itu masih memerlukan siasatan dan belum membuktikan bahawa Gibran atau kementerian terbabit melakukan pemalsuan dokumen.
Mahkamah Perlembagaan menjelaskan bahawa status Gibran sebagai calon telah berakhir apabila beliau mengangkat sumpah sebagai naib presiden pada 20 Oktober 2024.
Oleh itu, mahkamah tidak mempunyai asas dalam kes berkenaan untuk membatalkan pelantikannya, walaupun persoalan mengenai kesahihan kelulusan akademik masih belum diselesaikan.
Pakar politik berpendapat bahawa nasib Gibran kini bergantung pada pendirian parti-parti politik di DPR, khususnya sama ada mereka bersetuju untuk memulakan proses pemecatan.
Ahli politik kanan Parti Golkar, Encik Ahmad Doli Kurnia, berkata sebarang tindakan susulan akan ditentukan melalui proses politik dan persetujuan pemimpin parti di Parlimen.
Penganalisis politik, Encik Arifki Chaniago, pula menyifatkan desakan pemecatan itu sebagai tekanan politik yang belum tentu membawa kepada penyingkiran Gibran.
Menurutnya, usaha tersebut memerlukan sokongan lebih luas daripada parti-parti politik sebelum dapat diteruskan.
Seorang lagi penganalisis, Encik Adi Prayitno, berkata kedudukan Gibran mungkin menjadi lebih sukar kerana beliau tidak menganggotai mana-mana parti politik yang boleh memberikan sokongan langsung kepadanya di DPR.
Sementara itu, khabar angin di media sosial bahawa Gibran akan mengumumkan peletakan jawatan pada 9 Oktober dinafikan pemimpin kumpulan penyokong Jokowi, Projo, Encik Budi Arie Setiadi, yang menyifatkannya sebagai berita palsu.
Jokowi pula berkata sebarang usaha memecat anaknya perlu mengikut proses demokrasi, Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pemerintah Presiden Prabowo turut menegaskan bahawa isu berkenaan perlu diselesaikan melalui institusi dan mekanisme perundangan sedia ada.
Setakat ini, Gibran kekal sebagai naib presiden kerana keputusan Mahkamah Perlembagaan tidak membatalkan pelantikannya. Namun, persoalan mengenai kelayakan akademiknya kini beralih daripada pertikaian mahkamah kepada kemungkinan tindakan politik di Parlimen. – Agensi berita