Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaib Presiden Indonesia tampil jelas kelayakan pendidikan selepas keputusan mahkamah
Naib Presiden Indonesia tampil jelas kelayakan pendidikan selepas keputusan mahkamah
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, berkata beliau menghormati semua proses undang-undang selepas Mahkamah Perlembagaan (MK) menolak permohonan untuk membatalkan pelantikannya, walaupun mahkamah membangkitkan persoalan mengenai bukti kelayakan pendidikannya.
Encik Gibran berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan pertikaian itu dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada tugasnya bersama Presiden Prabowo Subianto.
“Kami menghormati semua peringkat dan proses di MK. Perkara paling penting sekarang ialah saya akan terus memberi tumpuan untuk bekerja bagi rakyat serta melaksanakan visi, misi dan program Presiden sebagai pemimpin kami,” katanya selepas merasmikan pameran INACRAFT di Jakarta pada 7 Oktober.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas MK memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan atau menggugurkan Encik Gibran daripada jawatan Naib Presiden seperti yang diminta pemohon.
Kes terbaru itu antara lain mempersoalkan sama ada Encik Gibran memenuhi syarat minimum pendidikan bagi calon presiden dan naib presiden seperti ditetapkan undang-undang pilihan raya Indonesia.
Dalam pertimbangannya, MK berkata ia tidak menemui bukti meyakinkan bahawa Encik Gibran mempunyai ijazah, sijil atau diploma dari luar negara yang boleh dijadikan asas bagi pengiktirafan kelayakan setaraf sekurang-kurangnya sekolah menengah atas.
Hakim Mahkamah Perlembagaan, Encik Adies Kadir, bagaimanapun berkata mahkamah tidak boleh membatalkan atau menggugurkan Encik Gibran daripada jawatan Naib Presiden kerana pemohon tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk membawa tuntutan tersebut.
“Walaupun dalam perbicaraan, mahkamah tidak menemui atau memperoleh bukti meyakinkan yang menunjukkan Gibran Rakabuming Raka mempunyai diploma, sijil atau ijazah luar negara yang digunakan sebagai asas bagi pengiktirafan kelayakan setaraf sekurang-kurangnya pendidikan sekolah menengah atas, mahkamah tidak boleh membatalkan atau menggugurkan Gibran Rakabuming Raka daripada jawatan Naib Presiden,” katanya ketika membacakan keputusan pada 6 Oktober.
Menjawab persoalan mengenai kelayakan sekolah menengahnya, Encik Gibran menegaskan beliau kemudian berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
“Jika saya tidak lulus sekolah menengah, saya tidak mungkin dapat melanjutkan pengajian ke universiti. Saya belajar sehingga memperoleh ijazah sarjana muda di Singapura,” katanya.
Encik Gibran belajar di Sekolah Menengah Orchid Park di Singapura dari 2002 hingga 2004 sebelum meneruskan pengajian di UTS Insearch di Sydney, Australia, dari 2004 hingga 2007 pada peringkat yang disifatkan setaraf pendidikan sekolah menengah atas sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Beliau berkata perkara berkaitan dokumen pendidikan luar negaranya akan disusuli dalam masa terdekat.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) sebelum ini berkata dokumen pencalonan Encik Gibran sudah diperiksa pada Oktober 2023 dan sijil rasmi pengiktirafan kelayakan pendidikannya diterima sebagai memenuhi syarat pencalonan.
Namun, bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Denny Indrayana, yang juga antara pemohon dalam kes itu, berkata pertimbangan mahkamah menguatkan dakwaannya bahawa Encik Gibran tidak memenuhi syarat pendidikan yang ditetapkan undang-undang.
Penyokong Encik Gibran pula menyambut baik keputusan itu dan menggesa pihak yang mencabarnya menerima keputusan mahkamah serta memberi sokongan kepada pemerintah Presiden Prabowo.
Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat yang juga pemimpin kanan Parti Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, berkata anggota Parlimen menghormati keputusan MK tetapi masih perlu meneliti keseluruhan penghakiman.
Kontroversi mengenai kelayakan Encik Gibran sebagai calon naib presiden bermula sebelum pilihan raya 2024.
Beliau, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo, dipilih sebagai calon pasangan Encik Prabowo selepas MK pada Oktober 2023 mengubah tafsiran syarat umur minimum bagi calon presiden dan naib presiden.
Undang-undang ketika itu menetapkan calon perlu berusia sekurang-kurangnya 40 tahun. Encik Gibran baru berusia 36 tahun dan ketika itu berkhidmat sebagai Datuk Bandar Surakarta, atau Solo.
MK memutuskan calon berusia bawah 40 tahun masih boleh bertanding sekiranya pernah atau sedang memegang jawatan yang dipilih menerusi pilihan raya, termasuk sebagai ketua daerah.
Keputusan itu membuka laluan kepada Encik Gibran untuk bertanding tetapi mencetuskan kontroversi kerana Ketua Hakim MK ketika itu, Encik Anwar Usman, yang terbabit dalam kes tersebut, ialah bapa saudara Encik Gibran melalui perkahwinan.
Encik Anwar kemudian dilucutkan jawatan sebagai Ketua Hakim oleh panel etika mahkamah kerana didapati melanggar peraturan konflik kepentingan berkaitan kes itu.
Encik Prabowo kemudian memilih Encik Gibran sebagai calon naib presidennya. Pasangan itu memenangi pilihan raya presiden pada 14 Februari 2024 dengan 96.2 juta undi, atau kira-kira 58.6 peratus undi sah.
Mereka secara rasmi diisytiharkan sebagai pemenang pada April 2024 sebelum mengangkat sumpah sebagai Presiden dan Naib Presiden pada 20 Oktober tahun sama bagi penggal 2024 hingga 2029. - Agensi berita