Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaib presiden Indonesia dijangka mula tugas di Nusantara akhir 2026
NUSANTARA (Indonesia): Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, dijangka mula bertugas dari Istana Naib Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, menjelang akhir 2026.
Ia sekali gus menandakan satu lagi langkah dalam pemindahan pusat pentadbiran negara itu dari Jakarta.
Ketua Penguasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), Encik Basuki Hadimuljono, berkata persiapan bagi membolehkan Encik Gibran menggunakan pejabat barunya hampir selesai, dengan beberapa kakitangan Naib Presiden sudah ditempatkan di IKN.
“Insya-Allah tahun ini (2026),” kata Encik Basuki kepada wartawan pada 15 Ogos, ketika ditanya bila Encik Gibran dijangka mula bertugas dari Nusantara di daerah Penajam Paser Utara.
Menurut beliau, pembinaan Istana Naib Presiden hampir selesai dan bangunan itu pada dasarnya sudah boleh digunakan.
Kerja yang masih berjalan termasuk pemasangan perabot serta kelengkapan dalaman, dengan sebahagian proses perolehan masih di peringkat tender.
“Sudah ada beberapa kakitangan di sini,” katanya mengenai persiapan pejabat Naib Presiden.
Langkah Encik Gibran untuk mula bekerja dari Nusantara dilihat penting dalam usaha pemerintah Presiden Prabowo Subianto meneruskan pembangunan ibu kota baru itu, yang dimulakan di bawah pentadbiran mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Encik Gibran, 38 tahun, ialah anak sulung Encik Jokowi.
Sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-81 kemerdekaan Indonesia, Istana Naib Presiden di IKN turut dibuka kepada orang ramai dari 15 hingga 17 Ogos, antara 10 pagi dengan 5 petang waktu tempatan.
Menurut Encik Basuki, pembukaan itu dibuat atas permintaan Encik Gibran bagi memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri kompleks tersebut.
“Mulai hari ini (15 Ogos), sesuai dengan permintaan Bapak Wakil Presiden kerana ramai pengunjung, kami buka.
“Dengan itu masyarakat boleh mengetahui bahawa selain Istana Negara dan Pejabat Presiden, di sini juga terdapat Pejabat Naib Presiden,” katanya.
Istana Naib Presiden dibina di kawasan berbukit dan bangunan utamanya terletak lebih tinggi daripada pintu masuk.
Pengunjung perlu menaiki lebih 200 anak tangga untuk sampai ke ruang utama, meskipun eskalator turut disediakan.
Dari kawasan istana itu, pengunjung dapat melihat sebahagian besar kawasan pembangunan Nusantara, termasuk kompleks kediaman rasmi menteri, pangsapuri untuk kakitangan awam serta kemudahan pengurusan sisa.
Dalam pada itu, Encik Basuki menegaskan pemerintah masih komited meneruskan pembangunan Nusantara meskipun projek ibu kota baru tersebut tidak disebut secara khusus dalam ucapan kenegaraan terbaru Encik Prabowo, atau disenaraikan secara berasingan dalam lapan program keutamaan bagi cadangan Belanjawan Negara 2027.
Menurut beliau, pembangunan IKN dimasukkan di bawah kelompok pembangunan prasarana dan wilayah dalam belanjawan negara.
Oleh itu, katanya, IKN tidak perlu disenaraikan sebagai program berasingan untuk memastikan pembangunannya diteruskan.
Pemerintah memperuntukkan sejumlah 48 trilion rupiah ($3.7 bilion) bagi meneruskan pembangunan Nusantara, dengan dana itu disalurkan secara berperingkat.
Lebih 10 trilion rupiah diperuntukkan bagi projek berkenaan pada 2025, manakala sekitar 6 trilion rupiah disediakan untuk 2026.
Peruntukan tambahan dijangka disediakan pada 2027.
OIKN juga mula mengambil alih tanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara bangunan yang telah diserahkan oleh Kementerian Pekerjaan Umum serta Kementerian Perumahan dan Kawasan Permukiman.
Menurut Encik Basuki, kira-kira 500 bilion rupiah diperuntukkan 2026 bagi operasi dan penyelenggaraan pelbagai kemudahan di Nusantara.
Terletak di Kalimantan Timur di Pulau Borneo, Nusantara dibangunkan sebagai ibu kota politik dan pentadbiran baru Indonesia bagi menggantikan Jakarta.
Pemindahan itu dilakukan secara berperingkat, dengan institusi negara, kakitangan awam dan pegawai kanan pemerintah dijangka berpindah ke Nusantara mengikut tahap kesiapan prasarana dan kemudahan.
Rancangan Encik Gibran untuk mula bertugas dari Istana Naib Presiden tahun 2026 ini dijangka menjadi antara perkembangan penting dalam proses tersebut, selain memberi isyarat bahawa Nusantara secara beransur-ansur bergerak daripada sebuah projek pembinaan kepada pusat pentadbiran yang mula digunakan oleh kepimpinan tertinggi Indonesia. – Agensi berita.

