Tidak lama lagi, para penumpang di timur laut Singapura tidak perlu membayar apa-apa untuk perjalanan kereta api pertama mereka di enam stesen di Laluan Timur Laut (NEL) atau LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) pada waktu pagi di luar waktu sibuk.
Ini adalah sebahagian daripada usaha terbaru pemerintah untuk mengurangkan kesesakan pada waktu sibuk di sebelah pagi.
Mulai 27 Disember, penumpang akan menikmati tambang percuma jika mereka menaiki MRT stesen Laluan Timur Laut (NEL) Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok, Hougang atau Kovan atau LRT Sengkang-Punggol sebelum 7.30 pagi, atau antara 9 pagi dengan 9.45 pagi pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum.
Ia juga akan menjadi lebih mudah untuk menyertai program Travel Smart Journeys (TSJ), skim ganjaran sedia ada yang menggalakkan penumpang timur laut menukar masa perjalanan mereka untuk mengelakkan waktu sibuk pagi.
Langkah untuk mendorong penumpang mengelak waktu sibuk melalui perjalanan kereta api percuma bertujuan untuk meringankan beban di NEL yang sesak supaya penumpang lain akan melihat “kurang kereta api yang terlepas”, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 18 Oktober.
Mengumumkan demikian semasa perasmian Pusat Tukaran Bas Punggol Coast, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata ia akan beroperasi sebagai skim perintis sekurang-kurangnya setahun dan hasilnya akan dinilai kemudiannya.
Penumpang tidak perlu mendaftar untuk menaiki kereta api percuma, selagi mereka masuk dan keluar menggunakan kad tambang atau mod pembayaran yang sama, kata LTA.
Pihak berkuasa memberitahu The Straits Times bahawa pemerintah akan membiayai skim itu sepenuhnya, dan ia tidak akan menyumbang kepada kenaikan tambang masa depan.
Kos skim itu bergantung kepada sejauh mana penumpang menyesuaikan corak perjalanan mereka, jelas LTA.
Ia juga berasingan daripada perubahan tambang pengangkutan awam yang diumumkan baru-baru ini, tambah LTA.
Mulai 27 Disember, tambang akan naik lima peratus, dengan tambang kad dewasa naik sembilan atau 10 sen untuk setiap perjalanan bas atau kereta api.
Ini adalah kali kedua tambang kereta api percuma ditawarkan di Singapura untuk mengurangkan kesesakan.
Yang pertama adalah antara 2013 dan 2017, apabila Majlis Pengangkutan Awam (PTC) menawarkan perjalanan kereta api percuma kepada penumpang yang keluar dari stesen MRT di kawasan bandar sebelum 7.45 pagi. Ia menyebabkan kira-kira tujuh peratus penumpang mengalihkan perjalanan mereka dari waktu sibuk pagi.
Selain mereka yang masuk melalui enam stesen NEL atau SPLRT, penumpang lain masih akan mendapat potongan 50 sen sedia ada daripada perjalanan kereta api mereka apabila mereka berbuat demikian sebelum 7.45 pagi, di mana-mana stesen di seluruh negara pada hari bekerja.
Diskaun ini ditawarkan di bawah skim tambang prasibuk pagi PTC, yang dilancarkan pada 2017.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata penduduk telah memberi maklum balas mengenai laluan itu menjadi “sangat sarat” atas sebab seperti pertumbuhan penduduk dan kembali ke tempat kerja selepas Covid-19.
Sementara itu, Encik Gan, Encik Siow, Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Sun Xueling, dan AP GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling telah merasmikan pembukaan Pusat Tukaran Bas Punggol Coast, yang sudah beroperasi pada Jun.
Pusat Tukaran itu merupakan hab pengangkutan bersepadu ke-15 Singapura. Ia bersambung ke stesen Punggol Coast NEL, serta pusat beli-belah Punggol Coast Mall.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg