Prestasi rangkaian MRT merosot pada Ogos berbanding Julai.
Namun kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam itu secara keseluruhan kekal lebih baik daripada Jun, menurut angka terkini yang dikeluarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 10 Oktober.
Buat kali pertama, LTA mengeluarkan laporan bulanan kebolehpercayaan rel bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
Sebelum ini, laporan seperti itu hanya dikeluarkan setiap suku tahun.
Secara purata, tren MRT mencatat perjalanan sejauh 1.74 juta kilometer (km) tanpa kelewatan melebihi lima minit, antara September dengan Ogos 2025, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Angka itu menurun daripada 1.82 juta km pada Julai tetapi meningkat daripada 1.6 juta km bagi tempoh 12 bulan berakhir pada Jun 2025.
Laluan Downtown (DTL) dan Laluan Timur Laut (NEL) yang dikendalikan SBS Transit (SBST) mencatat penurunan ketara.
DTL mencatat 2.76 juta km antara kelewatan pada Ogos, berbanding 4.13 juta km pada Julai dan 4.12 juta kilometer pada Jun.
Namun DTL masih kekal sebagai laluan paling boleh dipercayai sejak 2020.
Bagi NEL, purata jarak antara kelewatan ialah 2.14 juta km, turun daripada 4.26 juta km pada Julai dan 4.23 juta km pada Jun.
NEL berada di tempat kedua paling boleh dipercayai, menurut laporan LTA.
Laluan Timur-Barat (EWL) mencatat 1.68 juta km antara kelewatan pada Ogos, lebih rendah daripada 2.02 juta km pada Julai.
Manakala itu, Laluan Utara-Selatan (NSL), di tempat yang keempat, meningkat kepada 1.65 juta km daripada 1.41 juta km pada Julai.
Kedua-dua laluan tertua ini dikendalikan oleh SMRT.
Laluan Circle (CCL), yang juga dikendalikan SMRT, kekal paling rendah boleh dipercayai dengan 1.25 juta km antara kelewatan, naik daripada 1.07 juta km pada Julai.
Angka kebolehpercayaan ini diukur berdasarkan jarak purata antara gangguan (MKBF), iaitu jarak yang ditempuh tren sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit.
Ukuran ini tidak mengambil kira tahap gangguan.
Kegagalan kuasa di depot NEL dan kerosakan tren di NSL menyebabkan kelewatan melebihi 30 minit pada Ogos dan September.
Kebolehpercayaan LRT turun kepada 420,000km pada Ogos, berbanding 442,000km pada Julai dan 534,000km pada Jun.
Menurut LTA, penerbitan laporan bulanan ini dibuat susulan gesaan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, supaya prestasi rel lebih telus.
“Kami akan bersikap telus kerana sistem kami baik dan tiada apa yang perlu disembunyikan,” jelasnya di Parlimen pada September.
Ramai pengguna menyambut baik langkah itu dan berharap laporan bulanan membantu pihak berkuasa membaiki kelemahan dengan lebih cepat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg