KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Razak, sudah memfailkan pernyataan saksi setebal 525 muka surat untuk menjawab empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion ($690 juta) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Encik Najib menjawab semua tuduhan berkenaan daripada kandang saksi apabila prosiding bela diri kes skandal kewangan 1MDB bermula pada 2 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib, ketika dihubungi mengesahkan pasukan peguam bela Encik Najib, yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sudah mengemukakan salinan dokumen itu melalui e-mel kepada pendakwaan.
Pada 30 Oktober, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Encik Najib membela diri terhadap semua 25 tuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Ketika kesalahan itu dikatakan dilakukan, Encik Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan membuktikan inti pati bagi semua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Encik Najib memilih membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi.
Bekas Anggota Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Jika sabit kesalahan, Encik Najib boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda ehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, bergantung yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan, beliau didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada kegiatan haram.
Encik Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura, ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bagi lima lagi pertuduhan, Encik Najib didakwa menggunakan hasil daripada kegiatan haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Umno; RM100,000 dibayar kepada Umno Bahagian Batu Kawan; RM246,000 kepada Lim Soon Peng; RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd, dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg