KUALA LUMPUR: Titah adendum yang didakwa diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menjalani hukuman penjara sebagai tahanan di rumah, hanyalah khabar angin.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi berikutan mahkamah sudah memutuskan perkara itu.
“Cerita titah adendum itu adalah perkara berkait dengan keputusan Lembaga Pengampunan kuasa Agong. Keputusan mahkamah anggap adendum ini satu hearsay (khabar angin). Itu jelas keputusan mahkamah. Kita tak patut timbul lagi.
“Saya dah jelaskan itu keputusan mahkamah yang telah dibuat,” katanya menjawab celahan Ahli Parlimen (AP) Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, (Perikatan Nasional) yang menimbulkan perkara itu ketika Datuk Saifuddin menggulung perbahasan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat (Parlimen) lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, Datuk Takiyuddin yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan itu meminta penjelasan Datuk Saifuddin sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, boleh mengadap Agong jika titah berkenaan wujud, mahupun sebaliknya.
“Pandangan kita kalau ada pertikaian antara kerajaan dengan rakyat atau si polan dengan si polan, institusi mana buat keputusan?
“Mahkamahlah buat keputusan. Yang Berhormat (YB) faham maksud hearsay? Kalau mahkamah kata itu hearsay, jadi dianggap selesai,” katanya.
Pada 3 Julai lalu, Encik Najib yang juga bekas presiden Umno gagal mendapat kebenaran mahkamah untuk meneruskan semakan kehakiman mengenai kewujudan Titah Adendum (titah tambahan) yang dipersetujui oleh Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, untuk beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Titah Adendum itu didakwa arahan tambahan daripada Agong Ke-16, selepas Encik Najib diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan yang ketika itu dipengerusikan Agong Ke-16.
Encik Najib yang juga bekas Menteri Kewangan diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta ($12.08 juta) milik SRC International Sdn Bhd pada 2022.
Dengan keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Encik Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg