WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan pemecatan Ketua Saintis dan beberapa pegawai kanan lain pada 11 Mav, sebagai langkah mematuhi arahan daripada Presiden Donald Trump.
Tindakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pentadbiran Trump untuk mengecilkan peranan kerajaan persekutuan dalam penyelidikan perubahan iklim.
Walaupun hanya 23 pegawai terlibat dalam fasa pertama ini, jurucakap NASA memberi bayangan bahawa lebih banyak pemotongan akan berlaku.
Paling ketara ialah pembubaran Pejabat Ketua Saintis yang diketuai oleh Dr Katherine Calvin, seorang pakar klimatologi terkenal yang pernah menyumbang kepada laporan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dr Calvin dan beberapa perwakilan Amerika turut dihalang daripada menghadiri persidangan iklim di China pada Februari lalu.
“Bagi mengoptimumkan tenaga kerja dan mematuhi arahan eksekutif, NASA kini melaksanakan pelan pengurangan kakitangan secara berperingkat,” kata jurucakap NASA, Cheryl Warner.
Turut dimansuhkan ialah Pejabat Teknologi, Dasar dan Strategi, serta cawangan kepelbagaian dan inklusiviti (DEIA) di bawah Pejabat Kepelbagaian.
NASA sebelum ini terlepas daripada pemotongan besar-besaran berbanding agensi lain, dipercayai berkat campur tangan saat akhir Jared Isaacman, calon Ketua NASA yang dilantik oleh Trump.
Isaacman, seorang bilionair teknologi dan pelanggan tetap SpaceX, dilihat rapat dengan Elon Musk, yang kini mengetuai Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE) – jentera utama di sebalik penyusutan saiz pemerintah persekutuan.
Pada Februari, NASA dikatakan bersedia memberhentikan sekitar 1,000 kakitangan percubaan, namun langkah itu ditangguhkan atas permintaan Isaacman. Kini, pemecatan semula ini dilihat sebagai petanda peralihan fokus daripada penyelidikan iklim kepada eksplorasi angkasa.
Trump dan Musk diketahui menyokong misi manusia ke Marikh. Dalam ucapan State of the Union minggu lalu, Trump berkata:
“Kita akan kibarkan bendera Amerika di Marikh — malah lebih jauh daripada itu.”
Namun, para pengkritik melihat tindakan Trump sebagai serangan langsung terhadap saintis dan data yang selama ini membantu dunia memahami krisis iklim. Amerika Syarikat telah menarik diri daripada Perjanjian Paris buat kali kedua di bawah pentadbiran Trump.
Pentadbiran beliau turut memecat ratusan kakitangan di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) — agensi utama lain dalam pemantauan iklim.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Pendidikan AS mengumumkan bahawa hampir separuh kakitangannya akan diberhentikan menjelang akhir Mac, satu langkah yang dikaitkan dengan usaha Trump untuk membubarkan jabatan tersebut sepenuhnya.
Jabatan ini menyelia pinjaman pelajar bernilai AS$1.6 trilion, penguatkuasaan hak sivil di sekolah dan pembiayaan pendidikan untuk kawasan miskin.
Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon, mengesahkan di Fox News bahawa pemecatan ini merupakan sebahagian daripada mandat Trump:
“Ya, ini adalah kehendak Presiden. Kami sedang menuju ke arah penutupan penuh jabatan.”
Tindakan DOGE setakat ini telah menyebabkan lebih 100,000 kakitangan awam persekutuan kehilangan pekerjaan, termasuk pembubaran Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) dan Biro Perlindungan Kewangan Pengguna (CFPB).
Pelbagai jabatan kini berlumba untuk menawarkan pakej persaraan awal atau ganjaran tunai — sehingga AS$50,000 — bagi memenuhi tarikh akhir pemotongan yang ditetapkan Trump.
“Apa yang berlaku minggu-minggu ini jelas menunjukkan betapa pentadbiran ini tidak menghormati ribuan kakitangan yang telah berkhidmat demi rakyat,” kata Sheria Smith, Presiden Kesatuan Pekerja Persekutuan AFGE Local 252.
“Ini bukan sekadar soal pengurangan bajet. Ia satu penghapusan senyap terhadap peranan awam yang kritikal, dan rakyat akhirnya yang akan menanggung akibatnya,” ujarnya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg