Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nasib Menteri Pertahanan China tidak jelas susulan laporan siasatan rasuah

Nov 28, 2024 | 11:43 AM
Encik Dong Jun, mantan Ketua Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), dilantik sebagai Menteri Pertahanan China pada Disember 2023.
Encik Dong Jun, mantan Ketua Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), dilantik sebagai Menteri Pertahanan China pada Disember 2023. - Foto AFP

WASHINGTON/BEIJING: Nasib Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun, masih tidak jelas pada 27 November apabila dua pegawai Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa beliau sedang disiasat kerana rasuah, manakala seorang lagi menggesa agar berhati-hati mengenainya.

The Financial Times kali pertama melaporkan bahawa Encik Dong sedang disiasat sebagai sebahagian daripada siasatan meluas antirasuah yang dikatakan telah menggoncang barisan tertinggi Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Seorang pegawai Amerika, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, memberitahu Reuters siasatan pemerintah China ke atas pasukan roket strategiknya semakin meluas kepada isu lain dalam ketenteraan dan pembelian.

Pegawai itu menambah bahawa siasatan terhadap Encik Dong penting kerana Presiden China, Encik Xi Jinping, sendiri telah melantik beliau bagi menyandang jawatan tersebut.

Tetapi, seorang lagi pegawai kanan Amerika, yang juga bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, menggesa agar berhati-hati terhadap laporan mengenai siasatan terhadap Encik Dong tanpa memberikan butiran sama ada laporan itu tepat atau sebaliknya.

Encik Dong menjadi Menteri Pertahanan China ketiga berturut-turut yang akan disiasat atas dakwaan rasuah.

Kementerian Pertahanan China tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas.

Tentera China menjalankan pembersihan menyeluruh antirasuah sejak 2023, dengan sekurang-kurangnya sembilan jeneral PLA dan segelintir eksekutif industri pertahanan disingkirkan daripada badan perundangan negara itu setakat ini.

Encik Dong, mantan ketua Tentera Laut PLA, dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember 2023.

Pendahulunya, Encik Li Shangfu, disingkirkan selepas tujuh bulan berkhidmat.

Awal sebelum ini, Encik Dong enggan bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, semasa mesyuarat menteri pertahanan di Laos, sambil memberi alasan tindakan sokongan Amerika ke atas Taiwan.

Beliau menyelia hubungan ketenteraan Amerika-China yang renggang, dengan dua negara itu mengadakan perbincangan peringkat komander pada September buat kali pertama.

Tetapi, beliau tidak dinaikkan pangkat menjadi antara enam anggota Suruhanjaya Tentera Pusat (CMC), badan tentera peringkat tertinggi China, semasa sidang pleno utama Parti Komunis pada awal 2024, yang biasanya menyaksikan rombakan kakitangan diumumkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg