JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengesahkan pada 7 Mac bahawa ia menyokong usul balas yang dikemukakan oleh Liga Arab, berhubung rancangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya ke tempat lain.
Ini dijelaskan Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty dan Menteri Luar Sudan, Ali Youssif, yang ditemui agensi berita AFP.
Persetujuan 57 negara anggota OIC itu dicapai dalam mesyuarat tergempar di Jeddah, Arab Saudi, tiga hari selepas Liga Arab mengesahkan usul itu dalam sidang puncak di Kahirah.
Usaha alternatif yang dirangka Mesir sebagai menentang pengambilalihan Encik Trump ialah rancangan membina semula Jaluran Gaza di bawah pentadbiran pihak berkuasa Palestin pada masa hadapan.
“Dalam mesyuarat tergempar itu, menteri OIC telah menerima usulan Mesir, yang kini menjadi usulan Arab-Islam,” kata Encik Abdelatty, dalam kenyataan yang turut disokong rakan sejawatannya dari Sudan, Encik Ali.
“Ia sememangnya satu perkara yang sangat positif,” tambah Encik Abdelatty.
Rancangan Encik Trump agar Amerika mengambil alih Gaza dan mengubahnya menjadi kawasan peranginan tepi pantai atau ‘Riviera Timur Tengah’, serta memaksa penduduk Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan, telah mencetuskan kemarahan di peringkat global.
Pada sidang puncak yang diadakan pada 4 Mac di Kahirah, pemimpin Arab turut mengumumkan mereka akan menubuhkan sebuah dana amanah bagi menanggung kos pembinaan semula Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha itu.
Menurut Encik Abdelatty, langkah seterusnya ialah mengusahakan agar usul itu menjadi rancangan antarabangsa.
“Langkah seterusnya adalah untuk usul ini menjadi rancangan antarabangsa melalui penerimaan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan pihak antarabangsa seperti Jepun, Russia, China, dan lain-lain.
“Ini yang akan kami usahakan, dan kami ada hubungan dengan semua pihak, termasuk pihak Amerika,” kata Encik Abdelatty.
Bagaimanapun, usul balas itu tidak menggariskan peranan Hamas, kumpulan yang mengawal Gaza, dalam pemulihan Gaza.
Ia juga telah ditolak oleh kedua-dua Amerika dan Israel, dengan jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Tammy Bruce, berkata usul itu tidak memenuhi jangkaan Washington.
Utusan Timur Tengah di bawah pentadbiran Encik Trump, Encik Steve Witkoff, memberi reaksi lebih positif dengan menyifatkannya sebagai “langkah awal yang dilakukan dengan niat baik oleh pihak Mesir”.
Cik Rabha Seif Allam, dari Pusat Pengajian Politik dan Strategik Al-Ahram di Kahirah, berkata Mesir sedang berusaha mendapatkan “sokongan luas” bagi usulnya.
Ini adalah usaha membina pakatan luas yang menentang pemindahan orang Palestin dari Gaza, jelasnya.
Rancangan Encik Trump yang menimbulkan kecaman global itu telah mendorong negara-negara Arab untuk bersatu menentangnya, dengan Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada pemimpin Arab dua minggu lalu untuk membincangkan langkah alternatif.
Dalam perkembangan lain, OIC juga menerima semula Syria, yang keahliannya digantung pada 2012 ketika peringkat awal perang saudara di bawah rejim Bashar al-Assad, menyusuli penggulingan pemerintah kuku besi itu pada Disember 2024.
“Keputusan ini mewakili langkah penting ke arah kembalinya Syria kepada masyarakat serantau dan antarabangsa sebagai sebuah negara yang bebas serta adil,” menurut kenyataan Kementerian Luar Syria. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg