KAHIRAH: Pemimpin negara-negara Arab berkumpul di Kahirah pada 4 Mac untuk membincangkan satu pelan alternatif bagi membangunkan semula Gaza tanpa mengusir penduduknya, selepas cadangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dikecam secara meluas.
Sidang puncak Liga Arab itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sekali lagi menyatakan sokongannya terhadap pelan Encik Trump, yang disifatkan sebagai “berwawasan dan inovatif”.
Namun, cadangan tersebut ditolak keras oleh rakyat Palestin serta kebanyakan negara Arab, termasuk beberapa sekutu Israel dan Amerika Syarikat.
Encik Trump sebelum ini mencetuskan kemarahan peringkat sejagat apabila beliau mengusulkan bahawa Amerika harus mengambil alih Gaza dan mengubahnya menjadi Riviera Timur Tengah, dengan memindahkan penduduk Palestin ke Mesir dan Jordan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos membangunkan semula Gaza selepas konflik yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 melebihi AS$53 bilion ($71 bilion).
Menteri luar negara-negara Arab telah mengadakan perbincangan tertutup di Kahirah pada 3 Mac bagi merangka satu pelan pembangunan semula Gaza yang tidak melibatkan pengusiran penduduknya.
Menurut sumber dalaman Liga Arab, pelan tersebut akan dibentangkan kepada para pemimpin Arab untuk mendapat kelulusan dalam sidang puncak lewat 4 Mac.
“Kami mahu memastikan bahawa Gaza dibangunkan semula tanpa mengorbankan hak penduduknya,” kata seorang pegawai Arab yang enggan dikenali.
Beberapa ketua negara dijangka menghadiri sidang itu, manakala negara lain menghantar menteri luar atau wakil kanan mereka.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, dan Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, dijangka menyampaikan ucapan pembukaan.
Sementara rundingan tentang masa depan Gaza berterusan, perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas berada dalam keadaan yang tidak menentu.
Gaza telah dikepung oleh Israel sejak Hamas mengambil alih wilayah itu pada 2007, dengan banyak pihak menyamakan keadaan di sana sebagai “penjara terbuka”.
Selepas enam minggu gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari, pertukaran tahanan antara Israel dengan Palestin serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dilakukan.
Namun, fasa pertama perjanjian tersebut berakhir pada 1 Mac tanpa kepastian sama ada ia akan disambung.
Israel menyatakan sokongan untuk melanjutkan fasa pertama sehingga pertengahan April, tetapi Hamas menegaskan bahawa gencatan senjata harus beralih ke fasa kedua yang membawa kepada penghentian perang secara kekal.
Dalam ucapan di Parlimen Israel pada 3 Mac, Encik Netanyahu, menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk penduduk Gaza diberi pilihan sebenar.
“Mereka perlu diberi kebebasan untuk meninggalkan Gaza,” katanya, merujuk kepada rancangan untuk membolehkan penduduk Palestin berpindah ke negara lain.
Kenyataan itu mendapat sokongan anggota pemerintah sayap kanan Israel, termasuk Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, yang menyeru Israel agar “menempatkan kedaulatan penuh di Gaza”.
Keputusan Israel untuk menyekat kemasukan semua bekalan ke Gaza jika Hamas enggan melanjutkan gencatan senjata telah menimbulkan kecaman antarabangsa.
Seorang pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, menuduh Israel sengaja menggagalkan gencatan senjata dengan cubaan melanjutkan fasa pertama tanpa berunding mengenai fasa seterusnya.
“Ini adalah percubaan yang terang-terangan untuk mengelak rundingan ke arah penghentian perang secara menyeluruh,” katanya.
Negara perantara seperti Mesir dan Qatar turut mengkritik tindakan Israel, manakala Jerman menyatakan bahawa menyekat bantuan kemanusiaan “bukan kaedah yang sah dalam rundingan”.
Britain pula menegaskan bahawa bantuan kepada Gaza “tidak boleh dihalang”.
PBB melaporkan bahawa kebanyakan bangunan di Gaza telah musnah atau mengalami kerosakan teruk, sementara hampir seluruh penduduknya telah dipindahkan dan mengalami kebuluran yang semakin meluas.
“Setiap hari tanpa penyelesaian yang adil hanya menambah penderitaan rakyat Palestin di Gaza,” kata seorang diplomat Arab yang menghadiri sidang puncak di Kahirah. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg