Negara Asia terperangkap selepas tarif Trump dibatal mahkamah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Asia terperangkap selepas tarif Trump dibatal mahkamah

Feb 23, 2026 | 11:38 AM

Negara Asia terperangkap selepas tarif Trump dibatal mahkamah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Tarif Trump, Negara Asia, ekonomi dunia
Pekerja dari PT Pan Brothers Tbk & Group, pengeluar pakaian terbesar di Indonesia dengan beberapa kilang di serata Pulau Jawa, sedang menghasilkan pakaian perlindungan diri jenis ‘jumpsuit’ yang boleh dicuci dan kalis air di kilangnya di wilayah Banten bagi mengatasi kekurangan peralatan perlindungan diri.  - Foto PT PAN BROTHERS TBK & GROUP

WASHINGTON: Beberapa negara Asia yang sebelum ini bersetuju membuat pelaburan besar dan membuka pasaran mereka kepada Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif tinggi kini berdepan ketidakpastian selepas Mahkamah Agung membatalkan asas undang-undang tarif Presiden Donald Trump.

Sepanjang minggu lalu, Rumah Putih mengumumkan beberapa “kemenangan perdagangan” – antaranya Jepun berjanji melabur AS$36 bilion ($45.54  bilion) di Amerika manakala Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menandatangani perjanjian di Washington untuk membuka sektor ekonomi penting kepada syarikat Amerika.

Kedua-dua langkah itu dibuat di bawah ancaman tarif sangat tinggi, sehingga 35 peratus terhadap Jepun dan 32 peratus terhadap Indonesia. Encik Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti Amerika “menang semula”.

Namun, situasi berubah secara mendadak apabila Mahkamah Agung pada 20 Februari menolak asas undang-undang tarif tersebut.

Walaupun Encik Trump berkata banyak perjanjian akan kekal, beliau mengakui sebahagiannya mungkin tidak. Keputusan itu menjadikan kedudukan perjanjian berkenaan tidak menentu.

Bagi banyak negara Asia yang bergantung kepada eksport, perjanjian itu sebelum ini dianggap jalan keluar daripada tarif yang boleh merosakkan ekonomi.

Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Malaysia, Kemboja dan India membuat pelbagai konsesi, termasuk mengurangkan tarif import dari Amerika serta membuka sektor tertentu kepada pelaburan.

Ada negara juga bersetuju menyelaraskan dasar sekatan, keselamatan nasional dan bekalan mineral strategik dengan Washington – langkah besar yang mencetuskan kritikan domestik dan kebimbangan rakan dagang seperti China.

Encik Steven Okun, Ketua Eksekutif firma perunding geopolitik APAC Advisors, berkata situasi kini meletakkan beberapa negara pada kedudukan tidak menguntungkan.

“Negara yang bersetuju kadar tarif melebihi 15 peratus kini berada dalam keadaan kurang baik,” katanya. Menurut beliau, pemerintah kini menghadapi dilema sama ada merundingkan semula perjanjian atau mengekalkannya bagi mengelakkan tindak balas Washington.

Ketidakpastian semakin meningkat apabila Encik Trump terus mengubah rancangan tarif. Beberapa jam selepas keputusan mahkamah, beliau mengumumkan tarif global 10 peratus sebelum menaikkannya kepada 15 peratus keesokan hari.

Jepun, Korea Selatan dan Taiwan sebelum ini menerima kadar sekitar 15 peratus sebagai pertukaran kepada pelaburan ratusan bilion dolar, menyebabkan kedudukan mereka relatif stabil.

Sebaliknya, Indonesia, Malaysia dan Kemboja, yang bersetuju tarif sekitar 19 peratus bersama komitmen pembelian besar barangan Amerika dan pembukaan pasaran, kini menjadikan mereka kurang kompetitif berbanding jiran serantau.

Tambahan pula, kebanyakan perjanjian belum diratifikasi oleh Parlimen negara masing-masing.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata negaranya akan terus melindungi kepentingan sendiri. “Malaysia akan mempelbagaikan hubungan perdagangan dan bertindak berdasarkan kepentingan nasional,” katanya.

Korea Selatan menyatakan keputusan mahkamah menyebabkan tarif timbal balik 15 peratus tidak lagi berkuat kuasa, namun negara itu masih belum menarik diri daripada perjanjian tersebut.

Dalam hampir semua negara Asia, China kekal rakan ekonomi paling penting atau pesaing utama.

Encik Trump sebelum ini berjanji mengurangkan pengaruh Beijing dalam rantaian bekalan global dan cuba menarik negara Asia menyertainya.

Namun rundingan Washington-Beijing masih buntu dan China mungkin memperoleh perjanjian lebih baik berbanding sekutu Amerika sendiri.

Kini, selepas kuasa tarif Encik Trump ‘disekat’ oleh mahkamah, banyak negara Asia mempersoalkan sama ada mereka terlalu cepat membuat perjanjian.

Vietnam, yang menghadapi ancaman tarif sehingga 46 peratus, masih berunding walaupun mencapai rangka kerja awal kadar 20 peratus.

Perunding perdagangan Vietnam Encik Nguyen Sinh Nhat Tan berkata tuntutan Washington sukar dipenuhi. “Permintaan rakan runding sangat tinggi dan ada yang melebihi tahap munasabah, tetapi kami akan terus menjelaskan dan berusaha meyakinkan mereka,” katanya kepada media negara. Setakat ini, rundingan pusingan keenam berakhir tanpa pengumuman rasmi.

Jepun sebelum ini berjaya menurunkan tarif eksport kereta ke Amerika daripada 27.5 peratus kepada 15 peratus sebagai pertukaran komitmen pembiayaan projek di Amerika bernilai AS$550 bilion. Media tempatan melaporkan Tokyo dijangka meneruskan pelaburan awal itu, namun pengumuman seterusnya masih belum dipastikan.

Korea Selatan pula bersetuju melabur AS$350 bilion selepas tarif dikurangkan kepada 15 peratus. Encik Trump sebelum ini mengugut menaikkannya semula kepada 25 peratus, namun ancaman itu kini dilihat kurang berkesan selepas keputusan mahkamah.

Taiwan, walaupun berjanji pelaburan AS$250 bilion, masih belum membuat pengumuman besar sejak perjanjian dimeterai.

Penganalisis di Washington dan Tokyo melihat keputusan mahkamah mengubah imbangan kuasa rundingan.

Encik Paul Nadeau dari Center for Strategic and International Studies berkata negara yang belum membuat perjanjian mungkin berada dalam kedudukan lebih baik. “Pemenang sebenar mungkin negara yang belum merundingkan perjanjian,” katanya.

Beliau menjangka tarif akan terus wujud, namun pengaruh Encik Trump semakin berkurang.

“Trump kini datang ke meja rundingan dengan tekanan yang lebih lemah,” katanya.

Buat masa ini, negara-negara yang tergesa-gesa membuat perjanjian bagi mengelakkan tarif mendapati diri mereka terperangkap dalam keadaan tidak pasti antara mengekalkan komitmen mahal atau cuba merundingkan semula dengan Washington yang pendekatannya masih berubah-ubah. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg