Negara Eropah, Jepun dan Canada sedia pastikan laluan Selat Hormuz selamat, stabilkan pasaran tenaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Eropah, Jepun dan Canada sedia pastikan laluan Selat Hormuz selamat, stabilkan pasaran tenaga

Mar 20, 2026 | 12:07 PM

Negara Eropah, Jepun dan Canada sedia pastikan laluan Selat Hormuz selamat, stabilkan pasaran tenaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Papan tanda di sebuah stesen minyak memaparkan harga petrol biasa pada 182 yen seliter di Tokyo pada 18 Mac 2026. Harga minyak menurun pada hari tersebut selepas Iraq mengumumkan penyambungan semula eksport melalui Turki, sekali gus mengelakkan laluan Selat Hormuz yang kini hampir tidak dapat digunakan, manakala pasaran saham turut meningkat dipacu kenaikan sektor teknologi di Wall Street.
Papan tanda di sebuah stesen minyak memaparkan harga petrol biasa pada 182 yen seliter di Tokyo pada 18 Mac 2026. Harga minyak menurun pada hari tersebut selepas Iraq mengumumkan penyambungan semula eksport melalui Turki, sekali gus mengelakkan laluan Selat Hormuz yang kini hampir tidak dapat digunakan, manakala pasaran saham turut meningkat dipacu kenaikan sektor teknologi di Wall Street. - Foto AFP

LONDON: Beberapa negara utama Eropah bersama Jepun dan Canada menyatakan kesediaan untuk menyertai usaha memastikan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz kekal selamat, selain mengambil langkah menstabilkan pasaran tenaga global yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 19 Mac, pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Italy, Belanda, Jepun dan Canada menegaskan komitmen mereka untuk membantu menjamin keselamatan laluan strategik itu, yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak dan gas dunia.

“Kami bersedia menyumbang kepada usaha yang sesuai bagi memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz,” menurut kenyataan tersebut.

Namun, kenyataan itu tidak memperincikan bentuk tindakan yang akan diambil, sebaliknya menekankan keperluan menghentikan serangan terhadap infrastruktur awam. “Kami menyeru moratorium menyeluruh serta-merta terhadap serangan ke atas infrastruktur awam, termasuk kemudahan minyak dan gas,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas beberapa serangan ke atas kemudahan tenaga di rantau Teluk menyebabkan harga minyak dan gas melonjak secara mendadak susulan perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Sejak konflik tercetus pada 28 Februari, pasaran tenaga global terus terjejas apabila Iran melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di rantau Teluk serta menutup secara berkesan Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) minggu lalu telah meluluskan pelepasan bersepadu simpanan petroleum strategik negara anggotanya, yang terbesar dalam sejarah, bagi mengekang kenaikan harga tenaga.

“Kami akan mengambil langkah tambahan untuk menstabilkan pasaran tenaga, termasuk bekerjasama dengan negara pengeluar tertentu untuk meningkatkan pengeluaran,” menurut kenyataan itu.

Walaupun begitu, beberapa negara Eropah dilaporkan menolak permintaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghantar kapal perang sebagai sebahagian daripada gabungan tentera laut bagi memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan menjelang pertemuan di Rumah Putih antara Encik Trump dan Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, yang bertujuan memperkukuh hubungan keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Enci Scott Bessent, berkata Jepun yang memperoleh 95 peratus bekalan minyak mentahnya dari rantau Teluk, mempunyai kepentingan besar untuk memastikan keselamatan bekalan tersebut.

Namun, Cik Takaichi dilihat berhati-hati dalam menawarkan bantuan ketenteraan, memandangkan perang dengan Iran tidak popular di dalam negara. Beliau memaklumkan parlimen bahawa Tokyo belum menerima permintaan rasmi daripada Amerika Syarikat, tetapi sedang menilai kemungkinan tindakan dalam batas perlembagaan negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, serangan Iran ke atas Bandar Perindustrian Ras Laffan di Qatar, kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, menambah kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global.

Serangan itu dilaporkan menyebabkan kerosakan besar kepada kemudahan yang menyumbang sekitar 20 peratus bekalan LNG dunia.

Ketua Eksekutif QatarEnergy, Saad Al-Kaabi, berkata serangan tersebut menjejaskan kemudahan yang menghasilkan kira-kira 17 peratus eksport LNG syarikat itu. “Kerja pembaikan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun,” katanya.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, turut mengecam tindakan Iran. “Dakwaan Iran bahawa mereka menyasarkan pangkalan tentera Amerika tidak boleh diterima dan tidak berasas, kerana serangan ini jelas menyasarkan infrastruktur tenaga yang penting,” katanya.

Kesan konflik itu semakin dirasai apabila harga tenaga melonjak dan pasaran saham merosot, mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan global serta tekanan inflasi.

Harga gas di Eropah meningkat sebanyak 25 peratus, manakala harga minyak mentah Brent melonjak hampir enam peratus kepada AS$113 (S$144) setong pada 19 Mac, selepas mencatat kenaikan sehingga 10 peratus sebelum itu.

Sejak perang bermula, harga gas di Eropah meningkat lebih 60 peratus.

Pakar ekonomi dari Verdant, James Meadway, memberi amaran bahawa kenaikan harga ini bukan bersifat sementara. “Ini bukan sekadar gangguan sementara. Selain Selat Hormuz ditutup, kita kini berdepan gangguan serius terhadap pengeluaran minyak dan gas,” katanya. “Pada tahap ini, kenaikan harga dijangka berterusan dalam tempoh panjang,” tambahnya.

Dalam kenyataan bersama itu, negara-negara terlibat turut mengutuk serangan Iran ke atas kapal komersial serta infrastruktur awam di rantau Teluk. “Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap kapal komersial tanpa senjata dan infrastruktur awam, termasuk kemudahan minyak dan gas,” katanya.

Mereka juga menyifatkan tindakan Iran menutup Selat Hormuz sebagai ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa. “Kebebasan pelayaran adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Negara-negara tersebut turut menegaskan bahawa gangguan terhadap rantaian bekalan tenaga global akan memberi kesan kepada seluruh dunia, terutama golongan paling terjejas. “Kami akan bekerjasama untuk menyokong negara yang paling terkesan, termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi kewangan antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, mereka menyeru semua negara agar mematuhi undang-undang antarabangsa dan memastikan keselamatan maritim serta kestabilan ekonomi global terus terpelihara. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg