JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat luar biasa pada 7 Mac di ibu pejabatnya di Jeddah bagi membincangkan serangan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin, gesaan pemindahan paksa terhadap mereka serta keperluan membangunkan semula Jaluran Gaza.
Mesyuarat itu juga dijangka meneliti perkembangan terkini mengenai gencatan senjata di Gaza, selain membincangkan kebimbangan mengenai cadangan pengambilan wilayah secara paksa, yang boleh menyebabkan penduduk Palestin diusir dari tanah air mereka.
Mesyuarat kecemasan OIC ini diadakan beberapa hari selepas Sidang Puncak Arab yang dianjurkan Mesir pada 4 Mac lalu, di mana para pemimpin Arab membincangkan perkembangan terkini berhubung nasib rakyat Palestin dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menyokong mereka.
Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, dalam satu sidang media di Kaherah, menegaskan bahawa Mesir akan menggesa mesyuarat peringkat menteri di Jeddah agar meluluskan pelan pembinaan semula Gaza yang telah dipersetujui pemimpin Arab.
Pelan tersebut bertujuan untuk memulihkan Gaza tanpa mengusir penduduknya, sekali gus menolak rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mahu mengosongkan wilayah itu bagi membangunkan apa yang disebutnya sebagai “Riviera Timur Tengah”.
Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit, mengumumkan bahawa sidang puncak di Kahirah telah meluluskan cadangan Mesir dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza serta Tebing Barat.
Sidang puncak tersebut turut mengeluarkan kenyataan akhir yang menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan segera operasi ketenteraan Israel, memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan, serta melaksanakan rancangan pembinaan semula Gaza seperti yang dicadangkan oleh Mesir.
Menurut pelan yang diluluskan oleh Liga Arab, pembinaan semula Gaza dianggarkan menelan belanja AS$53 bilion ($70.6 bilion) dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun, yang akan membolehkan kira-kira 2 juta penduduk Palestin kekal di wilayah itu.
Proses pembinaan semula akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pembersihan sisa runtuhan dan penyediaan tempat perlindungan sementara bagi penduduk yang kehilangan kediaman. Selain itu, pelan tersebut turut merangkumi pembinaan 200,000 unit perumahan baharu, yang dijangka mengambil masa dua tahun dengan kos sebanyak AS$20 bilion.
Pelan itu menolak sekeras-kerasnya pemindahan paksa rakyat Palestin dan menegaskan bahawa Gaza tidak terpisah dari tanah Palestin.
“Kami menolak sebarang usaha ambil alih Gaza atau pemindahan paksa rakyat Palestin ke Mesir atau Jordan,” kata seorang diplomat Arab yang terlibat dalam rundingan tersebut
Mereka turut menekankan pentingnya usaha antarabangsa untuk memberi tekanan ke atas Israel menghentikan serangan ketenteraan dan memberi amaran mengenai kesan buruk ke atas kestabilan serantau jika konflik berlanjutan.
Mesyuarat di Jeddah dijangka menyaksikan para menteri luar OIC mengeluarkan pendirian yang bersatu dan tegas terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza secara paksa.
“Mesyuarat ini akan menjadi bukti penolakan sebulat suara negara-negara OIC terhadap rancangan Amerika yang mahu mengusir rakyat Palestin dan mengubah Gaza menjadi destinasi pelancongan,” kata seorang pegawai OIC. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg