Negara Teluk berdepan dilema selepas serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Teluk berdepan dilema selepas serangan Iran

Berdepan pilihan sukar antara balas serangan atau kekalkan pendekatan berhati-hati bagi elak konflik lebih besar
Mar 5, 2026 | 2:16 PM

Negara Teluk berdepan dilema selepas serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
fujairah, uae, iran, israel, america, war
Kepulan asap hitam menjulang daripada kebakaran yang masih marak berhampiran depot bahan api di pelabuhan Fujairah, Amiriah Teluk Fujairah, pada 4 Mac. Serangan Iran terhadap negara jiran di Teluk sejak 28 Februari, susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel, memaksa Amiriah Arab Bersatu (UAE) menutup ruang udaranya, sekali gus mengejutkan ramai pelancong yang menyangka mereka menuju ke salah satu destinasi percutian paling selamat di rantau itu. - Foto AFP

DOHA: Serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas beberapa bandar serta kemudahan penting di negara Teluk sejak lima hari lalu telah mencetuskan ketegangan serius di rantau itu, sekali gus meletakkan negara jiran Iran di persimpangan sukar antara membalas serangan atau mengekalkan pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan konflik lebih besar.

Penganalisis berkata situasi tersebut menandakan perubahan besar dalam hubungan antara Iran dengan negara Teluk yang sebelum ini cuba memperbaiki hubungan diplomatik selepas bertahun-tahun berada dalam ketegangan.

Serangan Iran dilaporkan menyasarkan bandar, kemudahan tenaga serta prasarana penting di beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Pakar Asia Barat daripada Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik, Encik Hasan Alhasan, berkata negara Teluk kini berada di barisan hadapan konflik yang sebenarnya cuba mereka elakkan sejak awal.

“Negara Teluk Arab kini berada di barisan hadapan perang yang selama ini mereka cuba hindari,” katanya.

Menurut beliau, perdebatan kini semakin hangat di ibu negara Teluk mengenai sama ada mereka harus bersabar dan menahan diri atau bertindak balas secara ketenteraan.

“Perbincangan sedang berlangsung di ibu negara Teluk mengenai kelebihan pendekatan sabar dan menahan diri dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Ketegangan semakin memuncak apabila Qatar menembak jatuh dua pesawat pejuang Iran jenis Sukhoi Su-24 pada 2 Mac lalu.

Langkah itu menjadi kali pertama sebuah negara Teluk berjaya menembak jatuh pesawat pejuang Iran sejak konflik terkini tercetus.

Tindakan tersebut menunjukkan konflik yang bermula dengan serangan udara Amerika dan Israel terhadap Iran kini berpotensi berkembang menjadi pertembungan lebih luas di rantau Teluk.

Penyelidik Program Asia Barat dan Afrika Utara di Chatham House, Encik Farea Al-Muslimi, berkata beliau akan terkejut sekiranya Arab Saudi tidak bertindak balas secara ketenteraan.

“Saya akan sangat terkejut jika Arab Saudi khususnya tidak memberikan respons ketenteraan,” katanya.

Menurut beliau, Riyadh sukar berdiam diri selepas wilayahnya menjadi sasaran serangan.

“Arab Saudi, malah mungkin seluruh negara Teluk, sedang bersiap untuk satu bentuk tindak balas terhadap Iran.

Mereka tidak mampu sekadar berdiam diri selepas diserang,” katanya.

Sumber yang rapat dengan tentera Arab Saudi berkata tahap kesiapsiagaan tentera negara itu telah ditingkatkan sejak serangan Iran bermula.

Satu lagi sumber memberi amaran bahawa Riyadh mungkin mempertimbangkan tindakan ketenteraan jika kemudahan minyaknya terus menjadi sasaran.

Pada 2 Mac lalu, Arab Saudi terpaksa menghentikan sebahagian operasi di kilang penapisan minyak Ras Tanura selepas serangan Iran.

Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata serpihan daripada peluru berpandu Iran yang dipintas telah mencetuskan kebakaran di kemudahan tersebut.

Serangan terhadap kemudahan tenaga utama itu menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global.

Serangan terbaru Iran juga berpotensi menggugat usaha diplomatik yang telah dijalankan oleh negara Teluk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2019, serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Houthi tetapi dipersalahkan oleh Riyadh dan Washington ke atas Iran menyebabkan kerajaan Saudi menilai semula pendekatan kerasnya terhadap Teheran.

Pada Mac 2023, Iran dan Arab Saudi mencapai perjanjian penting yang dikendali China untuk memulihkan hubungan diplomatik serta membuka semula kedutaan masing-masing.

Penganalisis keselamatan Arab Saudi, Encik Hesham Al-Ghannam, berkata serangan terbaru Iran boleh menjejaskan kemajuan diplomatik tersebut.

Menurut beliau, sebelum serangan berlaku, Riyadh sebenarnya cuba menunjukkan sikap berkecuali.

“Arab Saudi sebelum ini menafikan penggunaan ruang udara dan pangkalan tentera bagi sebarang serangan, sebagai isyarat berkecuali kepada Iran,” katanya.

“Tetapi Iran tetap menyerang wilayah Saudi, sekali gus memusnahkan usaha diplomatik yang telah dibina selama ini.”

Di UAE, serangan dron Iran turut menyasarkan kemudahan minyak di Fujairah pada 4 Mac.

Pihak berkuasa berkata serpihan dron yang dipintas menyebabkan kebakaran di sebuah medan minyak.

Menurut Kementerian Pertahanan UAE, negara itu telah menjadi sasaran lebih 800 dron dan 200 peluru berpandu sejak 28 Februari lalu.

Serangan tersebut menyebabkan tiga kematian di UAE daripada lapan kematian yang direkodkan di seluruh rantau Teluk.

Beberapa mercu tanda terkenal termasuk Palm Jumeirah dan hotel Burj Al Arab turut dilaporkan mengalami kebakaran akibat serangan tersebut.

Situasi itu mendorong Abu Dhabi menutup kedutaannya di Teheran dan memanggil pulang dutanya.

Penganalisis politik dari UAE, Encik Abdulkhaleq Abdulla, berkata hubungan antara kedua-dua negara kini berada pada tahap paling rendah.

“Hubungan kita kini berada pada tahap paling buruk,” katanya.

Beliau menyifatkan serangan Iran sebagai satu pencerobohan yang boleh membawa kepada fasa konflik baru di rantau itu.

“Kami sangat marah dengan apa yang berlaku, dan ini mungkin hanya permulaan kepada perkembangan yang lebih besar,” katanya.

Menurut Encik Abdulla, walaupun UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Iran, negara itu tetap menjadi sasaran utama serangan.

“Sebanyak 63 peratus daripada peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke arah enam negara Teluk jatuh di UAE,” katanya.

Encik Abdulla menambah, persepsi terhadap Iran di rantau itu kini berubah secara mendadak.

“Kini terdapat persefahaman dalam kalangan negara Teluk bahawa Iran telah menjadi semacam musuh dan juga penceroboh,” katanya.

Sebelum menembak jatuh pesawat Iran, syarikat tenaga QatarEnergy terpaksa menghentikan sementara operasi di dua kemudahan utamanya selepas menjadi sasaran serangan dron.

Qatar berkongsi medan gas terbesar dunia dengan Iran dan selama ini mengekalkan hubungan baik dengan Teheran.

Namun jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, berkata serangan terbaru Iran telah melampaui semua batas.

“Semua garis merah Qatar telah dilanggar,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara itu.

“Ini adalah serangan terang-terangan terhadap kedaulatan kami,” katanya.

Menurut beliau, pemerintah Qatar kini sedang menilai semua pilihan yang ada.

“Kami berhak membalas, dan para pemimpin sedang mempertimbangkan semua pilihan ketika ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg