Kebangkitan negara-negara di Teluk Parsi, terutama Arab Saudi, telah merubah wajah Timur Tengah dan sekali gus memberi kesan ke atas banyak negara di dunia.
Rantau itu dijangka dapat menyediakan pasaran modal terbesar di dunia, menurut pendapat Encik Fareed Zakaria, dalam tulisannya yang diterbitkan akhbar The Washington Post pada 16 Jun 2023.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi paling pesat dicatatkan pada 2022 oleh Arab Saudi, iaitu 8.7 peratus. Begitu juga dengan Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengalami pertumbuhan menggalakkan.
Antara faktor yang membantu menghasilkan kemajuan ekonomi seperti itu termasuk keadaan dunia yang masih bergantung kepada minyak dan bahan pembakar sebagai sumber utama penyediaan kuasa tenaga.
Perang di Ukraine dan sekatan terhadap Russia melemahkan Moscow dalam pasaran minyak dan gas dunia. Tambahan lagi, dua negara lain, pengeluar minyak utama dunia, Iran dan Venezuela, turut dikenakan sekatan dan mempunyai prasarana minyak yang usang.
Walaupun Amerika Syarikat mengeluarkan banyak minyak dan gas, ia masih mengimportnya dengan jumlah yang besar.
Justeru, dunia kini bergantung kepada segelintir negara di Teluk Parsi untuk menjamin bekalan minyak dan gas yang diperlukan.
Keadaan ini dijangka berterusan hingga dekad akan datang, dan jika ini berlaku, negara-negara Teluk Parsi akan menikmati kemewahan dan kekayaan yang melimpah dalam sejarah.
Malah, melalui empat dana pelaburan induk, negara-negara itu dilaporkan mempunyai nilai terkumpul hampir AS$3 trilion ($4.2 trilion) – meningkat 42 peratus dalam masa dua tahun.
Arab Saudi menjangkakan melalui pelaburan utamanya, Dana Pelaburan Awam, akan meraih lebih AS$2 trilion menjelang 2030, menjadikannya yang terbesar di dunia. Ini juga merupakan sumber modal terbesar di dunia.
Kekayaan ekonomi ada di sekeliling.
Arab Saudi sudah membeli perniagaan golf profesional.
Pada Januari 2023, Bloomberg melaporkan kerajaan Arab Saudi cuba membeli francais Formula 1 dengan harga lebih AS$20 bilion.
Ia juga telah memikat bintang bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo, menyertai salah sebuah kelab di negara itu dengan bayaran AS$200 juta setahun, seperti dilaporkan.
Ia juga membuat pelaburan yang cukup besar dalam industri permainan komputer dalam talian dengan matlamat untuk menjadi yang terbesar di dunia.
Melihat kelab-kelab sukan terkemuka, hotel-hotel mewah dan beberapa jenama terkemuka, anda akan mendapati bahawa pemiliknya adalah dari negara Teluk.
Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang menteri negara Teluk: “Kami telah membangun banyak prasarana di negara kami. Apa yang akan dilakukan sekarang adalah pelaburan dalam bentuk wang tunai.”
Kekayaan yang mendadak itu telah membentuk semula Timur Tengah.
Sebelum ini, pemain utamanya adalah Mesir, Iraq dan Syria – yang sekarang atas sebab-sebab tertentu menjadi miskin dan berpecah-belah – sudah tidak lagi berupaya memainkan peranan utama.
Negara-negara Teluk kini mengambil-alih. Arab Saudi terutamanya, telah membuat peralihan strategik yang cukup besar, dalam hal dasar luarnya.
Semasa tempoh awal kekuasaannya, pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menggunakan kekayaan negaranya secara boros dan angkuh.
Ia cuba dengan pelbagai cara untuk menekan dan menjatuhkan rejim di Qatar, Lebanon dan Jordan, sambil melancarkan peperangan di Yaman serta perang dingin dengan Iran. Kesemuanya tidak berhasil.
(Peristiwa pembunuhan seorang penulis ruangan akhbar Washington Post pada 2018, Jamal Khashoggi, juga terjadi pada tempoh itu.)
Sebaliknya, beberapa tahun kebelakangan ini, Putera Muhammed Salman kelihatan lebih matang – memulihkan hubungan dengan Qatar dan Jordan; memulihkan hubungan diplomatik dengan Iran; dan cuba mewujudkan perdamaian di Yaman.
Negara-negara Teluk juga sedang merapatkan hubungan mereka dengan China, yang kini menjadi pelanggan terbesar rantau itu.
Pada 2001, perdagangan dengan Arab Saudi sekitar $4 bilion, kira-kira satu persepuluh berbanding dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Pada 2021, perdagangan dicatatkan bernilai $87 bilion – lebih besar jumlahnya berbanding dengan Amerika dan EU.
Hubungan ekonomi berkembang pesat, dan akhbar Washington Post melaporkan bahawa China telah menyambung semula pembinaan (yang disyaki) kemudahan ketenteraan di UAE.
Arab Saudi dan negara-negara Teluk tidak berhasrat untuk menjauhkan diri daripada Amerika. Mereka mahukan hubungan ekonomi yang rapat dengan China dan pada masa yang sama hubungan keselamatan yang rapat dengan Amerika.
Mereka mahukan kebebasan berurusan dengan semua pihak, termasuk Russia.
(Jika anda ingin tahu ke mana perginya rakyat Russia bagi mengelakkan sekatan pihak Barat, kunjungilah Dubai – anda akan mendengar perbualan orang Russia lebih daripada orang-orang Arab, di beberapa buah hotel.)
Mereka (Russia) meluaskan hubungan dengan India dan malah sedang membina hubungan dengan Israel juga.
Kebanyakan negara ingin melaksanakan dasar yang membolehkan mereka bebas memilih rakan sama ada di Barat atau di Timur, sesuai mengikut kepentingan mereka.
Jika putera mahkota Arab Saudi itu meneruskan usaha seperti yang dilakukannya sekarang, Arab Saudi akan berhasil mencapai keseimbangan ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg