Negara Teluk perketat solat Aidilfitri susulan ketegangan konflik Timur Tengah
Negara Teluk perketat solat Aidilfitri susulan ketegangan konflik Timur Tengah
UAE, Kuwait dan Qatar gantung tradisi solat di kawasan lapang yang himpun ribuan jemaah
DUBAI: Sambutan Aidilfitri 2026 di rantau Asia Barat berlangsung dalam suasana luar biasa apabila beberapa negara Teluk mengambil langkah keselamatan ketat susulan konflik berterusan antara Iran dengan gabungan Amerika Syarikat dan Israel.
Pihak berkuasa di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar mengumumkan bahawa solat Aidilfitri 2026 ini hanya akan diadakan di dalam masjid, sekali gus menggantung tradisi solat di kawasan lapang yang lazimnya menghimpunkan ribuan jemaah.
Langkah itu diumumkan sebagai sebahagian daripada pendekatan berjaga-jaga susulan peningkatan ketegangan keselamatan di rantau berkenaan.
“Solat akan dilaksanakan hanya di masjid yang diluluskan,” menurut kenyataan pihak berkuasa, sambil menggesa orang ramai mematuhi garis panduan baharu tersebut.
Kawasan lapang yang sebelum ini menjadi lokasi utama solat Aidilfitri di seluruh rantau Teluk akan ditutup sepenuhnya.
Pegawai kerajaan di beberapa negara Teluk menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi melindungi keselamatan awam ketika konflik serantau menunjukkan tanda-tanda semakin meruncing.
Menurut Agensi Berita Qatar (QNA), Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar menyatakan bahawa langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesejahteraan jemaah.
“Keputusan ini dibuat bagi menjamin keselamatan awam dalam keadaan semasa,” menurut kenyataan kementerian itu.
Solat Aidilfitri di Qatar dijadualkan berlangsung seawal 5.53 pagi, menandakan berakhirnya Ramadan yang biasanya disambut dengan perhimpunan besar, jamuan keluarga dan suasana meriah.
Namun, tahun ini, suasana tersebut berubah dengan ketara apabila faktor keselamatan menjadi keutamaan.
Di seluruh rantau Teluk, sambutan Aidilfitri kali ini dilihat lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selain penutupan kawasan solat terbuka, pihak berkuasa turut mengeluarkan nasihat keselamatan kepada orang ramai, termasuk mengelakkan kawasan sesak dan mematuhi arahan keselamatan di tempat awam.
Acara hiburan sempena Aidilfitri di beberapa bandar seperti Dubai turut dikurangkan.
Di Arab Saudi, pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan semasa musim Aidilfitri susulan kebimbangan terhadap ancaman dron dan peluru berpandu yang dikaitkan dengan konflik serantau.
Jemaah turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan awam, termasuk pasar dan pusat membeli-belah.
Walaupun ketegangan meningkat, Masjidil Haram di Makkah terus menerima kehadiran jemaah dalam jumlah besar. Pihak berkuasa Arab Saudi mengekalkan kawalan keselamatan ketat bagi memastikan ibadah berjalan lancar.
Arab Saudi, UAE dan Qatar secara rasmi menetapkan 1 Syawal 1447 Hijrah jatuh pada Jumaat, 20 Mac.
Mahkamah Agung Arab Saudi dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa Khamis, 19 Mac merupakan hari terakhir Ramadan selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan pada malam sebelumnya.
Keputusan sama turut diumumkan oleh UAE dan Qatar selepas jawatankuasa pencerapan masing-masing bersidang.
Langkah itu menandakan permulaan Aidilfitri secara serentak di kebanyakan negara Teluk.
Namun, di Baitulmakdis, suasana Aidilfitri jauh berbeza. Akses ke Masjid Al-Aqsa, salah satu tapak paling suci dalam Islam, dilaporkan disekat oleh pihak berkuasa Israel, mencetuskan reaksi dalam kalangan pemimpin agama Islam.
Laporan media menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel merancang untuk menutup Masjid Al-Aqsa semasa Aidilfitri, satu langkah yang dijangka mencetuskan kemarahan umat Islam.
Seorang ulama Palestin terkemuka, Encik Ekrima Sa’id Sabri, mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam menunaikan solat Aidilfitri berhampiran kawasan masjid tersebut.
“Semua umat Islam perlu hadir dan menunaikan solat di lokasi yang paling hampir dengan masjid,” katanya. Beliau menegaskan bahawa solat berhampiran kawasan itu mempunyai nilai yang setara dari sudut agama dalam keadaan sekatan semasa.
Di wilayah Palestin, Aidilfitri disambut dalam keadaan perang berterusan.
Di Gaza dan Tebing Barat, ramai keluarga menyambut hari raya dalam keadaan serba kekurangan, dengan akses kepada bantuan kemanusiaan terhad akibat konflik.
Perkhidmatan kecemasan dan perubatan turut terjejas, dengan pergerakan ambulans dilaporkan terganggu. Ramai keluarga memilih menyambut Aidilfitri secara sederhana.
Dalam masa yang sama, pertubuhan kemanusiaan antarabangsa memberi amaran bahawa keadaan di beberapa negara di rantau tersebut semakin buruk.
Di Lebanon, lebih sejuta orang dilaporkan terpaksa berpindah, manakala ratusan lagi terbunuh akibat konflik. Kemudahan kesihatan turut terjejas, dengan puluhan klinik dan hospital terpaksa ditutup.
Di Iran pula, serangan berterusan dilaporkan mengorbankan lebih 1,200 orang dan mencederakan puluhan ribu yang lain.
Ketegangan serantau turut memberi kesan kepada perjalanan udara dan ekonomi. Beberapa penerbangan terganggu akibat kebimbangan keselamatan ruang udara, manakala langkah keselamatan diperketat di lapangan terbang utama di rantau Teluk. – Agensi berita.

