Perjalanan 40 jam rentas darat, udara demi kembali ke pangkuan keluarga di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjalanan 40 jam rentas darat, udara demi kembali ke pangkuan keluarga di S’pura

42 pelajar S’pura di Jordan antara 81 warga tempatan pulang naiki pesawat kedua RSAF

Perjalanan 40 jam rentas darat, udara demi kembali ke pangkuan keluarga di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pelajar singapura, jordan, konflik timur tengah
Pelajar tahun pertama di Universiti Jordan, Encik Solihin Zainal, 20 tahun (bertopi), memeluk erat ayahnya, Encik Zainal Osman, sejurus sahaja mendarat di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi dari Jeddah, Arab Saudi pada dinihari 13 Mac. - Foto ST

Seramai 81 warga Singapura, termasuk pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, telah selamat tiba di Singapura pada pagi 13 Mac. Mereka menaiki pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dari Jeddah ke sini. Berita Harian (BH) bertemu beberapa pelajar dan ibu bapa mereka untuk merakam detik gembira yang menyelubungi Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi.

Hampir setiap hari, pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, Cik Deanna Yusra Rashid, melihat peluru berpandu berterbangan di langit sehingga menyebabkan tingkap kediamannya bergegar.

Apabila bunyi semboyan keselamatan memecah kesunyian saban hari, ia juga menandakan terdapat projektil yang telah memasuki ruang udara Jordan.

Cik Deanna, 20 tahun, akan mendengar semboyan itu berbunyi lantang hampir lima kali sehari.

Pengalaman itu bukan lagi asing bagi pelajar Singapura yang menuntut di sana, ekoran perang melibatkan Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang meletus pada 28 Februari.

Ia sekali gus mencetus serangan balas yang kini melibatkan beberapa negara lain termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Cik Deanna Yusra Rashid, 20 tahun (tengah), bersama ibu bapanya, Cik Siti Salha Salihoddin (kiri), dan Encik Rashid Ramli, di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac.
Cik Deanna Yusra Rashid, 20 tahun (tengah), bersama ibu bapanya, Cik Siti Salha Salihoddin (kiri), dan Encik Rashid Ramli, di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada dinihari 13 Mac, Cik Deanna menyifatkan pengalamannya itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Lantas, beliau amat bersyukur kerana sudah selamat pulang ke Singapura di pangkuan keluarga tersayang selepas menempuh perjalanan hampir 40 jam dari Jordan dan Jeddah, Arab Saudi.

“Setiap hari, saya dapat dengar semboyan keselamatan lebih lima kali sehari dan saya juga dapat melihat peluru berpandu di langit sehingga menyebabkan tingkap bilik saya bergegar,” kata mahasiswa tahun kedua dalam jurusan Kesusasteraan Bahasa Arab di Universiti Yarmouk.

Walaupun Jordan bukanlah kawasan serangan bagi peperangan itu, Universiti Yarmouk, yang terletak di Irbid, merupakan kawasan laluan peluru berpandu antara kededua Iran dengan Israel.

Ia menjadi lebih berisiko apabila Jordan bertindak memintas peluru berpandu berkenaan, yang mengakibatkan serpihan letupan jatuh di sekitar kawasan Irbid.

Menurut Cik Deanna, ini bukan kali pertama beliau melihat peluru berpandu sedemikian – sebelum ini ketika Iran berperang dengan Israel pada 2025 selama 12 hari, pengalaman serupa dialaminya.

Namun, beliau menganggap pengalaman kali ini lebih menyeramkan.

Bukan sahaja masyarakat di Jordan yang rasakan debaran di dada, ibu Cik Deanna, Cik Siti Salha Salihoddin, 50 tahun, turut mendengar bunyi semboyan itu setiap kali mereka membuat panggilan video dengannya.

Keadaan tersebut lebih membimbangkan lagi suri rumah itu.

“Bila kami berbual, boleh dengar bunyi semboyan di belakang tabir dan itu yang buat saya rasa macam ‘balik cepatlah’,” ujar Cik Siti Salha, yang langsung mendakap puterinya itu sejurus Cik Deanna tiba di T2.

Satu penerbangan dari Jeddah tertera pada papan ketibaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac.
Satu penerbangan dari Jeddah tertera pada papan ketibaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. - Foto ST

Perjalanan darat dan udara selama hampir 40 jam

Menempuh perjalanan selama 27 jam di dalam bas yang sempit dalam keadaan berpuasa bukanlah sesuatu yang ingin dilalui sesiapa pun.

Namun, bagi kumpulan pelajar, ia merupakan satu-satunya jalan sampai ke Jeddah, Arab Saudi, memandangkan laluan udara Jordan beroperasi secara terhad.

Dua pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, Encik Muhammad Safwan Rosli, dan Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah, memulakan perjalanan bas merentasi sempadan darat dari Amman, Jordan, ke Jeddah pada 10 Mac, sekitar 10 pagi.

Setibanya di Jeddah, pada 1 petang 11 Mac, mereka bermalam di sana di sebuah pangsapuri sebelum berlepas ke tanah air pada petang 12 Mac sekitar 4.30 petang.

Pelajar tahun kedua di Universiti Jordan, Encik Safwan, 21 tahun, berkata ini merupakan perjalanan sangat panjang yang pernah diharunginya.

Beliau, bagaimanapun, menghargai usaha Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Pertahanan (Mindef), dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menyelaras aspek logistik.

Beliau, yang juga Presiden Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj), berkata:

“Dalam bas itu kalau boleh saya memang nak turun.

“Masa bagaikan ‘merangkak’. Lama benar. Bila saya lihat jam, baru lima minit berlalu tetapi ia terasa bak satu jam.

“Tetapi alhamdulillah sebab ada kawan-kawan lain, kita dapat berborak bersama sekali gus meringankan lagi perjalanan.”

Berkongsi sentimen yang sama, pelajar tahun kedua di Universiti Yarmouk, Raja Nur Syakirah, amat lega sebaik sahaja melihat keluarganya menunggu di ruang ketibaan.

“Alhamdulillah saya rasa sangat lega, sangat gembira, dan sangat tenang jika dibandingkan dengan perasaan yang saya rasakan beberapa minggu lalu.

“(Ini lebih-lebih lagi) apabila melihat keluarga setelah empat hari mengharungi perjalanan dari Jordan ke sini,” ujar pelajar berusia 21 tahun itu.

Sebelum menaiki bas dari Amman ke Jeddah, Raja Nur Syakirah bersama pelajar Singapura Universiti Yarmouk terlebih dahulu berangkat dari Irbid seawal 6 pagi pada 10 Mac ke Amman untuk berkumpul bersama pelajar Singapura lain.

“Semua aturan perjalanan telah disediakan untuk kami.

“Di Amman juga, kami menghadiri satu sesi taklimat ringkas mengenai prosedur serta garis masa perjalanan (daripada MFA dan pegawai perhubungan pelajar daripada Muis),” tambahnya.

Pelajar tahun kedua di Universiti Yarmouk, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah, 21 tahun (dua dari kiri), bersama ahli keluarganya di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. Mereka terdiri daripada (dari kiri) ibu, Cik Saadiah Mohd Habib; ayah, Raja Muzaffar Shah Raja Rosli; dan abang, Ustaz Raja Lutfil Hadi Raja Muzaffar Shah.
Pelajar tahun kedua di Universiti Yarmouk, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah, 21 tahun (dua dari kiri), bersama ahli keluarganya di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. Mereka terdiri daripada (dari kiri) ibu, Cik Saadiah Mohd Habib; ayah, Raja Muzaffar Shah Raja Rosli; dan abang, Ustaz Raja Lutfil Hadi Raja Muzaffar Shah. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

42 pelajar Singapura di Jordan selamat kembali ke tanah air

Kumpulan pelajar itu merupakan antara 42 pelajar Singapura yang menuntut di Jordan dan pulang ke negara ini dengan menaiki pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Mereka dan 39 warga Singapura yang lain tiba pada dinihari 13 Mac.

Penerbangan khas penghantaran pulang dengan kod penerbangan SAF14 itu berlepas dari Jeddah sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) pada 12 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6 pagi pada keesokan harinya.

Ini merupakan penerbangan penghantaran pulang keempat yang dilaksanakan Singapura dalam usahanya membawa pulang rakyat Singapura yang terjejas dek konflik Israel/Amerika dengan Iran dan menggugat rantau Timur Tengah.

Ia diatur MFA bagi memenuhi permintaan warga Singapura di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi untuk pulang, di tengah-tengah penutupan ruang udara banyak negara Timur Tengah.

Sementara itu, ia juga merupakan pesawat kedua RSAF yang membawa pulang warga Singapura dari Arab Saudi.

Pesawat RSAF pertama, iaitu SAF12, membawa pulang 218 warga Singapura dan keluarga mereka dari Riyadh, Arab Saudi pada 11 Mac.

Hadir untuk menyambut ketibaan penumpang ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo.

Pemimpin kanan Muis termasuk Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar, turut hadir.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir bagi menyambut ketibaan penumpang warga Singapura pada 13 Mac.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir bagi menyambut ketibaan penumpang warga Singapura pada 13 Mac. - Foto ST

Ketika bercakap kepada wartawan sebelum menyambut penumpang, Dr Faishal berkata, keselamatan pelajar adalah keutamaan dan keprihatinan pemerintah.

Justeru, untuk membantu pelajar yang pulang dalam menangani isu persekolahan yang kini terjejas, beliau menambah Muis akan berhubung dengan pihak universiti untuk meneroka aturan pengajian alternatif serta menyediakan sokongan kaunseling.

Kebanyakan pelajar yang pulang merupakan mereka yang berada di tahun satu hingga tiga, dengan pengajian mereka dijangka terjejas kerana persekolahan masih berjalan.

Manakala, pelajar tahun empat pula kebanyakannya kekal di Jordan untuk meneruskan pengajian mereka di sana.

Di Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac, Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo (kanan), menyambut kepulangan 81 warga Singapura, termasuk pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, Encik Mohamed Shabeer Mohamed Rafi (berbaju coklat).
Di Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac, Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo (kanan), menyambut kepulangan 81 warga Singapura, termasuk pelajar Singapura yang menuntut di Jordan, Encik Mohamed Shabeer Mohamed Rafi (berbaju coklat). - Foto MINDEF

Titisan air mata syukur ibu bapa

Ibu bapa yang ditemui BH di T2, secara amnya, meluahkan rasa bimbang mengenai kebajikan anak mereka, namun tetap bersyukur kerana anak-anak ini sudah kembali ke pangkuan keluarga.

Bagi ibu Encik Safwan, Cik Za Ismail, 57 tahun, perasaannya bercampur baur, gembira dan sedih apabila melihat anaknya keluar dari ruang ketibaan T2.

“Apabila konflik sedang memuncak, saya sangat bimbang walaupun beliau kata beliau baik.

“Dalam perjalanan pulang juga saya tetap bimbang tetapi alhamdulillah beliau dah sampai... dah nampak orangnya,” ujar Cik Za sambil tersenyum dan menggenggam tangan anaknya itu.

Pelajar tahun kedua di Universiti Jordan, yang juga merupakan Presiden Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj), Encik Muhammad Safwan Rosli (kiri) 21 tahun, bersama ibunya, Cik Za Ismail di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac.
Pelajar tahun kedua di Universiti Jordan, yang juga merupakan Presiden Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj), Encik Muhammad Safwan Rosli (kiri) 21 tahun, bersama ibunya, Cik Za Ismail di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mac. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Ibu Raja Nur Syakirah, Cik Saadiah Mohd Habib, 53 tahun, pula tidak percaya dapat beraya bersama anaknya kerana anaknya itu sering beraya di perantauan.

Terutama sekali apabila beliau dibelenggu kerisauan sejak kebelakangan ini, rasa sebak sentiasa memenuhi jiwa.

“Beberapa hari ini, kami dalam debaran dengan keadaan di sana. Kemudian memikirkan keselamatan mereka. Kemudian fikirkan macam mana mereka ni boleh balik atau tidak?

“Memang saya tak percaya yang beliau dapat beraya dengan saya tahun ini (2026), tiba-tiba Allah beri di sebalik kesusahan, ada kesenangan,” katanya.

Pelajar tahun kedua di Universiti Yarmouk, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah (kiri), memeluk erat ibunya, Cik Saadiah Mohd Habib, sejurus selepas beliau mendarat di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi dari Jeddah, Arab Saudi pada dinihari 13 Mac.
Pelajar tahun kedua di Universiti Yarmouk, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah (kiri), memeluk erat ibunya, Cik Saadiah Mohd Habib, sejurus selepas beliau mendarat di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi dari Jeddah, Arab Saudi pada dinihari 13 Mac. - Foto ST

Pelajar tahun pertama ke Jordan seminggu sebelum perang meletus

Setelah berada di Singapura selama seminggu – dari 15 hingga 22 Februari – dan kemudian kembali ke Jordan, mahasiswa tahun pertama Universiti Jordan, Encik Solihin Zainal, berkobar-kobar ingin meneruskan pengajian di sana.

Namun, keadaan berubah dengan pantas apabila konflik tercetus di Timur Tengah, hanya hampir seminggu selepas beliau kembali ke Jordan.

“Sebenarnya, saya pun masih hendak duduk di Jordan kerana baru pulang ke Singapura dan kembali ke Jordan.

“Saya agak terkejut apabila ia berlaku selepas saya dan rakan-rakan pulang ke sana. Kami menantikan permulaan penggal baharu dan pengalaman Ramadan yang berbeza,” ujar beliau kepada BH.

Menyedari keadaan kian membimbangkan, Encik Solihin berbincang dengan ibu bapa, pegawai dan asatizah Muis, serta rakan-rakannya sebelum membuat keputusan pulang ke Singapura.

“Jadi, saya rasa ini yang terbaik, iaitu pulang kembali ke Singapura dan tidak membimbangkan sesiapa lagi,” tambahnya.

Namun, kebimbangan tersebut sedikit reda apabila beliau tiba di ruang ketibaan T2 Lapangan Terbang Changi, dan disambut oleh keluarga tersayang.

“Perasaan saya bila nampak ramai orang terutama sekali keluarga saya, kesyukuran dan kegembiraan begitu dirasakan.

“Kesempatan pulang dari Jordan ke tanah air ini sangat berharga. Saya juga berterima kasih kepada pihak yang memastikan suasana di sini menjadi lebih meriah dan ceria,” ujar pelajar berusia 20 tahun itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg