NEW YORK: Beberapa negara Timur Tengah dan Barat sedang giat berusaha membentuk hubungan baru dengan kumpulan pemberontak utama Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
HTS, yang sebelum ini dikenali sebagai Nusra Front dan sekutu kumpulan pengganasan Al-Qaeda, disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Turkey serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah itu muncul susulan berakhirnya pemerintahan rejim mantan Presiden Bashar al-Assad yang melarikan diri ke Russia selepas 13 tahun perang saudara dan lebih 50 tahun pemerintahan keluarganya.
Pergolakan itu mencetuskan perubahan geopolitik besar di Timur Tengah, dengan banyak negara kini melihat keperluan untuk berkomunikasi dengan kumpulan seperti HTS bagi memastikan kestabilan wilayah dan mencegah pengaruh kumpulan pelampau seperti ISIS.
Susulan pergolakan di Syria itu, Majlis Keselamatan PBB kini sedang merangka kenyataan rasmi.
Diplomat Amerika dan Russia memaklumkan bahawa perbincangan tertutup yang diadakan pada 9 Disember menekankan kepada perlunya menjaga integriti wilayah Syria, melindungi orang awam serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Dewan ini, pada pandangan saya, lebih kurang bersatu dalam keperluan untuk memelihara keutuhan wilayah dan perpaduan Syria, memastikan perlindungan orang awam dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Duta Russia ke PBB, Encik Vassily Nebenzia, kepada wartawan selepas mesyuarat tersebut.
Timbalan Duta Amerika, Encik Robert Wood, mengesahkan bahawa kebanyakan anggota majlis telah membincangkan isu-isu tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa Majlis Keselamatan, yang kini dipengerusikan oleh Amerika, sedang berusaha untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Inilah saat yang luar biasa bagi rakyat Syria,” kata Encik Wood.
“Kini kami benar-benar memberi tumpuan untuk melihat ke mana situasi ini akan bergerak. Dapatkah wujud pihak berkuasa pemerintahan di Syria yang menghormati hak dan martabat rakyatnya?”
Seorang pegawai kanan Iran mendedahkan bahawa Turkey, Qatar dan Arab Saudi bersetuju membuka saluran komunikasi dengan HTS.
“Langkah ini adalah penting untuk memastikan kumpulan pelampau seperti ISIS tidak mendapat ruang untuk bertapak,” katanya.
Di samping itu, Russia menerima jaminan daripada wakil pemberontak bahawa pangkalan tentera dan institusi diplomatiknya di Syria akan terus dikekalkan.
Turkey, melalui Menteri Luar, Encik Hakan Fidan, menyatakan bahawa mereka berkoordinasi dengan semua “watak dan pihak serantau” tanpa menyebut HTS secara langsung.
Amerika turut mengambil pendekatan berhati-hati dalam menangani HTS.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, berkata bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan negara yang mempunyai pengaruh di Syria.
“Kami percaya kami mampu berkomunikasi secara langsung atau tidak langsung dengan semua pihak berkaitan,” ujar Encik Miller.
Ketika ditanya sama ada Amerika akan berinteraksi dengan pemimpin HTS, Encik Abu Mohammed al-Golani, Encik Miller enggan memberikan jawapan pasti tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut.
HTS kini menguasai wilayah Idlib dan berusaha memperbaiki imejnya dengan mentadbir kawasan tersebut dengan banyak pihak, termasuk Amerika yang masih berhati-hati terhadap pengaruh kumpulan itu.
Presiden Joe Biden menyifatkan kejatuhan rejim Encik Assad sebagai peluang bersejarah untuk rakyat Syria.
Namun, beliau turut memberi amaran bahawa Syria akan menghadapi risiko ketidakpastian dalam tempoh peralihan ini.
“Dengan perubahan besar yang berlaku, kami berharap dapat melihat sebuah pihak berkuasa yang menghormati hak dan kebebasan rakyat Syria,” tambahnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg