DAMSYIK: Pada pagi 9 Disember, rakyat Syria membuka mata kepada masa depan yang penuh harapan tetapi masih diliputi ketidakpastian.
Ini susulan pemberontak berjaya menawan ibu kota Damsyik, manakala Presiden Bashar al-Assad melarikan diri ke Russia, sekali gus menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan lebih 50 tahun pemerintahan kuku besi keluarganya.
Serangan kilat oleh pakatan militia yang diterajui Hayat al-Tahrir al-Sham (HTS), bekas sekutu al-Qaeda, mencipta sejarah baru di Timur Tengah. Kejatuhan Assad turut menghapuskan pusat pengaruh Iran dan Russia di dunia Arab.
Russia dilaporkan memberi suaka kepada Encik Assad dan keluarganya.
“Bashar al-Assad kini berada di Moscow bersama keluarganya,” ujar Mikhail Ulyanov, Duta Russia ke organisasi antarabangsa, melalui saluran Telegram pada 8 Disember.
Negara-negara dunia menyambut baik berakhirnya pemerintahan diktator keluarga Assad.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata, “Syria kini dalam tempoh risiko dan ketidakpastian, tetapi ini kali pertama dalam bertahun-tahun Russia, Iran, mahupun Hezbollah tidak lagi dominan di sini.”
Namun, HTS masih diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat, Turkey, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walaupun begitu, mereka berusaha mengubah imej untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa dan kumpulan minoriti di Syria.
Kejatuhan Encik Assad dilihat mengurangkan pengaruh Iran dalam menyebarkan senjata kepada sekutunya, selain memberi kesan kepada pangkalan tentera laut Russia di Mediterranean.
Situasi itu juga memberi harapan kepada jutaan pelarian Syria di Turkey, Lebanon dan Jordan untuk pulang ke tanah air.
Pemberontak kini berhadapan cabaran besar untuk membina semula negara yang musnah akibat perang, dengan ratusan ribu terkorban dan ekonomi yang lumpuh akibat sekatan sejagat.
“Sejarah baru sedang ditulis di seluruh rantau ini selepas kemenangan besar ini,” ujar Encik Abu Mohammed al-Jolani, pemimpin HTS, kepada ribuan hadirin di Masjid Umayyad di Damsyik.
Beliau menyeru rakyat Syria agar bekerja keras untuk menjadikan negara itu sebagai “mercu tanda bagi umat Islam”.
Penjara-penjara yang sebelum ini dipenuhi tahanan politik di bawah rejim Assad dibuka pada 8 Disember.
Ramai tahanan yang baru dibebaskan dilihat berlari di jalan-jalan Damsyik dengan tangan diangkat, menunjukkan tahun-tahun yang mereka habiskan di dalam tahanan.
Pasukan White Helmets pula mengerahkan pasukan kecemasan untuk mencari sel bawah tanah yang dipercayai masih menahan tahanan.
Walaupun pemberontak mengisytiharkan perintah berkurung, situasi di Damsyik kekal tenang pada malam 8 Disember. Beberapa jalan utama kosong, tetapi terdapat laporan kecurian di pusat membeli-belah serta rampasan perabot dari istana presiden Encik Assad.
Pemberontak kini dalam proses memindahkan kuasa kepada badan pentadbiran peralihan yang memiliki kuasa eksekutif.
Kecepatan kejadian ini mengejutkan dunia dan menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan rantau itu, terutama dengan perang Gaza, serangan Israel di Lebanon serta ketegangan antara Israel dengan Iran.
Amerika turut melancarkan serangan udara ke atas kem dan operasi militan IS di Syria tengah pada 8 Disember.
Menteri Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, berkata: “Kepentingan melindungi orang awam menjadi keutamaan, dan kami akan terus memantau keadaan.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg