Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nepal bergolak: Media sosial jadi ‘parlimen’ maya selepas PM digulingkan

Sep 12, 2025 | 12:35 PM
Kawat duri dipasang ketika anggota tentera berkawal di sepanjang jalan semasa perintah berkurung dilaksanakan bagi memulihkan keamanan dan ketenteraman di Kathmandu pada 12 September 2025. Tentera mengenakan perintah berkurung di negara Himalaya yang berpopulasi 30 juta orang itu, dengan askar meronda di jalan-jalan yang kebanyakannya lengang selepas keganasan terburuk dalam tempoh dua dekad.
Kawat duri dipasang ketika anggota tentera berkawal di sepanjang jalan semasa perintah berkurung dilaksanakan bagi memulihkan keamanan dan ketenteraman di Kathmandu pada 12 September 2025. Tentera mengenakan perintah berkurung di negara Himalaya yang berpopulasi 30 juta orang itu, dengan askar meronda di jalan-jalan yang kebanyakannya lengang selepas keganasan terburuk dalam tempoh dua dekad. - Foto AFP

KATHMANDU: Cubaan pemerintah Nepal untuk mengharamkan media sosial berakhir dengan tragedi: protes berdarah, Parlimen terbakar, Perdana Menteri digulingkan, dan tentera menguasai jalan-jalan utama di ibu kota.

Kini, ironinya, teknologi yang cuba diharamkan itu menjadi nadi kepada perbincangan politik negara. Lebih 100,000 warga Nepal berhimpun setiap hari di saluran Discord, sebuah aplikasi sembang popular dalam kalangan belia, untuk membincangkan masa depan kepimpinan negara.

“Parlimen Nepal sekarang ialah Discord,” kata Encik Sid Ghimiri, 23 tahun, seorang pencipta kandungan dari Kathmandu.

Gelombang demonstrasi yang digerakkan oleh anak muda Gen Z bermula sebagai bantahan terhadap ketidaksamaan kekayaan, rasuah, dan cadangan larangan media sosial.

Bangunan Parlimen, pejabat Perdana Menteri dan Mahkamah Agung diserang serta dibakar. Hotel lima bintang seperti Hilton dan Hyatt Regency turut menjadi sasaran, memaksa pengunjung dipindahkan.

“Ini adalah luahan kekecewaan rakyat yang sudah lama menanggung penderitaan,” kata bekas hakim Mahkamah Agung, Encik Balaram KC.

Kementerian Kesihatan Nepal melaporkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan lebih 1,300 cedera. Walaupun penganjur protes menjarakkan diri daripada tindakan ganas, penganalisis menegaskan ia berpunca daripada jurang kekayaan yang semakin melebar.

“Rasa tidak puas hati terhadap rasuah sudah lama membara di Nepal,” kata Ahli Parlimen Encik Rajendra Bajgain, yang turut menyaksikan hotel miliknya dibakar.

Selepas kejatuhan Perdana Menteri Encik KP Sharma Oli pada 9 September, kuasa eksekutif sementara terletak di tangan tentera. Namun, rakyat muda mengubah Discord menjadi parlimen maya lengkap dengan perbincangan suara, video dan teks.

Saluran itu dikendalikan oleh kumpulan sivil Hami Nepal, dengan sebahagian besar peserta terdiri daripada aktivis Gen Z yang memimpin protes.

“Tujuannya adalah untuk mensimulasikan semacam pilihan raya mini,” kata Shaswot Lamichhane, moderator berusia 18 tahun yang baru tamat sekolah menengah.

Dalam tempoh empat hari, keahlian saluran melonjak kepada 145,000 orang. Namun, perbincangan sering bercelaru, dipenuhi suara bercampur, malah sesekali disusupi pihak luar.
“Kami tidak ada pemimpin tetap untuk mewakili kami,” kata Encik Samdip Yadav, 23 tahun, seorang graduan baru. “Kadangkala ia terasa seperti panggilan media sosial yang rawak.”

Keadaan semakin luar biasa apabila pihak tentera sendiri mengadakan pertemuan dengan moderator Discord. Mereka meminta kumpulan itu mencalonkan individu untuk jawatan perdana menteri sementara.

Antara nama yang dibincangkan ialah bekas calon politik Encik Sagar Dhakal dan bekas ketua badan elektrik Nepal, Encik Kul Man Ghising. Kedua-duanya hadir dalam perbincangan panjang secara maya pada 10 September.

Selepas beberapa pusingan undian dalam talian, kumpulan itu mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Cik Sushila Karki, bekas Ketua Hakim Nepal.

Pada 9 September, Cik Karki dilaporkan telah bertemu Presiden Ram Chandra Poudel dan Panglima Tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel. “Kami hanya mahu mencadangkan seorang pemimpin interim untuk mengendalikan pilihan raya,” kata Encik Lamichhane.

Gerakan Gen Z mula mendapat momentum di TikTok dan Instagram, mendedahkan gaya hidup mewah anak-anak pemimpin, percutian mahal dan pakaian berjenama - amat berbeza dengan nasib ribuan belia Nepal yang terpaksa berhijrah ke Asia Barat, Malaysia dan Korea Selatan untuk bekerja.

“Golongan elit hidup berlebihan, sementara anak muda meninggalkan tanah air untuk mencari rezeki,” kata seorang penganalisis tempatan.

Walaupun Discord menjadi pusat perbincangan politik, ia juga menunjukkan batasan demokrasi digital. Moderator terpaksa menenangkan seruan keganasan dan menegaskan: Tolong pilih wakil sekarang – KITA TIDAK ADA MASA.”

Pada akhirnya, nama Cik Karki diputuskan. Namun, kumpulan lain termasuk parti politik tradisional dan penyokong monarki turut berlumba-lumba mendapatkan pengaruh.

Sementara itu, tentera terus berkuasa di jalanan dengan perintah berkurung di Kathmandu. Rakyat masih menunggu kepastian. “Negara ini berada di persimpangan,” kata Encik Ghimiri. “Kami tidak tahu siapa pemimpin seterusnya, tapi kami tahu suara rakyat tidak boleh lagi diketepikan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg