KATHMANDU: Nepal telah menarik balik larangan ke atas platform media sosial berikutan protes besar-besaran yang menyaksikan 19 orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan, kata seorang menteri.
Jurucakap Kabinet dan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Encik Prithvi Subba Gurung, berkata pada awal 9 September bahawa pemerintahnya telah menarik balik larangan ke atas media sosial yang dikenakan pada 4 September.
“Kami telah menarik balik larangan terhadap media sosial. Platform itu telah kembali berfungsi,” kata Encik Gurung.
Larangan itu telah menyekat 26 laman media, termasuk WhatsApp, Facebook, Instagram, LinkedIn dan YouTube dalam usaha pemerintah menangani maklumat palsu, penipuan dan ucapan kebencian.
Digelar sebagai protes ‘Gen Z’ kerana ia melibatkan penyertaan golongan muda dan pelajar, perhimpunan beribu-ribu orang di Kathmandu dan bandar utama pada 8 September itu membantah larangan ke atas media sosial dan isu sistemik seperti rasuah dan masalah ekonomi.
Bantahan bertukar maut di Kathmandu apabila polis menggunakan gas pemedih mata, peluru getah, meriam air dan belantan ke arah penunjuk perasaan yang cuba menyerbu kompleks Parlimen di ibu negara.
Seramai 17 penunjuk perasaan terbunuh di Kathmandu dan dua lagi dalam protes maut di bandar Itahari.
Di seluruh Nepal, lebih 100 orang turut cedera pada 8 September, dengan beberapa anggaran meletakkan angka itu setinggi 400 termasuk pegawai polis.
Protes tersebut adalah antara yang paling teruk melanda Nepal dalam beberapa dekad.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia berkata bahawa ia telah menerima “beberapa dakwaan yang amat membimbangkan tentang penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau tidak seimbang oleh pasukan keselamatan” semasa protes.
“Kami terkejut dengan pembunuhan dan kecederaan melibatkan penunjuk perasaan di Nepal dan menggesa siasatan telus segera dijalankan,” kata jurucakap PBB, Cik Ravina Shamdasani.
Perdana Menteri, Encik KP Sharma Oli, berkata beliau sedih dengan insiden keganasan.
Pemerintah akan memberikan bantuan kepada keluarga penunjuk perasaan yang terbunuh dan menawarkan rawatan percuma kepada mereka yang cedera, kata beliau.
“Panel penyiasatan akan ditubuhkan untuk mengetahui punca, menilai kerugian dan mencadangkan langkah dalam tempoh 15 hari bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa depan,” kata Encik Oli dalam satu kenyataan lewat malam 8 September. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg