Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes larang media sosial semakin ganas di Nepal

Sep 10, 2025 | 2:31 PM
nepal, bantahan
Penunjuk perasaan sesetengahnya menggunakan senjata, mengadakan protes sebagai membantah kematian 19 orang dalam kejadian pada 8 September 2025. - Foto REUTERS

KATHMANDU: Bantahan terhadap larangan singkat ke atas media sosial di Nepal menjadi semakin ganas apabila penunjuk perasaan membakar bangunan pemerintah dan rumah ahli politik serta menyerang beberapa pemimpin.

Ekorannya, Perdana Menteri Khadga Prasad Oli meletakkan jawatan di tengah-tengah kritikan meluas terhadap elit politik negara itu.

Namun, peletakan jawatan itu tidak banyak memberi kesan kepada pergolakan yang memanas dengan puluhan ribu penunjuk perasaan kekal di jalanan pada lewat hari, menghalang jalan dan menyerbu kemudahan pemerintah.

Helikopter tentera dilihat membawa beberapa menteri ke tempat lebih selamat.

Sehari sebelum itu, demonstrasi oleh golongan muda yang marah mengenai sekatan beberapa laman media sosial, mencengkam ibu negara, dan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai, membunuh 19 orang.

Larangan itu ditarik balik pada 9 September, tetapi bantahan berterusan, didorong oleh kemarahan terhadap kematian penunjuk perasaan dan tuduhan rasuah politik di negara bersempadankan China dan India itu.

Ketika bantahan kian memuncak, Encik Oli mengumumkan beliau akan berundur.

Presiden menerima peletakan jawatan itu dan melantik beliau untuk mengetuai pemerintah sementara sehingga pemerintah baru diwujudkan.

Bagaimanapun, tidak jelas apakah kuasa yang akan Encik Oli gunakan atau di manakah beliau berada sekarang.

Presiden Nepal, Encik Ram Chandra Poudel, merayu kepada penunjuk perasaan agar turut serta dalam perbincangan untuk mencari penyelesaian secara aman dan menghentikan keganasan lanjut.

Dalam mesej video, Panglima Tentera Nepal, Encik Ashok Raj Sigdel, menggesa penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi untuk mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda dan tampil untuk berdialog.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik António Guterres, menggesa semua pihak mengawal diri bagi mengelak keganasan selanjutnya dan agar penyiasatan ke atas bantahan itu segera dijalankan.

Demonstrasi oleh golongan muda atau Gen Z itu bermula selepas pemerintah menyekat wadah sosial, termasuk Facebook, X dan YouTube, kerana syarikat pengendali gagal mendaftar dan enggan diletakkan di bawah pengawasan pemerintah.

Namun, bantahan semakin meningkat untuk mencerminkan rasa tidak puas hati yang lebih luas.

Ramai anak muda khususnya marah kerana anak pemimpin politik menikmati gaya hidup mewah sedang kebanyakan mereka sukar mencari pekerjaan.

Dengan pengangguran meningkat sekitar 20 peratus pada 2024, pemerintah Nepal menganggarkan lebih 2,000 belia meninggalkan negara itu setiap hari untuk mencari pekerjaan di Timur Tengah atau Asia Tenggara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg