Topik diikuti
Pergi ke BHkuNepal mula kebumi beramai-ramai mangsa banjir yang belum dikenal pasti
Hampir 800 maut, lebih 3,000 hilang dalam banjir Nepal-Tibet
BHARATPUR, Nepal: Enam hari selepas banjir besar melanda kawasan pergunungan di sempadan Nepal-Tibet, anggota keluarga mangsa dari pelbagai daerah terus tiba di pusat pengecaman mayat dengan harapan dapat mengetahui nasib insan tersayang yang masih hilang.
Di sebuah dewan pemerintah di Bharatpur, bandar yang terletak lebih 160 kilometer dari kawasan awal dilanda banjir, suasana pilu menyelubungi keluarga yang berkumpul di hadapan sebuah skrin televisyen kecil.
Mereka memerhatikan satu demi satu gambar mayat yang ditemukan selepas dihanyutkan arus deras, dengan harapan dapat mengenal pasti ahli keluarga masing-masing.
Di dewan bersebelahan yang dijadikan bilik mayat sementara, terdapat 270 mayat dan hampir semuanya masih belum dikenal pasti.
Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos itu kini disahkan mengorbankan sekurang-kurangnya 797 orang, manakala sekurang-kurangnya 3,048 lagi masih hilang.
Angka itu dijangka terus berubah ketika operasi mencari dan menyelamat diperluaskan.
Agensi pengurusan bencana Nepal berkata seramai 2,502 orang masih hilang di negara itu, manakala 781 kematian telah disahkan.
Di Tibet pula, penyiar pemerintah China, CCTV, melaporkan 546 orang masih hilang dan 16 disahkan terkorban.
Ratusan warga asing turut belum dapat dikesan.
Nepal berkata 592 warga asing masih hilang, manakala pihak berkuasa China melaporkan sekurang-kurangnya 261 warga asing tidak dapat dikesan di Tibet.
Di India, tujuh mayat yang dipercayai mangsa banjir turut ditemukan di sungai yang mengalir dari Nepal, tetapi belum dimasukkan dalam angka korban rasmi.
Di Nepal sahaja, seramai 1,910 rakyat tempatan masih hilang, termasuk 562 orang di Rasuwa, daerah yang mengalami antara kemusnahan paling teruk.
Mereka termasuk 933 pekerja projek hidroelektrik, 45 anggota tentera Nepal, 38 anggota polis dan polis bersenjata serta 19 pegawai kastam dan imigresen.
CCTV pula melaporkan 104 warga Nepal masih hilang di Tibet.
Operasi mencari mangsa kini tertumpu pada beberapa terowong projek hidroelektrik utama di Rasuwa dan Nuwakot yang dipercayai memerangkap sejumlah besar pekerja.
Tentera Nepal bekerja sepanjang malam dalam keadaan hujan untuk menebuk timbunan lumpur dan puing bagi mencari laluan memasuki terowong.
Dengan bantuan pasukan penyelamat India, mereka berjaya menemukan pintu masuk sebuah terowong pada 30 Ogos, tetapi mendapati ia dipenuhi air. Usaha mencari pintu masuk sebuah lagi terowong masih diteruskan.
Jurucakap tentera Nepal, Brigedier Jeneral Raja Ram Basnet, berkata dron pengesan haba turut digunakan bagi mengesan kemungkinan mangsa yang masih hidup.
“Tentera Nepal menggunakan dron pengesan haba untuk mencari tanda-tanda kehidupan.
“Tetapi setakat ini, tiada petunjuk mengenai mangsa yang masih hidup,” katanya.
Harapan menemukan mangsa terselamat semakin tipis selepas tempoh 72 jam pertama yang lazimnya dianggap paling kritikal dalam sesuatu operasi mencari dan menyelamat telah berlalu.
Bencana itu berlaku selepas sebahagian besar glasier runtuh dari lereng gunung, menghasilkan gegaran begitu kuat sehingga pada peringkat awal pihak berkuasa menyangka gempa bumi telah berlaku.
Runtuhan itu kemudian mencetuskan gelombang besar air, lumpur dan puing yang merempuh kawasan di bawahnya, menghanyutkan penduduk kampung, pekerja projek hidroelektrik serta ratusan pelancong dan jemaah dari hampir 30 negara.
Beberapa bandar musnah, manakala jalan raya, jambatan dan talian komunikasi terputus. Puluhan ribu penduduk masih memerlukan bantuan kecemasan.
Kekuatan arus turut menghanyutkan mayat sehingga ratusan kilometer dari kawasan bencana, termasuk ke India.
Keadaan itu menimbulkan masalah besar kepada pihak berkuasa di Chitwan dan Bharatpur kerana kemudahan menyimpan mayat amat terhad.
Ketua Polis Chitwan, Encik Rameshwor Poudel, berkata bilik mayat di daerah itu hanya mampu menempatkan sedikit melebihi 30 mayat.
Pihak berkuasa akhirnya menggunakan sebuah dewan pemerintah di Bharatpur sebagai bilik mayat sementara.
Dengan hanya sebuah alat penghawa dingin, mereka cuba mendapatkan ais kering bagi memperlahankan proses pereputan.
Mayat turut difoto supaya keluarga yang datang dapat cuba mengenal pasti orang tersayang.
Bagaimanapun, banyak mayat terlalu lama berada di dalam air dan cuaca panas musim monsun memburukkan keadaan. Hanya sekitar 12 mayat berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga.
“Kami masih menemukan 15 hingga 20 mayat baharu setiap hari,” kata pegawai kanan polis trafik, Encik Anil Thapa, yang membantu menguruskan bilik mayat sementara itu.
“Keadaan ini mungkin berterusan selama berbulan-bulan.”
Pihak berkuasa kemudian memutuskan untuk mengebumikan mayat yang belum dikenal pasti selepas setiap satu didokumentasikan secara terperinci.
Gambar diambil, tanda khusus pada tubuh serta pakaian dan barangan yang ditemukan bersama mayat direkodkan, selain sampel DNA dikumpulkan bagi membolehkan pengecaman dilakukan kemudian.
Sebanyak 93 mayat dikebumikan di sebuah kawasan hutan pada 29 Ogos, disusuli 100 lagi pada 30 Ogos.
Antara keluarga yang tiba di Bharatpur ialah Biresh Kumar Sah, 17 tahun, yang menaiki bas selama lapan jam untuk mencari bapanya, seorang guru matematik, serta adik lelakinya.
Seorang rakan bapanya memberitahu bahawa beliau melihat kedua-duanya dihanyutkan banjir.
“Saya tahu mereka sudah tiada,” kata Biresh. “Tetapi saya masih berharap.”
Seorang lagi, Encik Ramesh Dahal, 31 tahun, mencari anak saudaranya, Suman Dahal, 21 tahun, seorang pemandu pelancong yang membawa sekumpulan pendaki di Rasuwa ketika bencana berlaku.
Beliau pada mulanya berharap Suman mungkin sempat melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.
Bagaimanapun, selepas lima hari berlalu tanpa berita, harapan itu semakin pudar.
“Sekarang saya rasa mungkin hanya ada 0.1 peratus peluang untuk menemukan mayatnya sekalipun,” katanya.
Bencana itu turut mencetuskan operasi antarabangsa bagi mengesan ratusan warga asing.
India melaporkan 275 rakyatnya masih hilang, selain 128 individu berketurunan India, manakala sekitar 900 rakyat India yang masih berada di kawasan China dilaporkan selamat dan boleh dihubungi.
Amerika Syarikat pula berkata kira-kira 85 rakyatnya masih hilang dan sembilan telah diselamatkan, manakala tiada kematian rakyat Amerika dilaporkan setakat ini.
Antara warga asing lain yang masih hilang termasuk 61 rakyat Ukraine, 51 rakyat Malaysia, 42 warga Australia dan puluhan rakyat Britain, Latvia dan Canada.
Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, sembilan rakyat Singapura juga masih belum dapat dikesan.
Ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam, jumlah mangsa dijangka terus meningkat, sementara bagi ribuan keluarga, usaha kini bukan sahaja tertumpu kepada mencari mereka yang masih hidup tetapi juga mendapatkan kepastian mengenai nasib orang tersayang. - Agensi berita
