KATHMANDU: Nepal perlu membina semula kira-kira 20,000 rumah di kawasan yang dilanda banjir besar minggu lalu, dengan pemerintah merancang memindahkan sebahagian penempatan ke lokasi lebih selamat bagi mengelakkan penduduk berdepan bencana serupa pada masa depan.

Usaha pemulihan besar-besaran itu bermula ketika pasukan penyelamat masih mencari ribuan mangsa yang hilang, termasuk pekerja yang dipercayai terperangkap dalam terowong projek hidroelektrik.

Bencana pada 26 Ogos tercetus selepas keruntuhan glasier di kawasan Himalaya berhampiran sempadan Nepal dengan Tibet menyebabkan gelombang besar air, ais, batu dan lumpur melanda bandar serta kampung.

Sekurang-kurangnya 1,204 orang terbunuh di Nepal, manakala lebih 4,200 masih hilang dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Ketua Penguasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nasional Nepal, Encik Dharma Raj Upreti, berkata penilaian awal menunjukkan 7,500 rumah musnah sepenuhnya selepas dihanyutkan atau tertimbus di bawah lumpur dan serpihan.

Namun, jumlah rumah yang perlu dibina semula jauh lebih tinggi kerana banyak bangunan yang masih berdiri tidak lagi selamat untuk didiami.

“Anggaran awal kami menunjukkan 7,500 rumah musnah sepenuhnya, sama ada dihanyutkan atau tertimbus di bawah serpihan dan lumpur,” katanya.

Menurut Encik Upreti, sekitar 20,000 rumah akhirnya mungkin perlu dibina semula.

Beliau menegaskan bahawa membina kembali rumah di lokasi asal bukan pilihan yang sesuai kerana ia akan mendedahkan penduduk kepada ancaman sama.

“Tidak ada gunanya membina semula rumah di lokasi yang sama kerana ia akan mendedahkan penduduk kepada risiko yang sama,” katanya.

Pihak berkuasa kini mengenal pasti kawasan lebih selamat untuk membina rumah dan memindahkan penempatan yang terdedah kepada banjir, tanah runtuh dan bencana berkaitan glasier.

Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, berkata pemerintah kini memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembinaan semula, sambil meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Operasi paling mencabar termasuk pencarian pekerja yang dipercayai terperangkap dalam terowong beberapa projek hidroelektrik.

Seorang pegawai tentera berkata pasukan pakar dari India, Korea Selatan dan China membantu memeriksa semua terowong yang terjejas.

“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan selagi masih ada harapan menemui mangsa yang terselamat,” katanya.

“Walaupun tiada yang terselamat, kami akan membawa keluar mayat mereka.”

Pasukan Korea Selatan yang dilengkapi dron, anjing pengesan, alat mengesan bunyi serta kamera video dan pengimejan haba telah mendirikan pangkalan di Batar, berhampiran terowong loji hidroelektrik Upper Trishuli-1.

Sembilan pekerja Korea Selatan dilaporkan hilang di kawasan itu.

Lebih seminggu selepas bencana, cabaran pemerintah kini bukan sahaja mencari mangsa tetapi membantu penduduk meneruskan kehidupan.

“Penduduk kehilangan segala-galanya. Mereka tidak mempunyai kad pengenalan kewarganegaraan atau pasport,” kata pegawai Pusat Operasi Kecemasan Nasional Nepal, Encik Phanindra Paudel.

Pihak berkuasa sedang berusaha membuka sekolah sementara, memulihkan kemudahan asas dan menyediakan air bersih serta sanitasi.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkata sekurang-kurangnya 22,000 kanak-kanak memerlukan bantuan segera untuk mendapatkan air minuman bersih, kemudahan sanitasi dan kebersihan.

“Keutamaan kami adalah mengembalikan kehidupan kepada keadaan normal,” kata Encik Paudel.

“Kami sedang mempertimbangkan sama ada kanak-kanak boleh belajar di pusat penempatan sementara sehingga kelas biasa dapat disambung semula.”

Namun, mencari bangunan selamat untuk dijadikan sekolah sementara bukan mudah.

Guru Besar sebuah sekolah yang berjaya memindahkan kira-kira 900 pelajar sebelum banjir melanda, Encik Rajendra Dawadi, berkata bangunan sekolahnya dihanyutkan sepenuhnya.

“Kami sedang mencari bangunan kosong yang selamat atau sekolah lain untuk menyambung kelas,” katanya.

“Bangunan sekolah musnah sepenuhnya, jadi kami perlu membina sekolah baharu di lokasi lebih selamat.”

Bagi penduduk seperti Cik Shanti Sunar, 45 tahun, kehilangan akibat bencana sukar digambarkan.

Beliau dan suaminya terselamat tetapi rumah serta kedai kecil mereka musnah.

“Saya pergi ke tapak itu hampir setiap hari. Saya masih boleh mengenal pasti tempat rumah kami dahulu, tetapi sekarang langsung tiada kesannya,” katanya.

Beliau berharap dapat menemui emas dan barang kemas yang terpaksa ditinggalkan ketika melarikan diri.

“Kami tidak boleh membina semula di lokasi sama kerana ia tidak selamat. Saya berharap pemerintah memindahkan kami ke tempat lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga ratusan warga asing yang masih hilang terus mencari jawapan.

Polis Nepal berkata 294 warga asing berjaya diselamatkan, kebanyakannya rakyat China dan India, tetapi 583 lagi masih belum ditemui.

Ramai daripada mereka merupakan penganut agama yang dalam perjalanan melakukan ziarah ke Gunung Kailash.

Antara yang hilang ialah 77 penganut bersama Yayasan Isha termasuk warga Eropah, Amerika Utara dan Australia.

Sebuah syarikat pelancongan, Fishtail, pula berkata pihaknya kehilangan hubungan dengan sekumpulan 20 peserta, kebanyakannya rakyat Malaysia, bersama pemandu dan petugas mereka.

Polis Nepal kini mengumpulkan sampel DNA daripada anggota keluarga bagi membantu mengenal pasti mayat yang ditemui.

Nepal juga merancang membina semula sistem amaran awal tanah runtuh di sempadannya dengan China, menggunakan sensor seismik, kamera dan hubungan satelit.

Ketika operasi mencari mangsa diteruskan, pihak berkuasa bimbang bencana itu turut memberi kesan besar terhadap industri pelancongan, antara sumber pendapatan penting Nepal.

Namun buat masa ini, keutamaan pemerintah ialah mencari mereka yang masih hilang dan memastikan penduduk yang kehilangan rumah tidak kembali membina kehidupan di kawasan yang boleh sekali lagi menjadi laluan bencana. – Agensi berita.