Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Kashmir diganggu, jadi sasaran kebencian selepas serangan pelancong

Apr 24, 2025 | 3:18 PM
Anggota Yayasan Selamatkan India bersama para penyokong menghadiri tunjuk perasaan membantah serangan berdarah ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India, di New Delhi, India, pada 23 April 2025. Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan belasan lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelancong, dalam apa yang digambarkan oleh pihak berkuasa wilayah sebagai serangan paling serius terhadap orang awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Anggota Yayasan Selamatkan India bersama para penyokong menghadiri tunjuk perasaan membantah serangan berdarah ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India, di New Delhi, India, pada 23 April 2025. Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan belasan lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelancong, dalam apa yang digambarkan oleh pihak berkuasa wilayah sebagai serangan paling serius terhadap orang awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - Foto EPA-EFE

NEW DELHI: Pelajar dari Kashmir yang ditadbir India mendakwa mereka telah menjadi sasaran gangguan dan ugutan selepas serangan berdarah di wilayah Himalaya yang mengorbankan lebih dua dozen lelaki India, menurut satu persatuan pelajar pada 24 April.

Serangan yang berlaku pada 22 April di kawasan pelancongan Pahalgam telah menyaksikan 26 lelaki dibunuh kesemuanya warga India kecuali seorang warga Nepal menjadikannya serangan paling dahsyat terhadap orang awam di wilayah majoriti Muslim yang dipertikaikan itu sejak tahun 2000.

Menurut laporan media India, para penyerang dikatakan menyasarkan mangsa lelaki dan melepaskan mereka yang mampu melafazkan kalimah syahadah.

Insiden menggemparkan ini telah mengejutkan negara paling ramai penduduk di dunia dan mencetuskan kemarahan kumpulan nasionalis Hindu.

Susulan kejadian itu, pelajar Kashmir di beberapa negeri seperti Uttarakhand, Uttar Pradesh dan Himachal Pradesh dilaporkan diarah keluar dari rumah sewa atau asrama universiti pada 23 April kata penyelaras Persatuan Pelajar Jammu dan Kashmir, Nasir Khuehami.

Di sebuah universiti di Himachal Pradesh, pelajar Kashmir dilaporkan diganggu dan diserang secara fizikal, malah pintu asrama mereka turut dipecahkan, tambah Encik Khuehami.

“Pelajar kami digelar sebagai ‘pengganas’,” ujarnya. “Ini bukan sekadar isu keselamatan, tetapi satu kempen kebencian dan fitnah yang sengaja disasarkan terhadap pelajar dari wilayah dan identiti tertentu.”

Di ibu kota negeri Uttarakhand, Dehradun, kira-kira 20 pelajar melarikan diri ke lapangan terbang pada 23 April selepas menerima amaran daripada Hindu Raksha Dal, sebuah kumpulan sayap kanan ekstremis.

Pelajar terbabit mendakwa kumpulan itu mengugut pelajar Muslim Kashmir dengan akibat buruk sekiranya mereka tidak segera meninggalkan bandar tersebut.

Wilayah Kashmir telah dibahagikan antara India dan Pakistan sejak tahun 1947, ketika kedua-dua negara mencapai kemerdekaan. Walaupun kedua-duanya menuntut wilayah itu sepenuhnya, mereka hanya mentadbir bahagian masing-masing.

Sejak tahun 1989, kumpulan pemberontak telah melancarkan pemberontakan bersenjata di Kashmir yang dikawal India, dengan tuntutan untuk kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.

Sementara itu, pasukan keselamatan India telah melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu pelaku serangan di Kashmir, dengan sejumlah individu telah ditahan dalam operasi tersebut.

Pada 23 April pemerintah India menuduh Pakistan menyokong ‘keganasan rentas sempadan’ dan bertindak menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan jirannya itu menerusi beberapa langkah keras.

Pakistan bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam serangan di Pahalgam. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg