KATHMANDU: Nepal telah menutup sekolah selama tiga hari selepas kejadian tanah runtuh dan banjir akibat hujan lebat selama dua hari yang sehingga kini telah mengorbankan 151 orang dan 56 yang lain dilaporkan hilang, kata pegawai pada 29 September.
Banjir menyebabkan lalu lintas dan aktiviti harian terhenti di lembah Kathmandu yang merekodkan 37 kematian di wilayah yang menempatkan empat juta penduduk dan ibu negara.
Pihak berkuasa berkata pelajar dan ibu bapa mereka menghadapi kesukaran kerana bangunan universiti dan sekolah rosak dan memerlukan pembaikan.
“Kami telah menggesa pihak berkuasa berkenaan untuk menutup semua sekolah di kawasan terjejas selama tiga hari,” kata jurucakap kementerian pendidikan, Cik Lakshmi Bhattarai kepada media.
Beberapa bahagian di ibu negara Nepal melaporkan hujan sehingga 322.2 milimeter, menyebabkan paras sungai Bagmati naik 2.2 meter melepasi tanda bahaya, kata pakar.
Namun, hujan reda di banyak tempat pada 29 September, kata Encik Govinda Jha, seorang peramal cuaca di ibu negara sambil melahirkan rasa lega.
“Mungkin terdapat beberapa hujan terpencil, tetapi hujan lebat tidak mungkin berlaku dan memburukkan lagi keadaan,” tambahnya.
Imej televisyen menunjukkan penyelamat polis yang memakai but getah, menggunakan penyodok untuk membersihkan lumpur dan mengambil 16 mayat penumpang daripada dua bas yang dihanyutkan oleh tanah runtuh di laluan utama ke Kathmandu.
Pembangunan tidak teratur meningkatkan risiko perubahan iklim di Nepal, kata saintis iklim di Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD).
“Saya tidak pernah melihat banjir pada skala ini di Kathmandu,” kata Encik Arun Bhakta Shrestha, pegawai risiko alam sekitar di pusat itu.
Dalam satu kenyataan, ia menggesa pemerintah dan perancang bandar supaya “segera” meningkatkan pelaburan dan merancang untuk pembinaan infrastruktur, seperti aliran air bawah tanah dan sistem kumbahan.
Kesan hujan itu diburukkan lagi dengan saliran yang lemah akibat usaha penempatan dan pembandaran yang tidak terancang, pembinaan di dataran banjir, kekurangan kawasan tampungan air dan pencerobohan di sungai Bagmati, tambahnya. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg