GAZA: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 2 Julai berikrar untuk menghapuskan Hamas, walaupun kumpulan Palestin berkata ia sedang membincangkan cadangan baru daripada pengantara untuk gencatan senjata di Gaza.
Pemimpin Israel itu masih belum mengulas mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa Israel telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari di wilayah yang dilanda perang itu.
Tetapi seminggu sebelum rundingan yang dijadualkan dengan Encik Trump di Washington, Encik Netanyahu sebaliknya berikrar untuk “memusnahkan” Hamas “sehingga ke akar umbinya.”
Hamas berkata ia “mengadakan rundingan peringkat nasional untuk membincangkan” usulan yang dikemukakan Qatar dan Mesir.
Perang yang berlangsung hampir 21 bulan telah menyebabkan lebih dua juta penduduk di wilayah Palestin itu dilanda krisis kelaparan yang teruk.
Di sebalik krisis tersebut, Israel terus memperluas operasi ketenteraannya baru-baru ini.
Agensi pertahanan awam berkata tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 47 orang pada 2 Julai.
Antara yang maut ialah Dr Marwan Al-Sultan, Pengarah Hospital Indonesia, sebuah pusat rawatan utama di utara Gaza, kata pegawai Palestin.
Encik Trump pada 1 Julai menggesa Hamas supaya menerima gencatan senjata selama 60 hari selepas Israel bersetuju memuktamadkan perjanjian sedemikian.
Dalam satu kenyataannya, Hamas berkata ia sedang mengkaji cadangan terkini “untuk mencapai persetujuan yang menjamin penamatan pencerobohan, pengunduran tentera Israel daripada Gaza dan segera membantu rakyat Palestin di Gaza”.
Encik Netanyahu sebaliknya berikrar: “Kami akan membebaskan semua tebusan kami, dan kami akan menghapuskan Hamas. Ia tidak akan wujud lagi,” dalam komen yang dirakamkan di bandar Ashkelon berhampiran sempadan utara Gaza.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, sebelum ini berkata beliau melihat “beberapa tanda positif,” di tengah-tengah tekanan tinggi untuk membawa pulang tebusan.
“Kami serius dalam matlamat kami untuk mencapai perjanjian tebusan dan gencatan senjata,” tambahnya.
Daripada 251 tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan pada Oktober 2023, seramai 49 masih ditahan di Gaza, termasuk 27 yang dikatakan tentera Israel telah mati.
Sumber Palestin berkata “tiada perubahan asas dalam cadangan baru” yang sedang dibincangkan itu.
Cadangan baru itu “termasuk gencatan senjata selama 60 hari, dan Hamas akan membebaskan separuh daripada tebusan Israel yang masih hidup di Gaza, sebagai pertukaran untuk pembebasan sejumlah tahanan Palestin di penjara Israel.” – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg