Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu ikrar hukum rakyat Israel serang rakyat Palestin di Tebing Barat

Nov 18, 2025 | 2:31 PM
benjamin netanyahu, pm israel
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu berkata mesyuarat dengan menteri Kabinetnya akan memastikan rakyat Israel yang melakukan serangan terbaru terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dibawa ke muka pengadilan. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 17 November berkata beliau akan segera mengadakan mesyuarat dengan menteri Kabinet untuk memastikan rakyat Israel yang melakukan serangan terbaru terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam serangan itu, rakyat Israel telah membakar rumah dan kenderaan di Jab’a, sebuah perkampungan Palestin berhampiran Bethlehem selepas serangan terdahulu ke atas harta benda dan orang awam di kampung Sa’ir, kata agensi berita Wafa, memetik pegawai sebagai menyatakan demikian.

Israel telah berada di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat supaya membendung serangan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat yang didudukinya itu.

Mesyuarat menteri-menteri itu, satu tanda perhatian lebih besar oleh pemerintah, merupakan langkah paling penting Encik Netanyahu untuk menangani keganasan tersebut.

Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, dalam satu kenyataan berasingan, berkata dalam beberapa minggu akan datang pemerintah akan meluluskan keputusan penting bagi memperuntukkan sumber dan pembiayaan yang dijangka memberi impak ketara dalam menangani keganasan di wilayah Palestin itu.

Encik Netanyahu berkata: “Saya memandang serius gangguan keganasan dan percubaan untuk mengambil tindakan undang-undang sendiri oleh sekumpulan kecil ekstremis.

“Saya menyeru penguat kuasa undang-undang supaya menangani perusuh sepenuhnya mengikut undang-undang.

“Saya berhasrat untuk menangani perkara ini secara peribadi, dan memanggil menteri-menteri berkaitan secepat mungkin untuk menangani fenomena serius ini,” tegasnya.

Tentera Israel berkata pasukan keselamatan telah dikerahkan ke Jab’a dan usaha sedang dijalankan untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab.

Pada mesyuarat pada 17 November, Kabinet Palestin menggesa masyarakat antarabangsa supaya tampil bertindak pantas bagi menghentikan serangan yang dikatakan telah dijalankan dengan perlindungan dan sokongan pemerintah Israel.

Bulan ini, Pejabat Penyelarasan Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Ocha) berkata peneroka telah melancarkan sekurang-kurangnya 264 serangan ke atas rakyat Palestin pada Oktober – bilangan tertinggi sejak PBB mula menjejaki insiden pada 2006.

Tebing Barat, yang didiami oleh 2.7 juta rakyat Palestin, telah lama menjadi pusat rancangan untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang wujud bersama Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg