RAMALLAH: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, yang berusia 89 tahun, pada 26 Oktober mengumumkan bahawa timbalannya akan mengambil alih secara sementara sekiranya beliau meninggal dunia atau meletakkan jawatan.
Langkah itu menyusuli tekanan dari negara Arab supaya beliau menamakan pewaris yang jelas bagi PA yang menguruskan sebahagian wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.
Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita rasmi PA, Encik Hussein al-Sheikh – timbalan dan sekutu rapat Encik Abbas – akan mengambil alih tugas presiden secara sementara sehingga 90 hari sekiranya berlaku kekosongan jawatan.
Sekiranya pilihan raya tidak dapat diadakan dalam tempoh tersebut atas sebab kecemasan, tempoh itu boleh dilanjutkan sekali lagi selama 90 hari, ujar deklarasi itu.
Menurut Encik Abbas, deklarasi berkenaan dibuat “untuk melindungi sistem politik Palestin, menjaga tanah air kita, memastikan keselamatannya dan memelihara institusi perlembagaan kita”.
Beliau menambah bahawa langkah itu menegaskan “prinsip pemisahan kuasa dan pemindahan kuasa secara aman melalui pilihan raya bebas dan adil”.
Penganalisis politik menegaskan bahawa langkah itu menunjukkan Encik Abbas kini semakin terdesak oleh tekanan antarabangsa dan tidak lagi mempunyai kelonggaran untuk bergerak seperti sebelumnya.
Penganalisis bebas Palestin, Encik Jehad Harb, berkata: “Keputusan ini menunjukkan Presiden Abbas tidak lagi mempunyai ruang untuk mengatur langkah menghadapi tekanan antarabangsa.”
Encik Al-Sheikh, 64 tahun, merupakan sekutu yang paling dipercayai oleh Encik Abbas dan terkenal kerana peranannya dalam menyelaras hal ehwal sivik dengan Israel.
Menurut penganalisis, langkah menamakan beliau sebagai pengganti sementara itu lebih mencerminkan usaha memastikan kesinambungan kuasa dalam lingkaran kepimpinan sedia ada, berbanding komitmen terhadap proses demokrasi yang benar-benar terbuka.
Ramai rakyat Palestin masih ragu-ragu pilihan raya bebas akhirnya akan berlangsung apabila kuasa bertukar tangan kelak.
Keputusan itu sekali gus membatalkan deklarasi terdahulu pada 2024 yang menamakan, Encik Rawhi Fattouh, sebagai pengganti sementara.
Ketika itu, pelantikan Encik Fattouh dilihat sebagai langkah mengelakkan kuasa jatuh ke tangan pemimpin yang dikaitkan dengan Hamas.
Namun dengan pengumuman itu, kedudukan tersebut kini berpindah kepada Encik Al-Sheikh, sekali gus memperkukuh pengaruh beliau dalam hierarki politik Palestin.
Walaupun PA kini hanya mempunyai kuasa terhad di sebahagian wilayah Tebing Barat, banyak pihak dalam masyarakat antarabangsa melihatnya sebagai calon utama untuk memikul tanggungjawab pentadbiran pascaperang di Gaza.
Israel bagaimanapun kekal bertegas menolak sebarang peranan PA di wilayah tersebut.
Dalam konteks itu, langkah Presiden Abbas itu boleh ditafsirkan sebagai usaha meredakan kebimbangan rakan Arab dan Barat serta memastikan PA bersedia sekiranya peluang untuk kembali ke Gaza muncul kelak.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bersama pasukan teknikal Mesir diberi kebenaran memasuki kawasan dalam Jaluran Gaza melebihi “garis kuning” yang ditetapkan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) untuk mencari mayat tebusan Israel yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik Shosh Bedrosian, berkata Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, telah meluluskan secara peribadi kemasukan pasukan teknikal Mesir tersebut.
“Sekarang, ini hanyalah pasukan teknikal sahaja, dan tiada petugas tentera daripada mereka,” katanya.
“Pasukan dibenarkan memasuki kawasan di sebelah ‘garis kuning’ untuk menjalankan pencarian mayat tebusan kami.”
Rakaman yang diperoleh menunjukkan konvoi lori Mesir membawa jentera berat memasuki Gaza melalui pintu masuk Al-Zawayda, termasuk jengkaut dan trak pengangkut.
Pergerakan itu menjadi sebahagian daripada operasi pencarian yang semakin diperluas selepas Israel mengurangkan kehadiran tenteranya di beberapa kawasan.
Hamas menegaskan pasukannya tidak akan meletakkan senjata atau memulangkan mayat tebusan sepenuhnya selagi tentera Israel masih beroperasi di dalam Jaluran Gaza.
Dalam kenyataan pada 26 Oktober, ketua perunding Hamas, Encik Khalil Al-Hayya, berkata isu pelucutan senjata kumpulan itu “berkait rapat dengan kewujudan penjajahan dan pencerobohan”.
“Sekiranya penjajahan (Israel) berakhir, senjata ini (Hamas) akan diserahkan kepada negara,” katanya.
Hamas turut menegaskan komitmennya untuk memulangkan baki 13 mayat tebusan, termasuk 10 warga Israel yang diculik semasa serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg