Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu lakar garis kasar tidak jelas bagi Gaza pascaperang

Jul 25, 2024 | 12:15 PM
Penunjuk perasaan pro-Palestin dan polis bertembung di Union Station di Washington, DC, semasa protes terhadap lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke Amerika Syarikat
Penunjuk perasaan pro-Palestin dan polis bertembung di Union Station di Washington, DC, semasa protes terhadap lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke Amerika Syarikat - Foto AFP

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, melakar sebuah garis kasar samar-samar mengenai sebuah rancangan bagi Jaluran Gaza yang “tidak radikal” selepas perang, dalam ucapan kepada Kongres pada 24 Julai.

Beliau juga menggembar-gemburkan potensi pakatan masa depan antara negaranya dengan negara Arab yang bersekutu dengan Amerika Syarikat.

Sedang berpuluh-puluh anggota Demokrat memboikot kenyataannya dan beribu-ribu pembantah pro-Palestin mengadakan tunjuk perasaan sempena lawatannya, beliau menolak kritikan terhadap kempen ketenteraan Israel yang memusnahkan kawasan Palestin dan membunuh lebih 39,000 penduduknya.

Mereka menaikkan bendera Palestin dan membakar bendera Amerika di luar Union Station di Washington, membantah kunjungan Encik Netanyahu bagi berucap di Kongres Amerika mengenai konflik Israel-Palestin.

Encik Netanyahu mengecam penunjuk perasaan itu ketika menyampaikan ucapan di Kongres, dengan menyatakan beliau “bersimpati” akan penunjuk perasaan yang “diperalatkan” pihak tertentu yang sebenarnya melakukan kezaliman.

“Untuk pengetahuan semua, Iran membiayai protes anti-Israel yang sedang berlaku sekarang di luar bangunan ini,” katanya. Beliau juga menyalahkan Hamas bagi kelaparan di Gaza dan menegaskan Israel melindungi orang awam di sana.

Encik Netanyahu berjanji tebusan yang ditawan Hamas akan dibebaskan tidak lama lagi.

Berpuluh-puluh penggubal undang-undang Demokrat yang enggan mendengar ucapannya melahirkan kekecewaan terhadap ribuan kematian orang awam dan krisis kemanusiaan akibat serangan berterusan Israel di Gaza.

Encik Netanyahu juga bercakap tentang prospek pakatan keselamatan Timur Tengah yang luas antara Israel dengan jirannya, Arab Saudi, sesuatu yang Amerika usahakan sebagai benteng menentang Iran.

Pengaturan sedemikian akan memerlukan pemulihan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi, dan Riyadh telah berkata penentangan Encik Netanyahu terhadap pembentukan sebuah negara Palestin serta konflik berterusan di Gaza menghalang usaha tersebut.

Sementara itu, rundingan mengenai perjanjian gencatan senjata nampaknya berada pada peringkat akhir, dengan Presiden Joe Biden dan Encik Netanyahu akan membincangkan jurang yang masih wujud pada 25 Julai, kata seorang pegawai kanan Amerika.

Pegawai itu berkata halangan selebihnya boleh dirapatkan dan akan ada lebih banyak mesyuarat untuk mencapai perjanjian antara Israel dengan Hamas minggu depan.

“Ia adalah satu rundingan yang sangat berbeza sekarang berbanding sebulan lalu apabila kami mempunyai beberapa isu asas yang tidak dapat diselesaikan,” tambahnya.

Encik Netanyahu dijadualkan bertemu Encik Biden Biden dan Naib Presiden, Cik Kamala Harris, pada 25 Julai, sebelum beliau menemui mantan presiden Donald Trump hari berikutnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg