BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi bayangan bahawa serangan terhadap kumpulan bersenjata Hezbollah akan dipertingkatkan, walaupun rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran masih berlangsung.

Dalam satu kenyataan video di media sosial pada 25 Mei, Encik Netanyahu menegaskan Israel tidak akan mengendurkan tekanan terhadap Hezbollah.

“Kami sedang berperang dengan Hezbollah,” katanya.

Beliau berkata tentera Israel telah membunuh lebih 600 anggota Hezbollah dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan operasi ketenteraan akan diteruskan dengan lebih agresif.

“Kami tidak akan melepaskan tekanan. Sebaliknya, saya telah mengarahkan supaya tekanan dipertingkatkan lagi,” katanya.

Kenyataan keras Netanyahu itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, terus mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai sama ada rundingan damai dengan Iran menunjukkan kemajuan atau sebaliknya.

Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika bermula pada April lalu, Israel dan Hezbollah masih terus bertempur dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Pertempuran semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus memperlihatkan betapa rapuhnya gencatan senjata berkenaan.

Kementerian Kesihatan Lebanon berkata jumlah korban akibat serangan Israel sejak konflik kembali memuncak pada Mac lalu kini meningkat kepada 3,185 orang, manakala lebih 9,600 lagi cedera.

Konflik baharu itu tercetus selepas Hezbollah melancarkan serangan terhadap Israel susulan serangan bersama Amerika-Israel ke atas Iran pada akhir Februari.

Pertempuran tersebut turut menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di beberapa kawasan di Lebanon selatan.

Tentera Israel pada malam 25 Mei berkata mereka telah menyerang lebih 70 sasaran Hezbollah di beberapa kawasan di Lebanon dalam tempoh 24 jam.

Menurut tentera Israel, antara sasaran yang dibedil termasuk pusat arahan, gudang senjata dan kemudahan yang didakwa digunakan Hezbollah untuk melancarkan serangan terhadap tentera dan orang awam Israel.

Di bandar pesisir Tyre di selatan Lebanon, tentera Israel mendakwa sekitar 10 pusat operasi Hezbollah telah dimusnahkan.

Tentera udara Israel turut mendakwa berjaya “menghapuskan” beberapa anggota Hezbollah yang menaiki motosikal di kawasan operasi tentera Israel di Lebanon selatan.

Sementara itu, media Hezbollah, Al Manar, melaporkan kumpulan itu melancarkan sekurang-kurangnya lapan serangan terhadap Israel dan tentera Israel di Lebanon pada 25 Mei.

Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, dalam ucapan kepada rakyat Lebanon pada 24 Mei berkata beliau menyambut baik usaha damai antara Iran dan Amerika Syarikat.

Namun, beliau berharap sebarang perjanjian turut merangkumi konflik melibatkan Hezbollah di Lebanon.

Beliau bagaimanapun menolak rundingan langsung antara kerajaan Lebanon dan Israel yang diusahakan Amerika sejak April lalu.

Tiga pegawai kanan Iran turut memberitahu media Amerika bahawa cadangan perjanjian damai antara Washington dan Tehran dijangka melibatkan penghentian konflik di semua medan termasuk Lebanon.

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana sebarang perjanjian dapat menyelesaikan isu utama dalam konflik itu, termasuk tuntutan supaya Hezbollah dilucutkan senjata dan pengunduran tentera Israel dari kawasan sempadan Lebanon yang kini diduduki Israel.

Pada 24 Mei, Encik Netanyahu berkata Encik Trump dalam satu panggilan telefon sekali lagi menegaskan hak Israel untuk mempertahankan diri daripada ancaman di semua medan termasuk Lebanon.

“Trump mengesahkan semula hak Israel untuk mempertahankan diri daripada ancaman di setiap medan, termasuk Lebanon,” kata Encik Netanyahu.

Penganalisis berkata peningkatan konflik di Lebanon boleh menjejaskan lagi rundingan damai Amerika-Iran yang sedia rumit, terutama apabila Teheran mahu Hezbollah turut dilindungi dalam sebarang perjanjian akhir. - Agensi berita