ABU DHABI: Pegawai dari 10 negara dilaporkan menyertai satu pertemuan di Abu Dhabi yang melibatkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dengan isu keselamatan serantau dan Iran dipercayai menjadi antara agenda utama.

Channel 14 Israel melaporkan pada 29 September bahawa pertemuan itu berlangsung dalam dua peringkat, bermula dengan rundingan antara Encik Netanyahu dengan Sheikh Mohamed sebelum diperluaskan kepada wakil beberapa negara.

Memetik sumber UAE yang tidak dinamakan, saluran itu berkata sesi kedua melibatkan wakil Amerika Syarikat, Arab Saudi, Maghribi, Mesir, Kuwait, Bahrain, Libya dan Oman, selain Israel dan UAE.

Jika disahkan, pertemuan itu akan menghimpunkan pegawai dari 10 negara pada satu sesi ketika negara serantau berdepan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai Iran, kumpulan Houthi di Yaman dan keselamatan laluan tenaga di Teluk.

Namun, tiada pengesahan rasmi segera daripada kebanyakan negara yang dinamakan mengenai penyertaan mereka.

Arab Saudi pula secara khusus menafikan laporan bahawa wakilnya menghadiri pertemuan tersebut.

Seorang sumber Saudi memberitahu Al Arabiya English bahawa laporan media Israel mengenai penyertaan wakil Riyadh adalah tidak benar.

Channel 14 melaporkan bahawa antara perkara utama dibincangkan dalam pertemuan diperluas itu ialah usaha meningkatkan kerjasama keselamatan dan risikan antara Israel dengan UAE.

Menurut sumber yang dipetik saluran tersebut, perbincangan turut menyentuh kemungkinan mewujudkan satu rangka kerja pertahanan serantau bagi menangani apa yang disifatkan sebagai “ancaman bersama”.

Iran dan kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan menjadi antara tumpuan perbincangan.

Turut dibincangkan, menurut laporan itu, ialah bantuan risikan dan keselamatan kepada Arab Saudi serta kemungkinan membentuk satu pakatan serantau baru.

Channel 14 juga mendakwa peserta membincangkan kemungkinan mewujudkan laluan pengangkutan minyak yang dapat memintas Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menghubungkan Teluk dengan Laut Arab dan menjadi antara laluan terpenting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.

Sebarang usaha mewujudkan laluan alternatif boleh mengurangkan pergantungan kepada selat tersebut sekiranya berlaku konflik atau gangguan terhadap perkapalan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai pertemuan 10 negara dan butiran agenda tersebut setakat ini hanya dilaporkan Channel 14 dan belum disahkan secara bebas oleh kebanyakan pemerintah yang dinamakan.

Agensi berita rasmi UAE, WAM, berkata Sheikh Mohamed menerima Encik Netanyahu semasa lawatan pemimpin Israel itu ke negara tersebut pada 27 September.

Menurut WAM, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala serta cara untuk memperkukuh dan mengembangkannya.

Pejabat Encik Netanyahu kemudian turut mengesahkan beliau bersama isterinya mengunjungi UAE pada hari berkenaan.

Menurut pejabatnya, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan menangani cabaran serantau.

Encik Netanyahu turut diiringi beberapa pegawai kanan keselamatan Israel, termasuk Ketua Majlis Keselamatan Negara, Encik Shmuel Ben Ezra; ketua agensi perisikan Mossad, Encik Roman Gofman; Setiausaha Tentera, Encik Guy Markizano; dan penasihat politik, Encik Ophir Falk.

Reuters yang memetik pegawai Israel, melaporkan pertemuan Encik Netanyahu dengan Sheikh Mohamed berlangsung sekitar enam jam dan banyak memberi tumpuan kepada Iran.

Israel dan UAE mempunyai hubungan diplomatik sejak 2020 menerusi Perjanjian Abraham dan sejak itu memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan keselamatan.

Laporan mengenai pertemuan diperluas di Abu Dhabi itu bagaimanapun memberi gambaran bahawa perbincangan mungkin melangkaui hubungan dua hala Israel-UAE kepada isu keselamatan yang membabitkan beberapa negara Arab dan Amerika.

Namun, penafian Arab Saudi menunjukkan bahawa butiran mengenai siapa sebenarnya yang menyertai sesi tersebut masih belum jelas.

Setakat ini, UAE dan Israel hanya mengesahkan pertemuan antara Encik Netanyahu dengan Sheikh Mohamed, manakala dakwaan bahawa pegawai dari 10 negara menyertai sesi diperluas masih belum disahkan oleh kebanyakan negara yang dinamakan. – Agensi berita.