BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, akan memulakan rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata Gaza apabila beliau bertemu dengan Encik Steve Witkoff, Duta Timur Tengah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 3 Februari di Washington, kata pejabat Encik Netanyahu pada lewat 1 Februari.
Encik Netanyahu dijadualkan berlepas dari Israel pada 2 Februari ke Washington, di mana beliau akan bertemu minggu depan dengan Encik Trump di Rumah Putih untuk membincangkan isu Gaza dan tebusan Israel yang ditahan di sana.
Semasa pertemuannya dengan Encik Witkoff, Encik Netanyahu akan membincangkan pendirian Israel berkenaan gencatan senjata itu, kata pejabat perdana menteri itu kepada Reuters.
Encik Witkoff kemudian dijadualkan bertemu dengan pegawai dari Mesir dan Qatar, yang telah menjadi pengantara antara Israel dengan Hamas sejak 15 bulan lalu, dengan sokongan dari Washington.
Israel dan Hamas pada Januari mencapai perjanjian gencatan senjata yang rumit dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa bagi menghentikan pertempuran di Gaza.
Hamas setakat ini telah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk ratusan rakyat Palestin yang ditahan di penjara dan tempat tahanan Israel.
Terdapat lebih 70 tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Sementara itu, Israel telah membebaskan 183 tahanan Palestin pada 1 Februari, dalam pertukaran tahanan-untuk-tebusan keempat, di bawah perjanjian gencatan senjata yang sedang berjalan dengan Hamas, menurut sumber Palestin.
Encik Abdullah Zaghari, ketua Kelab Tahanan Warga Palestin, memberitahu agensi berita Xinhua bahawa pihak berkuasa Israel telah menyerahkan tahanan yang dibebaskan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
Daripada tahanan yang dibebaskan, 150 adalah dari Jaluran Gaza, 32 dari Tebing Barat, dan seorang lagi, yang memegang kewarganegaraan Mesir, akan dihantar pulang ke Mesir.
Tahanan dari Tebing Barat dibebaskan dari Penjara Ofer dekat Ramallah, manakala tahanan dari Gaza, yang dibebaskan dari Penjara Ketziot di selatan Israel, akan diangkut ke selatan Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom yang dikawal Israel, tambah Encik Zaghari.
Saksi tempatan melaporkan bahawa bas yang membawa rakyat Palestin yang dibebaskan Israel telah tiba di bandar selatan Gaza, Khan Younis.
Suruhanjaya Pertubuhan Pembebasan Palestin bagi hal ehwal tahanan, berkata dalam satu kenyataan, antara 183 yang dibebaskan pada 1 Februari, tujuh tahanan akan dihantar ke luar negara, tanpa menyatakan negara mana yang akan menerima mereka.
Pembebasan tahanan warga Palestin, berikutan pembebasan Hamas terhadap tiga tebusan warga Israel pada awal hari itu, menandakan pertukaran keempat seumpama itu semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Perjanjian itu dikuatkuasakan pada 19 Januari dan fasa pertamanya akan berlangsung selama enam minggu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg