Topik diikuti
Pergi ke BHkuNetanyahu tegas Israel kekal di Lebanon walau AS-Iran capai perjanjian
Netanyahu tegas Israel kekal di Lebanon walau AS-Iran capai perjanjian
Hezbollah serang balas kemaraan tentera Israel di selatan Lebanon
Netanyahu tegas Israel kekal di Lebanon walau AS-Iran capai perjanjian
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi bayangan Israel tidak semestinya terikat sepenuhnya dengan perjanjian gencatan senjata yang baru dicapai antara Amerika Syarikat dengan Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan keamanan di Asia Barat.
Dalam ucapan tegas kepada rakyat Israel pada 15 Jun, Encik Netanyahu berkata perjuangan Israel masih belum berakhir walaupun Washington dan Teheran bersetuju menamatkan perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
“Perjuangan ini belum selesai,” katanya.
Beliau turut menegaskan Israel tidak bercadang mengundurkan tenteranya dari selatan Lebanon, satu tuntutan utama Iran dalam rundingan damai bersama Amerika.
“Kami akan kekal di zon keselamatan selama mana diperlukan untuk mempertahankan negara kami,” katanya.
Israel kini menempatkan tenteranya di beberapa kawasan di selatan Lebanon selepas pertempuran dengan Hezbollah semakin memuncak sejak Mac lalu.
Hezbollah mula melancarkan serangan roket ke arah Israel pada 2 Mac sebagai tanda sokongan kepada Iran selepas pemimpin tertinggi republik Islam itu terbunuh dalam serangan bersama Amerika dan Israel.
Israel kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara dan operasi darat di Lebanon sehingga menyebabkan lebih 3,700 rakyat Lebanon terbunuh dan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, ujar pihak berkuasa Lebanon.
Sekurang-kurangnya 30 rakyat Israel turut dilaporkan terbunuh dalam konflik tersebut.
Walaupun perjanjian damai Amerika-Iran diumumkan 14 Jun, pertempuran di selatan Lebanon masih berterusan.
Hezbollah pada 15 Jun mengesahkan pihaknya melancarkan serangan roket dan dron terhadap tentera Israel yang menceroboh kawasan berhampiran Kfar Tebnit dan Nabatieh di selatan Lebanon.
Dalam satu kenyataan, kumpulan Hezbollah berkata mereka menyerang tentera Israel yang sedang menghimpunkan semula unit berperisai termasuk kereta kebal Merkava dan beberapa kenderaan tentera.
“Hezbollah menyerang mereka dengan bedilan roket dan meriam. Pertempuran masih berterusan,” tambah kenyataan itu.
Agensi Berita Nasional Lebanon (NNA) pula melaporkan sebuah dron Israel menyerang kereta di kawasan sama sehingga mengorbankan pemandunya, yang disifatkan sebagai serangan maut pertama selepas pengumuman perjanjian damai tersebut.
Di tengah-tengah ketegangan itu, jurucakap Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Stephane Dujarric, berkata Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil) merekodkan penurunan kadar keganasan sejak tengah malam hingga petang 15 Jun.
Menurut beliau, Unifil merekodkan 133 trajektori peluru dan dua serangan udara yang dikaitkan dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Tiada trajektori peluru yang dilancarkan oleh Hezbollah atau kumpulan bukan negara lain dilaporkan dalam tempoh itu,” katanya.
Bagaimanapun, butiran penuh perjanjian damai antara Amerika dengan Iran masih belum diumumkan secara rasmi kepada umum.
Iran dan Pakistan selaku pengantara sebelum ini memaklumkan perjanjian tersebut turut merangkumi konflik di Lebanon, namun pemerintah Lebanon mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai syarat terperinci atau garis masa sebenar pelaksanaan gencatan senjata itu.
Dalam rundingan bersama Amerika untuk menamatkan perang dengan Iran, Teheran dilaporkan menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Lebanon.
Namun, Israel bukan pihak yang terlibat secara langsung dalam rundingan tersebut.
Pada masa sama, Israel dan Lebanon dilaporkan mengadakan rundingan berasingan di Washington mengenai kemungkinan perjanjian damai, tetapi ia bergantung kepada sama ada Hezbollah menghentikan serangan terhadap Israel.
Hezbollah bagaimanapun menolak rundingan langsung itu.
Encik Netanyahu yang dijangka berdepan pilihan raya sukar pada hujung 2026, turut cuba menunjukkan beliau masih mempertahankan kepentingan keselamatan Israel walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Donald Trump.
“Ia hubungan antara rakan kongsi. Kadang-kadang kami bersetuju dan kadang-kadang tidak, seperti dalam keluarga terbaik,” katanya.
Encik Netanyahu pada masa sama menyifatkan perang terhadap Iran sebagai kemenangan besar bagi Israel.
Menurut Encik Netanyahu, tanpa tindakan Israel dan Amerika, Iran mungkin sudah memiliki senjata nuklear.
“Jika kami tidak bertindak, Iran mungkin sudah mempunyai bom atom dan rakyat Israel akan menghadapi ancaman kematian besar-besaran,” katanya.
Namun, beliau turut menjarakkan diri daripada perjanjian damai yang diumumkan Washington.
“Perjanjian ini dibuat oleh Amerika dan Presiden Amerika. Itu keputusan beliau,” katanya sambil menegaskan Israel mempunyai kepentingannya sendiri. – Agensi berita.
