Netanyahu tepis khabar angin kematian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu tepis khabar angin kematian

Mar 16, 2026 | 9:56 AM

Netanyahu tepis khabar angin kematian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menunjukkan tangannya ketika bercakap di hadapan kamera di sebuah kafe di luar Baitulmakdis, Israel, pada 15 Mac.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menunjukkan tangannya ketika bercakap di hadapan kamera di sebuah kafe di luar Baitulmakdis, Israel, pada 15 Mac. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tampil menafikan khabar angin mengenai kematiannya yang tersebar luas di media sosial dengan memuat naik satu video pendek yang bernada sinis pada 15 Mac.

Dalam rakaman yang dimuat naik di akaun rasmi X miliknya, Encik Netanyahu dilihat berada di sebuah kafe berhampiran Baitulmakdis sambil memegang secawan kopi panas. “Saya mati untuk kopi,” katanya secara berseloroh, menggunakan ungkapan bahasa Ibrani yang membawa maksud seseorang amat menyukai sesuatu perkara.

Beliau kemudian mengangkat tangannya ke arah kamera sambil berkata, “Adakah anda mahu mengira jumlah jari saya?”

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada spekulasi yang tular di media sosial bahawa ucapan televisyen terbarunya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), selepas beberapa pengguna mendakwa melihat enam jari pada salah satu tangannya dalam rakaman tersebut.

Dalam video yang sama, Encik Netanyahu turut menyeru rakyat Israel supaya mematuhi arahan keselamatan ketika serangan roket berlaku di tengah konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.
“Kekuatan dan ketabahan rakyat Israel memberi kekuatan kepada saya, kepada pemerintah, kepada tentera, dan juga kepada Mossad,” katanya merujuk kepada agensi perisikan luar negara Israel.

Beliau turut memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan Israel terhadap Iran dan sekutunya masih berlangsung. “Kami sedang melakukan perkara yang tidak boleh saya kongsikan pada masa ini, tetapi kami sedang menyerang Iran dengan sangat kuat, dan juga Lebanon,” katanya.

Kenyataan Netanyahu itu muncul ketika ketegangan antara Israel dan Iran semakin memuncak selepas perang yang disokong oleh Amerika Syarikat memasuki minggu ketiga.

Pada hari yang sama, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) dilaporkan mengeluarkan ancaman terbuka terhadap Netanyahu. Agensi berita rasmi Iran, IRNA, memetik kenyataan bahawa IRGC berikrar untuk memburu dan membunuh Netanyahu jika beliau masih hidup.

“IRGC berjanji akan menjejaki dan membunuh ‘pembunuh kanak-kanak’ Netanyahu sekiranya beliau masih hidup,” menurut laporan yang disiarkan di platform X.

Ancaman tersebut muncul selepas beberapa serangan peluru berpandu Iran dilaporkan menyasarkan sasaran penting di Israel sejak konflik tercetus pada 28 Februari.

Spekulasi mengenai keadaan Encik Netanyahu kian diperkatakan selepas beliau dilaporkan tidak hadir dalam satu taklimat kabinet keselamatan Israel pada 14 Mac, mesyuarat yang biasanya dipimpinnya sendiri.

Ketidakhadiran yang tidak dijangka itu menarik perhatian ahli politik serta media, sekali gus mencetuskan pelbagai teori mengenai keberadaan beliau.’ Pejabat Perdana Menteri Israel bagaimanapun segera menafikan dakwaan bahawa Encik Netanyahu telah terbunuh, sambil menyifatkan khabar angin tersebut sebagai maklumat palsu.

Dalam rakaman taklimat keselamatan yang disiarkan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, kelihatan bersama lima pegawai kanan tentera memberi penerangan mengenai situasi keselamatan di Tel Aviv.
Seorang pengguna media sosial, Alinur Mohammed, menulis bahawa keadaan itu luar biasa. “Untuk pertama kali dalam sejarah Israel, Netanyahu tidak hadir dalam mesyuarat majlis ketenteraan,” katanya dalam satu hantaran di X.

Spekulasi itu semakin hangat apabila Encik Netanyahu tidak muncul di khalayak umum selama hampir seminggu selepas ucapan terakhirnya yang bertajuk “Rakyat Iran, saat kebenaran akan tiba”.

Situasi itu berlaku hanya beberapa hari selepas IRGC mendakwa serangan peluru berpandu Iran menyasarkan pejabat Netanyahu serta ibu pejabat komander tentera udara Israel pada 2 Mac. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg