BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu “tidak berterima kasih” kepada Amerika Syarikat dan telah berbohong mengenai perjanjian tebusan Gaza, seorang pegawai kanan Amerika memberitahu akhbar Israel Haaretz.
Pegawai itu berkata Encik Netanyahu tidak mengendahkan jumlah bantuan yang diberikan Washington sejak tercetusnya konflik di Jaluran Gaza sekitar 10 bulan lalu.
“Presiden Joe Biden menyedari bahawa Netanyahu berbohong kepadanya mengenai soal tebusan,” kata pegawai itu.
Encik Netanyahu telah menghubungi Encik Biden beberapa hari selepas beliau mengakhiri lawatannya ke Amerika untuk mendapatkan sokongan bagi perang berterusannya ke atas Gaza.
Pegawai Amerika itu menyebut perbincangan melibat dua perkara antara Encik Biden dengan Encik Netanyahu sebagai “sukar” dan “tegang.”
“Netanyahu cuba untuk memanjangkan perang dan bukannya memberi tumpuan kepada cara untuk mencapai perjanjian tebusan,” kata pegawai itu. “Ia menyukarkan kami untuk terus menyokong Israel dari masa ke semasa.”
Pada 2 Ogos, seorang anggota kanan pasukan perunding Israel memberitahu Haaretz bahawa ketua pertahanan Israel percaya Encik Netanyahu tidak berminat mencapai perjanjian tebusan dengan Hamas.
Rundingan tidak langsung antara Israel dengan Hamas yang diperantarakan oleh Amerika, Qatar, dan Mesir telah gagal mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata kekal yang membolehkan pertukaran tahanan antara Israel dengan Palestin.
Setakat ini, usaha pengantara perjanjian antara Israel dengan Hamas telah terhalang oleh penolakan Encik Netanyahu terhadap gesaan Hamas supaya menghentikan permusuhan.
Israel, yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencapai gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak perang meletus 7 Oktober lalu.
Hampir 39,600 rakyat Palestin telah terbunuh dan hampir 91,400 cedera dalam perang tersebut. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg