NEW YORK: Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, menuduh pentadbiran bandar sebelum ini tidak mendedahkan sepenuhnya bahaya udara toksik selepas serangan 11 September 2001, susulan penerbitan lebih 170,000 halaman dokumen mengenai tahap pencemaran di sekitar tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dokumen yang didedahkan pada 8 September, menjelang ulang tahun ke-25 serangan 9/11, menunjukkan bahan berbahaya termasuk asbestos, benzena dan dioksin dikesan di beberapa kawasan selama berbulan-bulan selepas Menara Berkembar runtuh.

“Orang ramai jatuh sakit kerana pemimpin yang mereka percayai berbohong dan memberitahu mereka bahawa udara toksik itu selamat untuk dihidu,” kata Encik Mamdani dalam sidang media di Dewan Bandaraya New York.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan secara khusus pegawai yang didakwanya berbohong.

Dalam beberapa minggu dan bulan selepas serangan itu, pegawai bandar dan pemerintah persekutuan, termasuk Datuk Bandar ketika itu, Encik Rudy Giuliani, dan pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), Cik Christine Todd Whitman, memberi jaminan kepada penduduk bahawa udara sekitar Ground Zero selamat untuk dihidu.

Dokumen yang baru didedahkan memberi gambaran lebih terperinci mengenai apa yang diketahui pihak berkuasa ketika itu mengenai risiko kesihatan dan bagaimana mereka bertindak terhadap maklumat tersebut.

Satu audit pada November 2001 berdasarkan maklumat Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New York mendapati paras benzena, bahan yang boleh menyebabkan barah, meningkat berhampiran Ground Zero.

Peningkatan kepekatan asbestos turut dikesan di Staten Island.

Malah, 10 bulan selepas serangan itu, asbestos masih dikesan sekitar sebuah bangunan di 15 John Street, kurang 1.6 kilometer dari tapak WTC.

Di bangunan pejabat 90 Church Street pula, debu dan serpihan daripada runtuhan Menara Berkembar memasuki bangunan selepas tingkap pecah, manakala kebakaran berlaku di sekurang-kurangnya empat tingkat.

Satu penilaian alam sekitar pada November 2001 menemui asbestos dalam serpihan dan debu di seluruh bangunan itu.

Dioksin, yang dikaitkan dengan barah, turut dikesan dalam kesemua 11 sampel yang diambil, manakala merkuri ditemui sehingga di dalam kabinet fail.

Dokumen lain menunjukkan pegawai kesihatan dan alam sekitar ketika itu terkejut kerana paras beberapa bahan toksik tidak menurun seperti dijangkakan.

Dalam satu e-mel bertarikh 15 Oktober 2001, pegawai Jabatan Perlindungan Alam Sekitar menyatakan paras dioksin kekal tinggi, manakala “paras benzena yang tinggi” sekali lagi dikesan.

Kebakaran bawah tanah di tapak WTC terus berlaku selama kira-kira tiga bulan sehingga Disember, menyebabkan kebimbangan mengenai pencemaran berpanjangan.

Dokumen itu turut mengandungi e-mel antara pegawai kesihatan yang membincangkan bahan berbahaya yang perlu diuji serta maklumat yang harus disampaikan kepada orang ramai.

Rekod menunjukkan pihak berkuasa menyedari pencemaran tidak hanya tertumpu di Ground Zero.

Seawal 14 September 2001, lokasi pengambilan sampel asbestos telah diwujudkan di beberapa kawasan, termasuk East Village yang terletak lebih 1.6 kilometer dari tapak WTC. Paras asbestos di sana ada kalanya melebihi had yang ditetapkan bandar.

Pakar kesihatan pekerjaan dan alam sekitar, Dr Philip Landrigan, berkata dari sudut perubatan, tiada tahap pendedahan asbestos yang boleh dianggap benar-benar selamat.

Beliau berkata debu simen yang dihancurkan akibat keruntuhan WTC juga mendatangkan bahaya besar kepada mereka yang menghidunya.

Pendedahan itu kemudian dikaitkan dengan masalah yang dikenali sebagai “batuk Pusat Dagangan Dunia”, iaitu batuk teruk dan berpanjangan yang dialami sebahagian pekerja penyelamat dan pemulihan.

Penerbitan dokumen tersebut dibuat selepas kumpulan Pemantau Kesihatan 9/11 mengambil tindakan undang-undang bagi memaksa bandar New York mendedahkan rekod berkenaan.

Pengarah kumpulan itu, Encik Benjamin Chevat, mendakwa empat pentadbiran datuk bandar sepanjang 25 tahun lalu tidak mendedahkan dokumen yang menunjukkan sejauh mana pihak berkuasa mengetahui tentang bahaya bahan kimia toksik di Lower Manhattan dan barat Brooklyn.

Menurut beliau, maklumat itu tidak didedahkan walaupun pegawai bandar terus memberi gambaran kepada masyarakat bahawa keadaan udara ketika itu “selamat dan boleh diterima”.

Sebahagian rekod tersebut disimpan dalam 68 kotak di sebuah pejabat bandar dan hanya ditemui pada 2025, menurut pegawai New York.

Pihak berkuasa merancang menyemak dan menerbitkan lebih banyak dokumen secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Serangan 11 September 2001 mengorbankan 2,977 orang selepas pesawat yang dirampas merempuh Menara Berkembar WTC dan Pentagon, manakala sebuah lagi pesawat terhempas di Pennsylvania selepas penumpang melawan perampas.

Kesan kesihatan serangan itu terus meragut nyawa bertahun-tahun kemudian.

Menurut program pemantauan perubatan persekutuan, lebih 9,400 orang telah meninggal dunia akibat penyakit yang dikaitkan dengan pendedahan mereka kepada kawasan terjejas selepas serangan tersebut.

“Walaupun 25 tahun telah berlalu, kesan serangan 11 September terus dirasakan apabila semakin ramai warga New York meninggal dunia akibat penyakit yang dikaitkan dengan tragedi itu,” kata Encik Mamdani.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah pelawak dan pengacara Encik Jon Stewart, yang sekian lama memperjuangkan kebajikan mangsa dan petugas penyelamat 9/11.

Menurut Encik Stewart, mereka yang berada di Lower Manhattan ketika itu menyedari bahawa bahan berbahaya berada di udara, tanah, tingkap, sistem penghawa dingin, pakaian dan barangan mereka selama berbulan-bulan selepas serangan. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti