NGO antarabangsa gesa mahkamah Israel hentikan larangan operasi di Gaza, Tebing Barat
NGO antarabangsa gesa mahkamah Israel hentikan larangan operasi di Gaza, Tebing Barat
NEW YORK: Lebih daripada sedozen organisasi kemanusiaan antarabangsa telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung Israel supaya menyekat perintah memaksa 37 NGO menghentikan operasi di Gaza, Tebing Barat dan timur Baitulmakdis, memberi amaran tentang akibat buruk terhadap rakyat Palestin.
Petisyen itu menyatakan penguatkuasaan telah pun bermula dengan bekalan disekat dan visa dinafikan kepada kakitangan asing.
“Kami tidak dapat membawa kakitangan antarabangsa ke Gaza sejak awal Januari. Pihak berkuasa Israel menafikan sebarang kemasukan ke Gaza juga ke Tebing Barat,” kata ketua misi Doktor Tanpa Sempadan di wilayah Palestin, Encik Filipe Ribeiro.
Badan-badan tersebut berhujah dalam petisyen mereka bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan di Tebing Barat dan sebahagian Gaza, “mesti memudahkan bantuan untuk orang awam di bawah kawalannya” sesuai dengan Konvensyen Geneva.
Menjadikan organisasi kemanusiaan sebagai badan pengumpulan maklumat untuk pihak yang terlibat dalam konflik adalah bertentangan sama sekali dengan prinsip berkecuali,” kata petisyen itu.
Antara badan itu, Doktor Tanpa Sempadan, Oxfam, Majlis Pelarian Norway dan CARE telah dimaklumkan pada 30 Disember 2025 bahawa pendaftaran mereka di Israel telah tamat tempoh dan mereka mempunyai 60 hari untuk memperbaharuinya dengan menyediakan senarai kakitangan Palestin masing-masing.
Jika gagal berbuat demikian, mereka perlu menghentikan operasi di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel, termasuk timur Baitulmakdis, mulai 1 Mac.
Badan-badan tersebut menyatakan pematuhan akan mendedahkan pekerja tempatan kepada potensi tindakan balas, menjejaskan prinsip berkecuali kemanusiaan dan melanggar undang-undang perlindungan data Eropah.
Mereka secara kolektif menyokong atau melaksanakan lebih separuh daripada semua bantuan makanan di Gaza, 60 peratus operasi hospital lapangan dan semua rawatan untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.
“Buat masa ini, kami masih bekerja di Gaza, dan kami merancang untuk terus menjalankan operasi kami selama yang kami boleh,” tambah Encik Ribeiro.
Larangan itu dibuat ketika Israel mengeraskan pendiriannya terhadap badan-badan kemanusiaan secara umum, setelah mengharamkan agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA), dari Israel pada awal 2025.
Bagi NGO antarabangsa, larangan semasa bermula pada perubahan peraturan untuk organisasi asing yang bekerja dengan rakyat Palestin pada Mac 2025.
Menurut PBB, 133 pekerja NGO telah terbunuh di Jaluran Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. - AFP

