Nigeria arah Taiwan pindahkan pejabat perdagangan dari ibu kotanya

TAIPEI: Dalam satu lagi ranjau diplomatik yang dihadapi Taiwan, Nigeria mengarahkan pulau itu menutup pejabat perdagangannya di ibu kota Abuja dan memindahkannya ke bandar pelabuhan Lagos.

Menteri Luar Nigeria, Encik Geoffrey Onyeama, mengumumkan ini pada Rabu (12 Jan) selepas menemui rakan sejawatannya dari China, Encik Wang Yi, yang dalam rangka lawatan ke lima negara Afrika, lapor agensi berita China, Xinhua.

Encik Onyeama dipetik oleh Xinhua sebagai berkata dalam satu sidang media bersama Encik Wang: "Taiwan akan berhenti menikmati sembarang keistimewaan kerana ia bukan sebuah negara yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa dan di bawah pendirian yang diambil kami di peringkat antarabangsa, kami mengiktiraf Republik Rakyat China, dasar 'satu China'."

Taiwan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Nigeria, tetapi mempunyai pejabat bagi mengendalikan ehwal perniagaan di Abuja. Nigeria juga mengharamkan pegawai pemerintah daripada sembarang hubungan rasmi dengan rakan sejawatan mereka dari Taiwan.

Sebagai respons, Kementerian Luar Taiwan berkata Taiwan dan Nigeria tidak mempunyai hubungan diplomatik dan adalah mengelirukan untuk Nigeria mengisytiharkan ia telah menamatkan hubungan diplomatik dengan Taiwan.

Taiwan "membantah dengan keras dan mengutuk tingkah laku tidak munasabah Nigeria", katanya. Tetapi ia juga menggesa Nigeria supaya membolehkan ruang untuk perbincangan dan berkata Taiwan akan menghantar seorang utusan bagi menangani isu itu.

Jurucakap Kementerian Luar China berkata Nigeria membuat "keputusan politik betul", sambil menambah ia akan meningkatkan rasa saling percayai antara Nigeria dan China.

Tindakan Nigeria, yang datang di tengah-tengah hubungan rentas selat yang dingin, dilihat oleh penganalisis sebagai tanda bahawa Beijing cuba mematikan hubungan diplomatik dan perdagangan Taiwan.

Hanya bulan lepas, negara pulau Sao Tome dan Principe di Afrika Barat mengubah kesetiaan daripada Taiwan ke China, membuat Taiwan kini mempunyai hanya 21 sekutu diplomatik.

Pulau itu juga menyaksikan jumlah pelancong dari tanah besar China berkurangan 14.4 peratus tahun lalu - penurunan pertama dalam lapan tahun.

Beijing menggunakan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya untuk mengenakan tekanan terhadap Cik Tsai Ing-wen, presiden Taiwan daripada Parti Demokratik Progresif yang prokemerdekaan.

Cik Tsai belum mengakui prinsip 'satu China' sejak memegang jawatan Mei lalu, membuat Beijing menghentikan komunikasi rasmi dengan Taiwan.

China menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya yang akan disatukan semula dengannya akhirnya.

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:12
Maghrib
7:15
Isyak
8:24
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.