Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PELANTIKAN PM MALAYSIA

Perjalanan berliku sebelum jadi PM M’sia

Nov 25, 2022 | 05:30 AM



  • Pelantikan itu tamatkan kebuntuan pembentukan kerajaan baru lima hari selepas Pilihan Raya Malaysia ke-15 

  • Akhiri penantian Anwar selama 24 tahun untuk jadi Perdana Menteri

SELEPAS melalui kerjaya politik penuh berliku, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 75 tahun, akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia, dan menamatkan penantian selama 24 tahun.



Datuk Seri Anwar beberapa kali terlepas peluang menjadi Perdana Menteri.



Beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menanti masa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.



Ketika itu, beliau menjadi Timbalan Pengerusi Umno, komponen utama Barisan Nasional (BN).



Namun, harapan itu terkulai apabila beliau dipecat dan kemudian dihukum penjara.



Peluang menjadi Perdana Menteri timbul lagi apabila beliau, selaku ketua Parti Keadilan Rakyat, menerajui Pakatan Harapan bersama beberapa parti komponen lain, menang mengejut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia (PRU14) pada 2018, mencipta sejarah mengalahkan BN.



Beliau kemudian bertanding dan menang kerusi Parlimen Port Dickson, dan menanti peluang menggantikan Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.



Namun, peluang itu terlepas lagi apabila beberapa pemimpin Bersatu, diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, keluar PH bersama beberapa AP lain, termasuk daripada PKR.



Tan Sri Muhyiddin kemudian menjadi Perdana Menteri, namun beliau diganti pula oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sabtu lalu, PH menang kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia, tetapi tidak dapat membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri kerana tidak berupaya mengumpul 112 kerusi parlimen bagi majoriti mudah membentuk kerajaan. Akhirnya, selepas pelbagai percaturan politik, anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu semalam dilantik menjadi Perdana Menteri.



BINTANG BERSINAR



Datuk Seri Anwar dikenali ramai, dalam dan luar negara. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dikurniakan enam. Anak sulung mereka, Cik Nurul Izzah, juga terlibat dalam politik, tetapi baru kehilangan kerusi parlimen Permatang Pauh dalam PRU15.



Beliau mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School, kemudian belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar, sebelum ke Universiti Malaya mengikuti Pengajian Melayu dengan pengkhususan Sastera pada 1967. Beliau aktif sejak di zaman pengajian.



Semasa di universiti, beliau merupakan Presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia, kemudian menjadi Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden kedua pertubuhan itu, dan menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).



Keratan akhbar menunjukkan beliau pernah mengadakan protes berhubung kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Baling, Kedah; pernah ditahan tanpa bicara beberapa bulan di Pusat Tahanan Kemunting kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Keterampilannya menonjol sehingga beliau diserap ke dalam politik dengan menyertai menyertai Umno pada 1981. Bintangnya bersinar. Beliau pantas mendaki tangga politik - menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian; Menteri Pendidikan; Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Beliau disebut-sebut bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Dalam parti, Datuk Seri Anwar juga pantas menjadi pemimpin - sehingga menjadi Timbalan Presiden Umno.



LALUAN BERLIKU



Namun, perkara yang tidak terjangka berlaku. Krisis kewangan 1997 yang melanda Asia ketika itu, mendorong banyak perubahan. Hubungan dan kerjasama yang baik antara beliau dengan pucuk pimpinan menjadi keruh apabila Datuk Anwar bercanggah dengan Dr Mahathir mengenai pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi.



Beliau dipecat pada 1998 dan dijatuhi hukuman penjara pada 1999 atas tuduhan rasuah - yang kemudian dikaitkan pula dengan tuduhan liwat - satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.



Datuk Seri Anwar menolak semua tuduhan itu dan mendakwa ada muslihat politik. Ramai juga tidak percaya dengan dakwaan itu, berasa beliau dianiaya, dan terus menyokongnya dalam gerakan reformasi.



Catatan sejarah menunjukkan Datuk Seri Anwar dihukum penjara selama enam tahun pada 1999 selain hukuman penjara selama sembilan tahun bagi kesalahan liwat.



Lalu lahir Parti Keadilan Nasional (PKN) yang kemudian bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semasa dalam tahanan, beliau ditumbuk sehingga matanya bokop dan ini kemudian menjadi lambang logo PKN.



Mahkamah Persekutuan Malaysia kemudian menggugurkan sabitan kesalahan liwat dan membebaskannya. Beliau berusaha membersihkan nama baiknya termasuk mencabar keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.



Beliau terpaksa perlu menunggu selama lima tahun selepas menjalani hukuman penjara berhubung tuduhan rasuah, sebelum boleh bertanding dalam pilihan raya.



Selepas larangan itu berakhir, Datuk Seri Anwar bergabung di bawah Pakatan Rakyat (PR), dan berjaya menawan Selangor. Komponen PR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula menang di Pulau Pinang dan membentuk kerajaan.



Beliau kembali ke Parlimen pada 2008 selepas menang kerusi Permatang Pauh dan dipilih menjadi Ketua Pembangkang. Namun, Datuk Anwar sekali lagi dikenakan tuduhan liwat. Tuduhan itu dibatalkan Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan pula keputusan Mahkamah Tinggi, menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan meringkuk di penjara Sungai Buloh.



BERNAFAS KEMBALI



Pada awal 2008, Datuk Seri Anwar bertindak selaku pemimpin de facto pembangkang.



Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, dan akhirnya berhasil memecahkan penguasaan pemerintah BN di negara itu.



Apabila Datuk Seri Abdullah Badawi berundur dan digantikan oleh Datuk Seri Najib Razak pada April 2009, Datuk Anwar dilihat sebagai pencabar politik utama.



Apabila pentadbiran Datuk Najib digelut tengkarah penyalahgunaan kuasa dan kewangan 1MDB, Dr Mahathir muncul kembali dan berikrar sekiranya beliau berhasil mengambil alih kuasa sekali lagi, beliau akan meminta Datuk Anwar diberi pengampunan daripada Agong.



Semasa PRU14 diadakan pada Mei 2018, Datuk Seri Anwar tidak bertanding tetapi menerajui Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh kemenangan besar dan mencipta sejarah menumbangkan Barisan Nasional (BN). Tun Dr Mahathir dari parti Bersatu, ketika itu komponen PH, kemudian menjadi Perdana Menteri.



Terdapat semacam perjanjian bahawa ia adalah kedudukan sementara dan Datuk Seri Anwar akan kemudian menjadi Perdana Menteri.



Beliau memperoleh pengampunan diraja pada Mei 2018 kemudian bertanding dan menang kerusi Parlimen Port Dickson pada Oktober 2018.



Namun impian menjadi Perdana Menteri terkulai sekumpulan pemimpin daripada Bersatu, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan PKR termasuk timbalannnya Datuk Seri Azmin Ali, meninggalkan PH dalam perkembangan yang disebut Langkah Sheraton.



Akibatnya, Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.



Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian menjadi Perdana Menteri.



Namun, tidak lama. Beliau kehilangan sokongan dan diganti oleh naib pengerusi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.



Barisan Nasional mendapat keyakinan baru dan menang pilihan raya kecil di Melaka dan Johor.



Ini, dan beberapa faktor lain, membuat kepimpinan BN mendesak supaya PRU15 diadakan segera, semasa musim tengkujuh, dan mendapat kritikan ramai.



PRU15 berlangsung Sabtu lalu dengan PH menang kerusi terbanyak (82 kerusi), PN 73 kerusi dan BN 30 kerusi. Kemungkinan beliau menjadi PM menjadi teka teki kerana kegagalan PH mendapatkan 112 kerusi bagi majoriti mudah membentuk kerajaan.



Ketua PN, Tan Sri Muhyiddin, yang juga berharap membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, juga gagal mendapatkan angka itu.



Namun, selepas lima hari, dengan campur tangan Istana menghuraikan kebuntuan politik, Datuk Seri Anwar kini boleh tersenyum.



Petang semalam, beliau mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia.



Impiannya tercapai dan kemelut politik berakhir.



Ramai menarik nafas lega.



Reaksi awal memberangsangkan. Bursa saham Malaysia misalnya mencatatkan kenaikan dan kadar tukaran wang Malaysia semalam menjadi lebih kukuh menyusuli perkembangan itu. Era baru bermula.



- Laporan tambahan JABBAR HANIEFF




“Amanah akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab. Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan.”



– Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tweet pertamanya sejurus selepas mengangkat sumpah di Istana Negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >